Saya adalah seoarang wanita yang sudah 3 tahun berkahwin dan masih belum mempunyai anak. Di sini saya ingin berkongsi kisah hidup saya.
Saya baru sahaja tinggal bersama dengan suami saya. Sebelum ini kami pjj. Saya sekarang ini tidak bekerja dan masih lagi mencari kerja.
Semasa kami pjj kami tak ada masalah sehinggalah pada satu hari telefon saya tiba – tiba keluar notification yang amat banyak sekali. (Telefon ini memang saya jarang buka) Saya baca dan rupanya ia adalah dari chat di Facebook.
Pada mulanya saya pelik. Bila saya perhatikan betul-betul rupanya chat seorang perempuan dengan suami saya.
Pada masa itu Allah sahaja tahu apa yang saya rasa. Saya tak sangka suami saya chat dengan perempuan lain. Chat tersebut hanya keluar di notification telefon saya.
Bila saya buka messenger suami saya. Chat itu sudah hilang. Suami saya dah delete. Tapi saya sempat baca chat perempuan yang keluar di notification tersebut.
Antaranya “saya dah lama cari awak”, “saya add kawan awak yang lain semata-mata nak cari awak” “isteri awak tak marah ke?” Itu lah antara ayat-ayat dari perempuan itu.
Malangnya saya tak dapat baca balasan chat tersebut dari suami saya kerana di messenger sudah hilang. Saya menangis pada masa itu juga.
Saya betul-betul tak sangka suami saya macam itu. Sebab selama ni saya fikir dia memang sayang dengan saya. Tak pernah terdetik sedikit pun di dalam hati saya, suami saya ada perempuan lain.
Saya dapat notification tersebut pada waktu malam. Oleh kerana saya yakin mereka masih chat. Saya sampai tak tidur malam sampai ke subuh semata-mata nak tengok suami saya ada tak chat lagi dengan perempuan itu.
Saya memang ada password FB suami saya. Tapi sebelum ini saya tak pernah rasa curiga. Memang saya percaya suami saya tidak akan curang dengan saya.
Berbalik pada kisah tadi, cara saya semak chat dia adalah melalui messenger. Saya hanya buka messenger dia sahaja pada malam itu sehinggalah jam lebih kurang 7 pagi.
Memang Allah nak tunjuk tiba-tiba saya lihat di messenger dia ada ayat “Morning sayang”.
Tak sampai 5 minit terus chat itu dipadam. Tapi saya masih panjang akal. Saya cepat-cepat Screenshot chat tersebut.
Pandai suami saya delete chat dia dengan harapan saya tak baca. Tapi Allah maha berkuasa. Allah nak tunjuk apa yang dia buat belakang saya. Dalam masa sama saya whatsapp dia waktu pagi itu.
Tapi saya tak serang dia. Saya nak tengok permainan dia. Sampai lah saya tak tahan. Saya hantar SS tersebut kepada dia. Guess what? Dia tak mengaku!
Pada masa itu saya dah pasrah. Saya dah tak kisah dah pasal hubungan kami. Apa nak jadi. Jadilah. Air mata tak payah nak cerita. Sampai bengkak mata saya menangis sebab dia.
Sampai lah satu saat dia minta maaf dekat saya. Saya block dia di whatsapp. Dia cuba contact saya di FB tapi saya tak layan.
Perkara ini berlanjutan dalam beberapa hari sampai lah hati saya betul-betul tenang. Saya unblock dia di whatsapp. Suami saya minta maaf dan berjanji tak nak buat lagi. Dia juga beritahu dia dah block perempuan tu. Dia cakap dia sayang saya.
Tapi saya jawab balik, “kalau awak sayang saya, awak tidak akan buat macam itu” dia hanya minta maaf sahaja.
Perbualan kami hanyalah melalui whatsapp sahaja. Memandangkan kami PJJ. Akhirnya saya beralah. Kejadian ini berlaku pada tahun ke 2 perkahwinan kami.
Sekarang pada tahun ke 3 perkahwinan, saya sudah tinggal bersama dengan suami. Tiada lagi PJJ. Walaupun saya sudah maafkan suami saya.
Tapi saya tak dapat nak lupakan peristiwa itu. Saya cuba nak lupa. Tapi tak dapat. Bila saya teringat mula lah saya bad mood. Saya tuduh suami saya macam-macam. Sebab apa?
Sebab saya susah nak percaya dia. Kepercayaan saya pada dia tak macam dulu lagi. Kadang-kadang saya stress. Stress dengan kakak dia lagi (kakak ipar). Isu seterusya ialah mengenai kakak ipar saya.
Sebelum saya kahwin, saya memang kurus. Lepas saya kahwin badan saya makin naik. Kalau berjumpa dengan kakak ipar dia pasti akan sentuh mengenai dua isu. Pertama kerjaya saya. Kedua, mengenai anak.
Kalau berkaitan kerjaya saya, sebelum ini memang saya pernah bekerja. Selepas itu saya berhenti. Kakak ipar saya selalu kata belajar tinggi-tinggi tak ada kerja tak jadi apa juga.
Saya memang terasa dengan dia. Tipu lah kalau saya kata saya tak pernah cari kerja. Cuma saya masih belum ada rezeki untuk bekerja.
Dia selalu kaitkan dengan kawan dia. Kawan dia ada master. Tapi tak kerja-kerja sampai ke tua. Saya cuba jawab “belum ada rezeki kak”
Tapi dia balas “bukan pasal rezeki ni”. Seolah-olah kalau belajar tinggi adalah satu kesalahan bagi dia. Isu kedua adalah pasal anak. Memandangkan badan saya semakin naik, dia suruh saya diet.
Baru mudah nak ada anak. Kalau sebelum ini masa kami pjj dia ada cakap “baik tak payah kahwin kalau nak pjj”. Mungkin pada pandangan kalian isu ini isu remeh. Tapi bagi saya, sedikit sebanyak saya rasa sedih dan stress.
Perkara-perkara macam ini lah buat saya jadi stress. Stress dengan kakak ipar. Stress bila teringat dengan kecurangan suami saya.
Bila teringat semua ini saya terus jadi bad mood. Kadang-kadang saya berfikir baik saya cerai sahaja dengan suami saya. Adakah saya terlalu sensitif?
– Insan Biasa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit