Assalamualaikum…
Aku ingat lagi pagi aku akan dibawa pergi ke majlis bertandang rumah suamiku sehari selepas kami diijabkabul. Ayahku berpesan pada suamiku, “Ayah serah anak ayah. Jaga elok2.”
Suami aku anggukkan kepala dan tunduk menyalami dan mencium tangan ayah yang kedut seribu..
Saat aku menyalami ayah, ayah selitkan not RM50 dalam tangan aku. Agaknya sebagai nafkah terakhir selepas menyerahkan aku pada seorang lelaki bergelar suami. Ayah berpesan, “jadi isteri yang baik, dengar cakap suami.”
Aku mengangguk tanpa memandang mata ayah. Tak dapat aku tahan sebak. Dan untuk pertama kali aku peluk ayah selepas berbelas2 tahun. Erat. Aku cium pipi ayah. Kali terakhir aku peluk ayah zaman aku kanak2 barangkali. Aku tak ingat. Aku menangis. Aku dapat lihat disebalik wajah garang ayah, ayah sebak.
Kini selepas 12 tahun, lelaki yang pernah berjanji pada ayahku untuk menjaga aku sebaik mungkin, pergi meninggalkan aku bersama 3 zuriat yang masih kecil kerana perempuan lain. Tapi bukan lelaki itu yang ingin aku kisahkan di sini. Tapi tentang ayah…
Di saat usianya menginjak senja, disahkan menghidap kanser paru2 tahap 3, dia terbeban dengan kisah anaknya ini yang bakal bergelar janda. Aku sebenarnya sudah tidak sedih lagi dengan apa yang berlaku dalam rumahtangga aku. Yang aku sedihkan ialah keengganan ayah aku yang tidak mahu lagi menerima sebarang bantuan kewangan dari aku, dengan alasan aku lebih memerlukan untuk membesarkan 3 anak2 aku yang masih kecil. Ya, memang benar kehidupan aku agak sukar ketika ini. Tapi setiap kali aku terima gaji, ada bahagian untuk ayah aku. Tapi sejak akhir2 ini ayah makin susah hendak menerima pemberian aku. Duit yang aku selit, diberikan semula pada cucu2nya. Beras, minyak yang aku beli untuk bekalan ayah di rumah, kadang2 dimasukkan kembali ke bonet kereta ku secara diam2 sebelum aku bertolak pulang ke tempat aku mencari rezeki. Apa lagi yang harus aku buat? Kadang2 aku jadi marah pada bakal bekas suami aku. Dia punca semua ni. Dia punca ayah aku terlebih risaukan keadaan aku sehingga menolak semua pemberian aku.
Kadang2 setiap kali aku pulang ke kampung, sesekali aku melihat ayah bersendirian di kerusi malas, termenung panjang sambil mengesat air mata yang mengalir dipipi yang aku sendiri tidak tahu apa puncanya.. Bila ditanya ayahku akan menukar topik lain untuk dibualkan…
Aku tak tahu apa yang ada dalam hati ayah sekarang. Runsingkan aku atau kesihatannya… Aku kesiankan ayah. Aku tak nak ayah fikir tentang masalah anaknya yang sorang ni… Kadang2 saja aku intai2 ayah saat dia bersendirian. Aku lihat dia pejamkan mata sambil menyandar di kerusi malas. Aku kira dia tidur. Tapi tak semena2 aku lihat tangannya menyapu air mata yang mengalir di pipi… Ya Allah.. pilu aku rasa…
Benarlah orang kata. Hati seorang ayah, takda siapa yang tahu. Semuanya terpendam jauh dilubuk hati. Tak terluah hingga ke saat ini..
– Melati
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit