Hati Terbelah Dua

Assalamualaikum dan salam perkenalan. Untuk permulaan, biarlah saya cerita serba sedikit tentang perihal diri saya. Saya berumur 25tahun, sudah berkahwin 3tahun (tahun pertama semasa masih dalam pengajian ijazah). Ibu dan ayah saya sudah bercerai secara fasakh kerana ayah tidak memberi sebarang nafkah selama bertahun2 lamanya. Kehidupan lampau ibu bersama ayah sedikit sebanyak menyebabkan ibu bersikap prejudis dengan setiap menantu lelakinya (saya kurang pasti dalam hal saya ni sama ada ibu benar atau saya yang buta tuli bagi muka pada suami). Baik, kisahnya begini.

Keputusan untuk berkahwin adalah secara mengejut tanpa pertunangan dimana suami terus melamar untuk melangsungkan pernikahan. Pada mulanya, ibu agak keberatan untuk mengizinkan anak bongsunya kahwin pada usia muda 23tahun (dalam konteks masih belajar, belum bekerja) kerana ibu begitu risaukan masa depan saya. Namun, lama kelamaan dengan berat hati ibu bagi keizinan kami kahwin. Sepanjang sesi pernikahan berlangsung, ibu tidak berhenti menangis. Saya cuba memujuk. Naluri ibu seperti tak nak melepaskan saya. Jujur saya katakan, sepanjang akad nikah hingga selesai majlis persandingan (pada hari yang sama) tiada rasa keterujaan dapat kahwin. Rasa kosong dan biasa saja. Pernah saya tengok orang lain kahwin menangis teresak2, saya cuba nak menangis tapi tiada rasa disitu. Terus terang juga saya katakan, bukan saya yang bersungguh-sungguhkan perkahwinan ini tetapi suami sendiri.

Sekadar makluman, suami saya ketika itu merupakan rakan sekelas saya semasa pengajian ijazah. Alasan suami untuk nikah awal adalah (seperti biasa) untuk elakkan maksiat sebab selalu berdua-duaan ke library, ke kedai makan, semua bersama sehingga orang gelarkan kami belangkas. Tapi masih menjaga etika perhubungan dimana kami naik motor berasingan dan jarak duduk berbual tidaklah rapat. Itu sahaja alasan untuk berkahwin padahal masa itu saya menganggapnya sekadar teman rapat sepanjang kuliah. Tapi disebabkan suami beria-ia nak memperisterikan saya dengan jaminan suami pada keluarga saya iaitu 1) dia akan izinkan saya sambung postgraduate selepas tamat ijazah yang berbaki dua semester sahaja (saya dapat sambung terus ke postgraduate kerana keputusan cemerlang); 2) dia akan bagi saya kerja selepas berkahwin kelak ; maka saya bersetuju untuk bawa berjumpa ibu dan keluarga dimana saya meletakkan sepenuh trust pada ibu, jika ibu bersetuju maka saya pun terima. Ibu juga bimbang kerana suami sama-sama belajar, tidak bekerja, maka dari mana sumber wang dapat dibahagikan kepada diri sendiri dan si isteri. Namun, akhirnya ibu bersetuju suami berkahwin dengan saya.

Selepas perkahwinan

Sejurus selepas hari pernikahan dan persandingan, saya dan suami terus gerak ke kolej kami dan sambung kuliah seperti biasa. Tahun pertama kami masih duduk asing di kolej masing-masing. Isu mula timbul bila soal nafkah zahir sukar untuk suami laksanakan. Bayangkan selepas bergelar isteri, semua beban perbelanjaan atau hutang isteri akan menjadi tanggungjawab suami dimana adalah sangat memalukan jika si isteri masih lagi nak mintak parents duit kan. Saya diamkan, tidak bagitahu family. Maka, saya agak terdesak duit makan tak ada, duit bayar kolej, yuran pengajian, kos pembelajaran, dan lain-lain tidak dapat suami lunaskan. Ingat lagi saya sanggup berlapar tak makan berhari-hari (hanya beralasperut dengan air putih dan kadang-kadang mee segera) demi duit cukup-cukup untuk siapkan assignment. Tak naik motor tapi sanggup jalan kaki sebab nak isi minyak tak ada duit, nak uruskan servis motor setiap dua bulan agak membebankan. Bila saya persoalkan pada suami, suami cakap saya tidak faham situasinya. Saya suruh dia cari kerja sambilan, pergi lah jugak dia kerja tetapi dia masih liat dan malas nak kerja. Bila saya bising-bising, barulah dia kerja tetapi hanya mampu bagi rm50/sebulan pada masa itu. Sedih sangat masa itu. Rm50 nak tahan untuk semua perbelanjaan mana cukup, so saya ambil inisiatif kerja sambilan di pasaraya. Alhamdulillah lepas sikit nak uruskan kehidupan di kolej tapi masih jugak tahan perut tak makan semata-mata assignment siap, project dan presentation cun gila sebab nak kekalkan CGPA tak nak bagi jatuh merundum.

Seterusnya, dugaan makin mencabar apabila detik saya pregnant masa akhir pengajian. Seronok sangat masa disahkan hamil 2bulan oleh doktor. Walaupun belajar+kerja sambilan+isteri orang, rezeki anak dapat jugak time tu walaupun masih duduk asing-asing dengan suami. Tapi kegembiraan saya tu sementara apabila suami tidak ‘excited’ dengan kehamilan saya. Pada hemat suami, kehamilan ini terlalu awal dan dia belum bersedia. Dia minta saya gugurkan kandungan itu. Ya Allah!! Dugaan apa ini, tidak tertanggung rasa hati ini menahan sakit. Sakit ibarat ditikam berkali-kali!! Saya melawan, tidak, akan ku jaga kandungan ini sehingga selamat dilahirkan. Tapi, hati perempuan tidak sekuat mana, tiap hari, tiap malam, tiap saat saya menangis seorang diri. Selalu ke masjid seorang diri, memohon perlindungan untuk anak dalam kandungan semoga kuat dan sihat selalu. Sebelum kahwin saja kami macam belangkas, selepas kahwin dah tak ada belangkas, dia buat hal dia, saya buat hal saya, disebabkan kekangan masa untuk mencari rezeki masing-masing. Tu yang saya boleh bawa diri sorang-sorang menangis.

Disebabkan menangis teruk, mata lebam, tak makan berkhasiat duit cukup-cukup je, badan pun kurang zat, bila zat tak sampai pada baby, maka saya keguguran teruk. Mc lama, tak pergi kuliah, tak pergi final internship/attachment presentation. Masa berpantang, rasa tawar hati pada suami. Tengok muka dia pun dah benci. Tapi dia masih relax je. Di WhatsApp group, di Facebook, dia selamba post ‘doakan isteri saya keguguran’ . Saya benci dia buat begitu, macam tunjuk pada semua orang dia suami mithali, macam dia tengah bersedih, padahal bukankah dia yang nak gugurkan kandungan saya? Bukankah dia yang bertekad tak inginkan bayi ini ada? Sepatutnya dia happy, dia tak sempat lagi bergelar bapa. Pfftt.

Saya trauma, saya tak nak tengok muka dia, saya meroyan berbulan lamanya, menangis, meraung, ucap pada suami, Kau kejam! Sejak itu, memang saya dah bahasakan aku kau pada dia, sama macam apa yang dia bahasakan aku kau pada saya. Badan tak terurus, tapi alhamdulillah masih dapat graduate dengan CGPA yang solid dan awesome. Terima kasih Allah! Akhirnya saya redha tentang keguguran itu tapi saya akui perasaan kasih pada suami tidaklah sama seperti dulu-dulu. Sudah berbaki separuh.

Tahun kedua perkahwinan

Dugaan seterusnya melanda dimana jaminan asal yang seperti suami janjikan kepada ibu dan keluargaku tidak ditunaikan. Suami tidak izinkan saya sambung belajar dengan alasan dia tak boleh bayar pengajian saya (p/s: untuk permulaan memang kena pakai duit sendiri, baru universiti akan bagi biasiswa +/- dapat geran so duit tu akan dapat semula macam tu). Malah dia berkata, kalau nak sambung belajar sangat usaha sendiri, carik sendiri. Saya diam. Baik, boleh saya usahakan. Saya nak bekerja, tapi dia tak bagi. Berkeras suruh saya pulang duduk serumah dengan family suami di belah pantai timur. Nak tak nak, saya akur. Ikut ke sana, menetap dengan family mertua bersama suami selepas tamat pengajian ijazah. Bye bye postgraduate!! See you when I die.

Dugaan tinggal bersama family mertua, seperti biasa, sangat merumitkan. Dengan keadaan rumah kecil, ada adik beradik lelaki bujang, maka agak sukar untuk saya seorang perempuan untuk menjaga aurat dan pemakaian. Kalau pakai tudung berlitup, berlengan panjang setiap masa, agak merimaskan. Ditambah pula dengan bilik kami merupakan tempat akses biasa adik beradik lelaki bujang suami keluar masuk dengan selamba. Dengan suami masih berperangai acah bujang, keluar malam, lepak dengan geng-geng bujang 3-4pagi baru balik. Suami selalu tak bagitahu kemana pergi, malam je terus hilang. Penat nak tahan air muka nak jawab mertua tanya mana suami. Saya tunggu sampai 3-4pagi baru dia balik, baru saya boleh tidur. Kenapa ye lelaki memang begitu ke?? Lepak sakan, lupa pada bini dirumah. Lagi sekali, lemah lutut!

Soal nafkah zahir batin memang susah nak cakap. Nafkah zahir tidaklah saya dapat seperti kamu orang sebab hanya kereta saja suami bayar. Yang lain-lain saya bayar sebab saya ada buat bisness kecil-kecilan di rumah. Kadang-kadang kalau ada makan luar, ada juga suami bayar, tapi selalu saya tukang bayar. Suami tiada pula bagi sebulan sekian sekian ringgit pada saya. Tak pernah. Maka, inisiatif saya untuk carik duit poket sendiri untuk simpanan. Ada juga suami pinjam duit, beribu-ribu, tetapi bila ditanya, nantilah bayar. Hmmm..

Nafkah batin pula dua tiga kali dalam setahun. Normal ke? sampai sekarang dah masuk tahun ketiga kahwin macam tu juga. Alasan dia bagi masih tidak bersedia nak ada anak nak ada komitmen sebab tiada kerja tetap, tiada kerja standard bergaji setaraf kelulusan ijazah. Ada je kawan-kawan kahwin lambat dari saya, ok je dah beranak, suami kerja biasa je, tidak tetap. Tapi lain pula pada suami. Dia kata memang anak tu pembawa rezeki tetapi dia tidak ada kemampuan nak tanggung kos kelahiran, kos berpantang, susu, pampers, dan persekolahan anak. Dia kata lagi, memang nabi muhamad suka umat dia ramai, tetapi kalau ramai tapi tak bagus pun tak guna. Maksudnya suami nak ada anak disaat dia dah stable, gaji ok, kerja stabil, ada rumah sendiri, duit kat bank dah banyak supaya kebajikan anak terjaga katanya. Aduhhhhh.. Tapi naluri saya perlukan anak, perlukan nafkah itu. Salahkah saya tuntut hak saya? Bila saya cakap nak anak, dia akan melenting cakap saya tidak sabar. Dia cakap saya boleh tinggalkan dia jika saya tidak boleh tunggu dia betul2 ready. Senang mulut dia ucap macam tu. Dia pun sudah pernah jatuhkan talak atas saya disebabkan kedegilan saya nak anak nak nafkah tapi kami tidak pergi ke pejabat agama, cuma berbaik sendiri. Ikut kata mertua, tidak perlu ke pejabat agama jika talak kecil (talak satu dan dua). Entahlah, saya menurut sahaja.

Paling menyakitkan hati saya, apabila orang tanya suami dah ada anak belum. Suami jawab “belum ada rezeki sebab isteri sakit senang gugur” . Wtf!!!!!!! Saya gugur haritu sebab stress, pressure bila suami taknak anak tu. Kenapa senang je mulut dia cakap macam tu. Kenapa tidak cakap dia tak nak anak dulu, merancang? Cara dia menjatuhkan maruah saya sebagai perempuan yang dambakan seorang anak!! Tambah perit hati apabila orang luar, mak cik mak cik bawang tanya kepada saya, dah ada anak belum? Ada dua sisi cara saya jawab dan ini kata-kata makcik bawang yang cantik sangat. Pffftt..
1)Saya : belum ada rezeki. Makcik bawang : sabarlah, tak pergi urut ke, kesian tak ada zuriat lagi, takut suami cari lain sebab nak kan anak, awak ada buat solat hajat mintak pada Allah tak, awak ada bagi sedekah tak, sebab sedekah tu boleh buat rezeki anak sampai pada kita,ada mohon maaf pada semua orang mana tahu awak ada dosa, yada yada yada…. 2)Saya : Kami merancang, kak. Makcik bawang : Eh, dah kenapa pulak kau nak merancang? Orang nak anak, kau tak nak pulak, nak maintain badan ke camner. Orang kata kalau merancang nanti Allah marah, Allah tak nak bagi kita anak bila kita berkehendak tau!….. Maka saya pun mencarut dalam hati. Cilaka akak ni!!!! #bukanakutapidia

Oh ya, ibu dan family belah saya pun bertanyakan jugak. Mula-mula tu biasalah, segala soalan berjaya ditepis. Tapi nak tutup sampai bila, akhirnya saya terlepas cakap yang suami belum ready nak berkeluarga besar (ada anak). Ibu marah mengatakan suami pelik, macam nak siksa batin saya pulak. Satu per satu soalan ibu tanya, nafkah batin macammana? Nafkah zahir duit makan macammana? Kerja tak? Saya jawab yang sebenarnya berlaku sebab pada saya, ibu sahaja tempat saya bergantung harap, bertanya apa yang perlu buat, baik dan buruk, orang tua kan banyak makan garam. Lagi-lagi kes ibu dan ayah, soal nafkah semua, mesti ibu lebih arif dan tahu menasihatkan kami.

Tapi benda jadi parah bila ibu mula serang suami. Perang besar berlaku. Talak lagi satu jatuh. Talak dua guys. Suami bagi pilihan, dia atau family. Dengan berbaki satu talak sahaja tinggal, saya memilih suami. Dengan harapan, dapat menggapai syurga diakhirat kelak (seperti dalam tazkirah suami sampaikan pada saya), maka saya memilih untuk jadi isteri taat, solehah, menurut kata, tak mempersoalkan apa-apa pada suami tentang pemergiaannya kemana, dengan siapa, untuk apa, semua zero. Saya hanya isteri dalam kertas.

Saya dilarang pulang menjenguk ibu dan family dikampung apatah lagi berhubung secara kerap dengan mereka. Putus segala WhatsApp, segala fb contact masa itu. Suami akan cek phone saya tetapi saya tak boleh saya tengok phone dia. Alasan dia tak bagi pulang kampung, ibu dan family saya tukang hasut saya jadi kurang ajar, jadi degil. Bodohnya saya akur. Masih ingat lagi ibu menangis teruk melihat saya ditarik masuk kereta untuk pulang ke rumah mertua. Last dan tidak berjumpa lagi.

Ibu ada jugak WhatsApp, call mencari saya tetapi saya terpaksa ignore. Ada juga sempat membalas berhubung secara sembunyi-sembunyi. Lepas baca, delete semua. Sedih. Rindu. Kesal. Maaf. Itu yang mampu ucapkan dalam hati pada family saya. Sekarang apa yang berlaku dikampung saya, saya tidak tahu menahu sangat hanya tahu sedikit saja apabila ibu inform apabila suami tiada. Apabila tengok gambar sedara mara, atok nenek, ibu, akak-akak, abang-abang, anak saudara yang ibu forward, baru tersedar terlalu banyak kisah yang saya tertinggal, jauh, sangat jauh. Ibu dah tua, sempat entah tidak dapat berjumpa dengan dia lagi.

Sabarlah hati. Doakan saya tabah. Cuma saya nak pesan pada bakal suami, tunangan orang kat luar sana, kalau belum ready nak ada anak, nak berkeluarga besar, nak ada impian kerja stable gaji besar, maka persiapkanlah diri dulu. Jangan buat naya anak dara orang. Kalau sebelum kahwin memang dah berbincang dengan pasangan sekian-sekian, turutilah. Jangan ignore janji yang dah dikotakan. Layanilah family mertua seperti family sendiri. Nasihat mereka walaupun pedih, ganas, tangkap leleh, tapi kena dengar. Lelaki jangan jadi ego. Berkuasa tapi salah guna kuasa. Menjadi pemimpin tidak semestinya betul sentiasa, ada jugak silap percaturan dalam rumah tangga. Isteri tulang belakang si suami, pendapat isteri kena didengari jugak. Pendapat family kita pun perlu dititikberatkan. Kita bukan tuhan. Doakan saya. Semoga saya tabah jika ini takdir yang Allah bagi. Doakan semoga suami saya terbuka hati untuk menimang cahaya mata, dan menerima family saya seperti family dia jugak.

Wallahualam.

– Syurga bukan percuma, bisakah aku?

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *