Untuk part I, (https://iiumc.com/hati-kenapa-dengan-kau/).
Assalamualaikum. Jalil kembali lagi selepas dikecam hebat dalam komen.
Terima kasih atas semua respon yang diterima. Tak kira kecaman atau nasihat. Aku terima semuanya.
Jika dibaca kembali confess aku sebelum ni, tiada pun disebut aku berusaha untuk dapatkan Anna. Memang aku tidak berusaha ke arah itu.
Yang aku ada ialah perasaan aku terhadap dia yang memang sepatutnya tidak ada. Aku juga tak ada pun sebut dia tu syok dengan aku. Aku hanya sebut perasaan aku. Bukan dia.
Aku sedar perasaan tu salah. Sebab tu aku kata tolong aku bantu aku. Aku juga sebut aku sedang berusaha untuk buang perasaan aku pada dia.
Aku sedar perasaan tu tak akan ke mana. Sebab dia isteri orang. Aku suami orang. Tak akan boleh bersatu secara halal.
Ada komen yang kata aku buat benda haram. Apa haram yang aku buat? Berzina? Nauzubillah. Aku masih takut azab Allah.
Jatuh hati itu haram? Ada hukuman yang dijatuhkan kepada manusia sebab kesalahan dalam hati? Yang ada ialah apabila kesalahan itu diterjemahkan melalui tingkah laku.
Aku terima nasihat agar aku perbaiki hubungan dengan isteri. Memang aku sedang usahakan pun.
Ada yang terus tuduh aku culas bab nafkah. Yang tu aku nafikan. Nafkah wajib untuk anak isteri memang aku lunaskan.
Ada yang tuduh aku tak pedulikan anak bini dan rumahtangga. Aku nafikan tuduhan tu. Aku bawa keluarga melancong semampu aku.
Isteri penat balik kerja, tak larat nak masak, sama ada aku bawa pergi makan di luar atau aku yang masak sekali sekala. Kemas rumah? Sidai baju?
Aku buat. Bukanlah hari-hari. Tapi aku buat. Aku yakin ada suami lain yang tak pernah buat pun.
Aku ada juga cuba bercakap dari hati ke hati dengan isteri. Aku sebut yang aku memang terasa hati dengan cara dia bercakap dengan aku.
Masa tu memang dia mengaku tak sepatutnya dia begitu. Tapi isteri aku jenis hot tempered. Ini dia sendiri sedar dan mengaku. Bukanlah tak ada langsung masa dia bercakap dengan baik. Ada.
Tapi kesilapan yang sedikit pun boleh sebabkan dia tinggi suara.
Korang tak pernah lupa tutup lampu tandas ke? Tak pernah lupa di mana letak barang ke? Atau itu memang satu kesilapan besar yang perlu kepada gaduh? Tu antara contoh.
Kalau ikutkan hati aku memang bergaduh. Tapi aku tak nak anak-anak nampak kami bergaduh.
Sebenarnya aku pernah istikharah sama ada aku nak lepaskan dia atau tidak. Tapi aku dapat petunjuk dengan jelas yang aku perlu kekal bersama.
Dah banyak aku nampak rumahtangga yang bercerai berai, anak-anaklah yang jadi mangsa.
Mereka membesar dengan emosi yang tak stabil. Akhirnya timbullah masalah pembelajaran dan tingkah laku anak-anak.
Aku tak mahu semua tu terjadi pada anak aku. Jadi kekallah aku sampai sekarang. Semoga selamanya. Cumanya aku harapkan adalah perubahan di pihak isteri.
Korang kata aku bandingkan isteri dengan orang luar. Ya. Apabila ada orang lain bercakap dengan lemah gemalai lembut liut dengan aku, memanglah aku rasa perbezaannya.
Salah aku lah pergi jatuh hati dengan dia. Tapi aku tak berusaha untuk pergi lebih jauh daripada itu.
Sekali lagi terima kasih atas nasihat kamu semua. Nak kecam lagi silakanlah. Aku doakan kamu dan pasangan semua tidak diuji seperti aku.
– Jalil (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit