Hati Uda

Assalamualaikum semua readers. Uda disini. Coretan ni lebih pada nak meluah.

Maaflah uda ni surirumah. Tak ada kawan rapat nak luah. So dekat sinilah medium uda guna. Uda anak ketiga dari 4 adik beradik. yang sulung Along si abang, Angah si kakak, dan Ucu adik lelaki.

Harini uda makan kentang putar dengan coleslaw KFC tapi rasa pahit. Teringat dulu waktu kecik-kecik KFC la yang kita orang tuju bila waktu ayah gaji. Bila dah besar ada buat majlis makan-makan atau kumpul family kecil-kecilan pun KFC jadi pilihan. Mak suka KFC.

Ok mula dari along. Along dah kahwin. Dari muda kita orang adik beradik tak berapa nak rapat dengan along sebab dia jenis buat hal sendiri. Rapat kat sini maksudnya tak ada nak borak-borak kosong sama-sama ke keluar pergi makan sama-sama ke tu memang tak ada.

Seingat uda la memori macamtu dengan along memang tak ada. Along ni dari bujang memg tak ada nak hulur duit dekat mak ayah, belikan lauk pauk basah ke beras ke memang tak ada. tapi uda dengar cerita dia belikan awek dia cincin emas.

Yelah waktu tu dia couple dengan anak jiran sebelah. Memang la berita senang tersebar. Mak uda makan hati la jugak. Tapi jenis mak bapak style orang lama agaknya.

Anak lelaki tak boleh ditegur. Takut nanti lari gamak nya. Jadinya bawaklah perangai tak jaga kebajikan mak ayah tu sampai sekarang umur nak masuk 40an dah..

Mak ayah makan ke tak, sihat ke tak, semua dia tak ambik tahu.. nak jejak rumah yang dia dibesarkan pun macam jijik je.. takat jenguk-jenguk dari beranda luar je kalau datang menyinggah. bagi along cukup dia cuma jaga kebajikan anak bini nya sahaja.

Dapat pulak bini jenis dah kahwin bolot along ni jadi milik dia 100%. Along dah takde kena mengena dengan family lagi dah dibuatnya.

Sepadan sangat. Mak uda dah tahap tawar hati dengan along. Tawar hati sebab banyak sangat mengharap dekat along tapi akhirnya mak yang kecewa bila along berperangai buat tak endah. Mak uda ni bukan la berharap sangat duit anak-anak hulur tapi lebih pada nak perhatian dari anak-anak.

Mak uda pun ada pendapatan sendiri. Cukup banyak untuk sara diri dia sendiri tanpa susahkan anak-anak. Ada satu hari tu mak uda ni ternampak la bini along ni hulur satu beg plastik berisi KFC dekat makcik Bedah jiran dia. Family along pergi makan-makan dekat KFC.

Tapi along tak ingat pun nak tapaukan sikit untuk mak takat seketul ayam. Sedih betul mak uda waktu tu. Jadi angah yang turut nampak insiden tu cuba pujuk dengan belikan KFC lain utk mak. Mak jamah sikit je padahal KFC memang kegemaran mak.

Kalau lah engkau tahu along, KFC yang paling berharga dihati emak bila engkau yang menghulurnya saat itu. Peliknya, along ni la antara anak kesayangan ayah tau. Kalau along datang kemain sengih sampai telinga.

Padahal orang tu datang kejap je nak hulur kasut buruk yang dia tak sampai hati nak buang tu jadi dia bagi la kat ayah. Entahlah cara asuhan orang dulu-dulu kot kalau anak lelaki sulung kemain dibangga-banggakan dlm keluarga.

Dan ayah uda kalau ikutkan tak berapa gemar dengan anak perempuan. Uda cukup pelik betul la pemikiran macamni.

Angah. Angah single mother dengan seorang anak. Angah ni kerja dalam sektor kerajaan dengan tangga gaji yang agak besar. Kira angah ni memang tak ada masalah kewangan langsung la.

Cukup mewah untuk sara keluarga kecil dia. Macam uda ckp ayah uda tak berapa gemar dengan anak perempuan kan. Waktu awal dulu ayah memg tak suka dengan kelahiran angah. Siap suruh gugurkan lagi.

Ni mak uda la cerita. tapi yelah bila angah dah dewasa dapat pulak kerja kerajaan, gaji masyukk selalu hulur dekat dia so automatik jadilah angah anak kesayangan ayah haha mudah kan. tapi angah kalau dengan family memang dia tak berkira.

Kita orang selalu buat makan-makan dekat rumah angah. Kongsi-kongsi beli bahan, masak sama-sama takpun beli KFC or Pizza. Seronok betul walaupun tu je la muka yang ada dalam circle kita orang. Mak, angah dengan anak dia, and family kecil uda.

Ucu akan join bila dia free. Tapi masalah sekarang angah dah berubah. Totally bukan angah yang dulu. Punca nya sebab apa pun uda tak tau. Uda, mak uda semua dia pulaukan.

Mak kalau ikutkan sebelum ni banyak habiskan masa dekat rumah angah. Masakkan untuk angah dengan anak-anak. Kemaskan rumah angah sebab mak tau angah jenis teliti. Jadi mak akan pastikan rumah angah sentiasa bersih bila angah balik kerja.

Mak uda lah yang tolong tengok tengokkan anak angah bila angah kerja. Dari anak angah baru lahir sampai sekarang umur 10 tahun mak uda yang tolong jagakan.Bayangkan rapatnya bonding mak dengan family angah.

Baru-baru ni angah beli set sofa baru. Mahal. Dalam 7 ribu harga sofa tu. Ada satu hari tu anak uda terconteng pensel sofa baru angah. Uda dah menggelabah dah. Nasib baik kesan contengan tu boleh dipadam.

Waktu tu memang uda cubit-cubit terus la tangan anak uda walaupun kesian dok pikir anak baru setahun lebih berakal pun belum lagi.

Lepas kejadian itu, memang kalau pergi rumah angah memang uda warning anak-anak dari awal jaga kelakuan kalau boleh jangan main dekat sofa baru tu. Macam biasa sebelum balik dari rumah angah, kita orang akan kemas semula apa yang bersepah. Kenapa uda beria cerita pasal sofa?

Sebab uda dapat rasa angah dah mula tak suka uda dengan anak-anak datang main dekat rumah dia. Takut sofa dia kotor atau rosak. Mak uda mula dah perasan perubahan sikap angah.

Mula-mula angah diamkan diri berminggu-minggu dirumah dengan alasan tak sihat. Angah dah mula tak bertegur dengan mak.

Mak dibuat macam tak wujud. Makanan mak masak tak disentuh lagi. Mak terasa hati. Mak rasa mak tak lagi diperlukan dirumah angah.

Sampaikan bila raya haji pun tak ada anak yang datang jenguk mak ayah tanya khabar. Sampai nya hati korang. Sampai sekarang mak tak tahu apa silap mak pada angah.

Okay sekarang uda. Uda yang duduk dengan mak ayah. Uda sayang mak ayah walau uda tahu ayah tak anggap uda macam anak. Tiap kali uda lalu ayah mesti berpaling. Benci sangat nak tengok uda ya. Rela ayah beralih tempat duduk asalkan jauh pandangan dari uda.

Makanan uda masak atau belikan ayah tak akan sentuh. Anak uda ada dua. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Ayah cuma ramah dengan anak lelaki uda je. Kalau dengan anak perempuan uda dilayan sama macam uda. Kesian anak uda.

Uda tau semua luahan hati mak. Kecewanya hati mak bila anak-anak perlakukan dia macamtu. Macam tak ada nilai dimata anak-anak. Uda tak boleh nak tegur along dengan angah. Pendapat uda tak ada orang nak dengar. Kesian mak.

Mak pernah bandingkan nasibnya dengan kereta kepunyaan along .. mak kata beruntung kereta along. Hari-hari along dok belek kereta.

Lap-lap kereta. Tapi dengan mak ni tanya khabar pun tak pernah apatah lagi disentuh.

Naik kereta along pun mak tak pernah merasa. Waktu tu uda belum ada kereta. tapi alhamdulillah mak uda ada rezeki lebih dia hadiahkan uda kereta. Kereta ni pun mak belikan bila angah dengan acu dah setuju. Boleh guna sama-sama.

Alhamdulillah acu adik lelaki uda jenis lembut hati. Layan mak baik-baik. Cuma kekangan kerja luar buat acu tak selalu dapat balik jenguk mak. Tak apa sebab acu kerap contact dengan mak. Dengan ada kereta sekarang uda boleh bawakkan kemana je mak nak pergi.

Mak nak pergi kelas ngaji, uda hantarkan, nak pergi jalan-jalan uda bawakkan. Mak nak makan apa uda masakkan. Tapi itulah kadang sedap kadang pelik rasanya. Tapi air tangan mak la yang selalu uda dok cari. Itulah yang uda mampu buat. Uda suri rumah.

Nak balas jasa mak ayah dengan beri duit, barang branded macam angah buat, uda belum mampu. Sekarang ni uda bawak diri dengan family kecil uda. Uda nak jaga mak.

Alhamdulillah uda ada suami yang boleh terima keluarga kucar-kacir uda ini seadanya. Uda kesian dekat anak-anak uda membesar dengan persekitaran macam ni. Doakan moga ada sinar pelangi dalam hidup uda ya.

– Uda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *