Tulisan ini pasti akan di anggap cliché orang putus cinta tapi sesungguhnya inilah yang aku rasakan dalam hidup aku buat masa sekarang.
Aku berkenalan dgn H setahun yang lepas. Baik orangnya pada permulaan perkenalan dan jujur aku katakan dia baik terhadap aku dalam tempoh setahun itu.
Sebaik- baik manusia pasti ada sisi hitam yang disembunyikan dan aku rupanya telah ditipu oleh H sepanjang perhubungan kami.
H mempunyai teman wanita lain dan menurut kata H dia lebih cintakan wanita tersebut berbanding aku.
Aku tertanya-tanya, kenapa wujud manusia seperti ini?
Apakah tiada perasaan bersalah dalam hidup dia atas perbuatan menipu sehingga melukakan hati dan perasaan seseorang?
Dan menjadi persoalan aku lagi, mengapa orang seperti ini seolah-olah tiada hukuman buat mereka?
Aku lihat mereka sentiasa gembira dalam hidup seolah-olah tidak mempunyai perasaan bersalah langsung atas perbuatan kejam mereka pada orang lain.
Aku yakin, orang lain turut pernah merasai apa yang aku rasa. Malah setiap insan atas dunia ini diuji dengan pelbagai ujian berpasangan.
Sejujurnya aku sudah hilang perasaan untuk berumah tangga. Aku hilang perasaan pada lelaki dan aku hilang perasaan untuk berpasangan.
Aku hanya mampu tumpang seronok melihat video anak-anak kecil tetapi jauh dalam sudut hati aku, hati aku sudah mati untuk dilukakan lagi.
Aku mula menjauhkan diri daripada berkenalan dengan lelaki malah lebih ekstrem aku mula menolak untuk berkawan dan mengenali mereka yang datang daripada negeri yang sama seperti H.
Aku tolak sekeras-kerasnya individu yang terutamanya yang datang daripada bandar yang sama seperti H tidak kira jantina.
Aku cukup serik untuk percaya kepada manusia datang dari bandar tersebut. Jauh dalam hati aku, aku sedar aku sudah terlalu ekstrem dengan perasaan aku ini.
Malah aku juga telah mula membuat tabungan hari tua untuk menghadapi hidup keseorangan.
Aku sudah mula mencari rumah-rumah orang tua berbayar yang boleh aku daftarkan diri nanti dan aku sudah mula mengira akan kos penjagaan aku di sana.
Aku juga sudah berniat dan sampaikan kepada keluargaku untuk meninggalkan harta peninggalan yang aku dapat daripada keluargaku kepada waris-waris aku dan harta yang aku beli dengan titik peluh aku sendiri sahaja akan aku gunakan pada hari tua nanti.
Bila aku perkatakan tentang hal peninggalan hartaku, keluargaku mula menentang dan cuba beri semangat dalam soal perhubungan,
Tetapi jujur aku katakan, aku sudah berhenti berharap sehingga aku tutup serapat-rapatnya hati aku akan soal jodoh kerana aku tidak ingin lagi melalui fasa kesedihan meratapi diri ini dikhianati oleh orang yang aku percaya.
Salahkah aku sekiranya terlalu percayakan seseorang itu di dalam perhubungan?
Aku selalu ekori kisah andartu dan bagaimana andartu-andartu diperlekehkan di dalam masyarakat.
Melalui penulisan ini, aku harap mereka yang punya rezeki berumah tangga menjenguk sejenak keadaan sebenar andartu dan mengapa kami akhirnya memilih untuk menjadi andartu.
Puan, luka itu terlalu dalam untuk diubati. Kami diuji sehebat-hebatnya sebelum dunia perkahwinan dan puan diuji sebaik-baiknya di dalam perkahwinan. Jalan hidup kita tidak sama. Tetapi kita semua impikan syurga.
Bagi wanita diluar sana yang turut mengambil keputusan seperti aku, aku harap satu hari nanti kita akan berjumpa di pusat-pusat jagaan orang tua.
Mungkin nanti kita boleh rancang aktiviti yang bersesuaian untuk mengisi masa lapang itu. Road to rumah orang-orang tua sekalian, Proud to be.
– Andartu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit