Hati Seorang Anak

Assalamualaikum kepada semua dan terima kasih jika luahan aku ini disiarkan. Jika tidak disiarkan bermaksud coretan ini tidak penting atau mungkin tidak sesuai.

Lepas aku baca luahan ni, (https://iiumc.com/calar-hati-seorang-anak/). Serius jiwa aku kacau. Aku tahu penulis sedang dalam persimpangan antara akal dan emosi. Tiba-tiba bila baca komen aku lihat banyak nasihat yang diberikan berbentuk emosi.

Jadi selepas difikir-fikirkan aku pun mengambil keputusan untuk berkongsi kisah hidup aku iaitu tentang anak yang terluka juga. Mungkin lebih dari itu. Terluka, tergores, tertusuk semua ada.

Kisahnya begini. Aku seorang perempuan. Anak ke 5 daripada 6 beradik. Di atas aku ada dua orang kakak dan dua orang abang. Adik aku juga perempuan dan kami semua telah berkahwin. 4 orang adik-beradik di atas aku semua tinggal tidak jauh dari rumah mak abah. Cuma aku dan adik yang terpelanting jauh ke selatan tanah air.

Aku bekerja dalam bidang hartanah. Adik aku pula bekerja sebagai guru.Dua orang abang dan seorang kakak aku kerja sendiri. Lagi seorang kakak kerja nurse. So settle 6 orang!

Abah aku tokey ikan dari muda sampai dah pencen sekarang. Bagi aku abah berjaya dalam perniagaan ikannya. Banyak juga aset yang berjaya abah kumpul sepanjang berpuluh-puluh tahun menjadi peraih ikan. Lori sahaja berbuah2. Rumah sewa ada. Kedai runcit ada. Kebun ada. Homestay pun ada. Mak aku pula tak kerja. Mak cuma jadi madam yang mengurus kewangan abah.

Orang kampung memang hormat sangat dengan family aku. Mereka gelar abah aku orang kaya. Banyak harta. Anak-anak semua akan hidup senang-lenang.

Tapi itu kata mereka. Hakikatnya tidak seperti itu. Hanya sebahagian sahaja anak mak abah yang merasa kesenangan itu. sebahagian yang lain pula hiduplah terkapai-kapai sendiri.

Siapa yang merasai kesenangan itu?

Tidak lain dan tidak bukan adik beradik aku yang tiggal dekat dengan mak abah. Mereka sapu semua. Seorang abang aku take over bisnes ikan ayah aku. Bayangkan bisnes yang sudah berpuluh-puluh tahun berjalan pastinya mempunyai tapak perniagaan yang sudah kukuh. Tinggal nak sambung sahaja.

Abang yang sorang lagi pula tapau kedai runcit yang sudah menjadi pasar mini. Bisnes yang sudah berjalan juga. Tiap2 hari kutip hasil sahaja.

Kakak yang seorang lagi buat rumah di atas tanah abah aku yang ada 4 buah homestay. Maka automatik homestay itu menjadi milik kakak tersebut. Dia yang uruskan semua. Kata mak, kakak aku itu tidak bekerja jadi mak kena tolong. Jika tidak suami kakak buat hal nanti.

Kakak yang nurse pula terang-terang mak aku sebut rumah sewa dua pintu bagi kepada dia. Kenapa? Sebab kata mak aku, nurse gaji kecil. Jadi mak kena tolong juga.

Ok..

baiklah mak..

Aku dengan adik aku bagaimana pula?

Ohhh jangan bimbang. Untuk aku dengan adik aku juga ada bahagian. Bahagian yang siapa-siapa pun tak sudi nak pandang. Siapa-siapa pun tak hingin. Untuk kami pastinya tanah di hujung benua penuh belukar yang wajib diteroka dulu sebelum boleh digunakan. Kalau bahasa kampung dipanggil tempat jin bertendang. Itu bahagian kami.

Mengapa begitu? Sebab menurut logik mak aku, aku kaya. Aku ajen hartanah. sekali jual rumah atau tanah puluh-puluh ribu masuk. Suami aku pun kaya. Orang bisnes juga. Jadi mak tak perlu tolong aku. Aku dah mampu berdiri sendiri.

Itulah kata2 yang mak ulang-ulang sebut. Sampai aku boleh hafal. Sampai semua orang hadam kata-kata itu termasuk abah, kakak-kakak dan abang-abang aku. Semua rasa logik dan masuk akal. Aku kaya.. jadi tak payah bantu.

Mereka lupa.. Aku juga ada family. Ada anak-anak. Ada pasang surut dalam perniagaan. Tapi semua itu wajib aku hadap sendiri. Jatuh, terduduk hatta terguling sekalipun maka hadaplah aku dengan suami aku sahaja.

Adik aku pun senasib dengan aku. Mak kata adik juga tidak perlu dibantu banyak-banyak. Sebab adik kerja cikgu. Suami pun cikgu. Ada pencen. Maka hanya tanah tempat jin bertendang sahaja yang selayaknya untuk kami.

Adakah aku dengan adik cemburu terhadap abang dan kakak kami?

Nak kata cemburu itu entahlah. Mungkin ya mungkin tidak. Tapi rasa sakit hati itu yang meluap-luap.

Mengapa sakit hati?

Seperti yang aku sebutkan tadi. Empat orang adik beradik aku yang di atas enak-enak mengaut segala laba daripada harta mak abah tetapi bila sampai bab tanggungjawab semua rujuk kepada aku dengan adik. Abah masuk hospital call aku. Bumbung rumah abah diterbangkan ribut call adik aku.

Sebab apa?

Sebab aku kaya kan…. Sekali jual rumah dapat juta-juta! Adik aku pun kaya. Dia cikgu. Ada pencen. Makan tak habis sampai mati… Itu persepsi yang terpahat kukuh di minda nereka.

Aku tahu hasil yang mereka kaut daripada harta mak ayah hanya masuk ke poket mereka. Silap-silap haribulan mak abah lagi yang sorok-sorok keluar biaya untuk repair lori ikan rosaklah, itulah dan macam-macam lagi. Semua itu dirahsiakan. Tapi aku tahu..

Sedangkan aku dengan adik, nak balik kampung pun kadang-kadang berkongsi kos. Setiap bulan mesti bagi duit kat mak abah. Selalunya aku bagi dekat mak sebab amount aku bagi lebih banyak. Adik bagi dekat abah dalam jumlah yang lebih sedikit. Adik beradik lain setahun sekali nak hulur untuk mak abah pun susah.

Pernah aku dengan adik tak balik raya. Kakak aku yang nurse tolong tempah semua kuih dan juadah raya untuk rumah mak abah. Tolong tempah jer.. Kos claim kat mak! Tergamak sungguh.

Aku bukan tak pernah terdesak nak guna duit. Puas aku cerita di depan mak. Tapi mak tak pernah offer kepada aku. Mak buat-buat tak faham. Bukan untuk bagi, offer untuk berhutang pun tidak.

Abah ada juga lah sekali dua offer hutang kepada aku. Sedangkan abang aku tak cukup duit untuk apa-apa hal mak aku pergi hantar cash satu bungkus kat rumah dia. Hebat sungguh support mak untuk abang-abang dan Kakak-kakak aku. Sedangkan aku dengan adik hadaplah sendiri.

Bab balik kampung pun sama. Selalu aku rasa lebih baik tak balik daripada balik. Balik buat penat dan buat sakit hati jer. Semua benda tidak kena. Hati aku memang retak. Daripada retak itulah akhirnya lahir rasa dendam dan benci. Adik aku pun sama.

Namun, di sebalik kekurangan kasih-sayang itu Allah hadiahkan kepada aku suami dari langit. Suami yang selalu memujuk aku. Dia didik aku.

Kata suami aku, Kadang-kadang hati kita amat pedih dengan tindakan ibu bapa. Tetapi hakikatnya hati kita akan lebih berdarah tatkala mereka sudah tiada. Pada ketika itu kita akan rasa tak apalah ibu bapa aku tidak baik sekalipun. Aku tetap mahukan mereka. Aku rindukan mereka ya Allah. Namun ketika itu menangis air mata darah sekalipun mereka tidak akan kembali lagi.

Kata suami aku lagi.. Abang dah rasa kehilangan kedua2 ibu bapa. Jadi abang tahu rasa kosong itu bagaimana. Rasa sepi dalam riuh. Rasa terkapai-kapai. Sebab itu selagi mak dan abah masih ada, kita mesti balik kampung. Kita mesti hargai mereka. Kita mesti raikan mereka.

Anak-anak melihat apa yang kita buat. Jika tidak berhati-hati dengan tindakan kita pada hari ini, next time anak-anak akan copy apa yang kita buat. Kita mungkin tidak sedar tindakan kita silap. Sama macam mak dan abah. Mereka rasa betul pada logik mereka. Tetapi pada kita salah dan tidak adil.

Tentang harta tu tak payahlah fikir sangat. Anggap sahaja itu semua rezeki. Abang kakak dapat rezeki yang baik. Rezeki kita kurang sikit tapi Allah gantikan dengan rezeki-rezeki yang lain. Itu semua Allah dah tulis dah. Mungkin Allah nak uji hati kita.

Bila suami aku bertazkirah begitu aku dengan adik terdiam. Suami adik pun terkesima jadinya. Mula-mula malas juga nak hadam nasihat suami aku tu. Tapi dah bertahun-tahun dia asyik ulang nasihat yang sama maka lama-lama aku pun telan.

Sikit-sikit aku pujuk hati. Sekarang dah ok. Dah lali. Jiwa dah kental. Aku copy sikap suami aku. Dia layan mak abah aku macam raja. Aku pun tumpang sekaki layan mak abah. Kami tunaikan apa sahaja yang mereka sebut.

Suami aku ajar supaya buat baik tanpa syarat. Bukan mengharapkan balasan. Sebaliknya cari redha Tuhan. Bukan redha manusia. Suami aku bukan ustaz. Tapi dia bagus bab-bab ibu bapa.

Walaupun hati aku dah ok, tapi sikap mak tetap macam tu juga. Mak mungkin tak akan berubah cuma aku yang kena berubah. Aku syukur Allah bagi kekuatan untuk aku melalui suami. Kadang-kadang aku stress dengan mak aku tapi aku berleter dekat suami aku.

Hikmah daripada perubahan ini, adik aku juga semakin positif. Dia pun dah jarang menangis sebab terasa dengan mak abah. Malah semakin kerap dia ajak aku share beli hadiah untuk mak. Orang lain tak beli tu mereka punya pasal. Yang penting kita buat yang terbaik, kata adikku.

Kesimpulannya, Apa sahaja yang ada dalam hidup kita ini adalah rezeki yang telah tertulis olehNya. Dan pastinya rezeki itu berbeza-beza bagi setiap orang. Kita hargai, berdoa dan bersyukur dengan apa yang ada. Semoga kita semua tabah dan rezeki kita semakin bertambah.

Terima kasih semua.

– Seri Najiha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *