Hati Yang Tersakiti

Hi and assalamualaikum. Nama aku Xixi (nama samaran). Aku tak boleh letak nama betul sebab ramai kawan-kawan aku follow dan selalu komen di page IIUM Confession ni. Aku pembaca setia kisah-kisah yang disiarkan.

Aku suka baca tentang kehidupan mereka sebab ia dari sisi sebenar kehidupan. Selalu aku rasa bersimpati dengan nasib pengadu-pengadu dalam ni. Tapi kali ini, ini kisah aku..

Aku berkahwin dengan Z semasa kami masih belajar di luar negara dalam bidang profesional. Waktu tu aku tahun 3, Z tahun 4.

Z baik, taat perintah Allah, tak pernah berkasar atau naik tangan dengan aku. Katanya, perempuan bukan lawan dia. Kami dikurniakan anak setahun selepas pernikahan sewaktu belajar.

Selepas suami tamat belajar, kami pjj. Suami bawa pulang anak dan menjaganya di malaysia dengan sekali sekala dapat bantuan dari keluarga mertuaku. Keluarga mertuaku juga amat baik. Tak pernah berkira.

Aku kagum dengan Z sebab mampu jaga tanpa isteri di sisi. Bangun jam 5 pagi dan perlu bergegas ke tempat kerja selepas hantar anak ke pengasuh. Kalau shift malam dan main bola juga akan dihantar ke pengasuh.

Di tahun akhir pengajianku, aku mengandung anak ke dua. Dan aku menjaganya seorang diri diluar negara. Anak sulung masih dengan Z. Satu hari aku terima dm dari ig seorang wanita yang kunamakan A. Dia memberi gambar screenshot perbualan lucah dan tukar gambar antara A dan Z.

Luluh hatiku saat membacanya. Suami yang aku percaya dan sayang selama ini telah curang setelah perkahwinan menginjak ke tahun 3. Rupanya si A adalah seorang lelaki dan scammer yang menjadikan Z mangsanya.

A memberitahu aku tentang hal mereka kerana si Z tidak mahu membayar wang berjumlah RM300 setelah diberi gambar lucah dari A. Aku tahu Z takkan sewenangnya mengeluarkan duit untuk perkara yang tidak sepatutnya. (Z agak strict tentang kewangan tapi tidak kedekut untuk keluarga)

Setelah kejadian ini, aku membawa diri dan baby ke london dan netherland selama beberapa minggu untuk menenangkan jiwa. Disana juga aku melakukan hypnosis therapy. Setelah itu baru aku pulang ke malaysia dan study sendiri tanpa masuk ke kelas yang sepatutnya aku hadir.

Kali ini aku berkorban untuk suami, kerana aku menyangka apa yang dia lakukan adalah mungkin dia sunyi atau kosong tanpa aku disisinya.

Aku hanya pulang semula ke tempat belajarku beberapa hari sahaja sebelum waktu final exam. Walau hatiku berat, aku kuatkan juga sebab ini adalah penentuan hidupku.

Selepas tamat belajar dan menggenggam segulung ijazah, aku tinggal bersama suami dan 2 orang anakku yang comel. Aku menjadi support suami kerana pekerjaannya yang memerlukan sokongan keluarga. Aku menjadi suri rumah sepenuh masa sambil menunggu panggilan kerja.

Satu hari aku melihat telefon suami dan ternampak perbualan dengan rakan sekerja perempuan yang kupanggil B.

Mesej dibalas oleh Z dengan ayat dan pertanyaan yang manis dan caring. Seperti, dah makan ke? Belum tido lagi? Di mana tu? Dan banyak lagi. Yang pasti perbualan mereka bukan menjurus tentang pekerjaan.

Aku slow talk dengan suami tentang perbuatannya kerana agak kurang manis jika diketahui oleh orang lain dan sebenarnya, aku juga cemburu.. Suami meminta maaf dan tidak akan bermesej lagi. Tetapi, mereka sambung mesej di telegram.

Z memberi alasan mereka terpaksa berhubung kerana hendak saling bertukar nota kerja. Aku tidak percaya kata-kata Z yang sewaktu itu dia sedang memandu kereta.

Aku mengamuk lalu meminta dia memberhentikan kereta dan perlu call B serta merta meminta supaya jangan berbalasan mesej lagi dengan Z.

Masa berlalu, aku diterima kerja dalam bidang profesional juga. Pekerjaanku perlu kerja shift dan bila pergi kerja hari masih gelap, bila pulang kerja juga hari sudah gelap. Z faham fitrah pekerjaan ku kerana dia juga begitu 2 tahun sebelumnya.

Kini, Aku pula la yang perlu mendapat sokongan dan dorongan suami juga keluarga untuk teruskan bekerja. Sebab pekerjaan kami ini perlu korbankan keluarga, masa dan diri. Ini biasa untuk pekerjaan seperti kami.

Permulaan awal pekerjaan, Z kantoi bermesej dan keluar dengan seorang pelajar KKTM (dirahsiakan negeri). Aku namakan dia C. Walaupun keluar secara beramai ramai bersama kawan-kawan C,

Aku masih tidak bersetuju dengan perbuatan Z. Dia masih curang dengan aku disaat aku tengah sibuk bekerja. Setelah itu, dia berjanji tidak akan lagi contact C dan menyesal apa yang dia buat.

Sepanjang aku bekerja, banyak juga mesej-mesej yang kantoi dan semuanya aku screenshot dan simpan dalam satu folder sebagai bukti satu hari nanti. Berbalas mesej dengan perempuan D, E, F kadang di wasap, kadang di telegram, kadang di wechat. Semuanya terkantoi bila aku check telefon dia.

Kadang melalui gambar, kadang melalui perbualan dan aps yang tidak di padam. Yang pasti, perbuatan dia mesti terkantoi di awal-awal perbuatan jahat dia. Maksudnya tak sempat sehingga keadaan yang lebih teruk macam keluar dating berdua atau check in hotel.

Dan setiap kali terkantoi tu lah dia berjanji tidak akan melakukan lagi dan menyesal atas perbuatannya. Acap kali dia kata, dia juga manusia biasa yang tak terlepas dari kesilapan(inilah ayatnya selalu sehingga aku dah hafal lirik dia setiap kali buat salah tentang perempuan.. hhhh)

Kecurangan suami ini sampai ke puncak apabila satu hari tu di tempat kerjanya, dia terkantoi tentang perempuan juga sehingga dia terpaksa defense dirinya di balai polis walaupun tidak mendapat laporan daripada mangsa tapi kes ini memberi impak yang sangat besar pada Z.

Perbuatan dia boleh menyebabkan dia digantung dan hilang pekerjaan. Saat ini, Z seperti jatuh ke gaung yang paling dalam.

Ketika aku mendapat tahu kisahnya, aku menghalau Z keluar dari rumah tengah-tengah malam. Tapi Z merayu supaya tunggu ke siang sebab dia tiada tempat hendak dituju.

Waktu ini, kesannya juga kepada diriku. Aku malu sangat tentang kejadian ini. Seolah-olah aku tak nak menjejaki kaki keluar rumah. Apatah lagi, waktu tu aku tengah berpantang anak ke 5. Hanya tuhan saja yang tahu sakit dan pedihnya hati ini.

Waktu siangnya Z tak keluar pun dari rumah tu, dia hanya mengurungkan dirinya di dalam bilik selama 2 hari tanpa makan dan minum.

Walaupun aku herdik, hina dia kerana sakitnya hatiku dan juga perbuatannya memalukan kami sekeluarga, aku tetap menghidangkan makan dan minum. Aku tak tahu dimana kekuatan yang aku peroleh saat itu. Yang pasti, aku tahu Allah masih sayang aku waktu itu.

Kes ni aku rujuk dengan kaunselor berbayar dan tak berbayar. Yang berbayar tu habis hampir RM800 juga. Tapi tak effective sangat sebab bila berbayar perbualan agak limited. Dan terkejar-kejar juga dengan masa. Jadi aku rasa Z tak luah kesemuanya. Berbeza dengan kaunselor yang tak berbayar.

Perjumpaan face to face. Mata ke mata. Z ada 3 kali juga perjumpaan dengan kaunselor tu. Kesimpulan yang aku boleh buat, Z cakap dia main banyak perempuan sebenarnya dia nak ‘test market’ je.

Aku yakin, perempuan-perempuan yang pernah berhubung dengan dia pun terpancing sebab ayat Z ni manis-manis. Ayat caring, dan suka belas kasihan dengan orang lain. Kalau diminta tolong tu, memang mudah je Z bantu. Yang pasti bukan dari segi kewangan la.

Sebab tu, kalau ada berlaku perselisihan faham atau gaduh tentang perempuan ni, aku akan panas hati 1-2 hari je. Lepas tu aku dah ok sebab Z ni pandai pujuk. Aku pun mudah cair dengan dia. Suka ambil hati aku selalu. Cuma sikap dia yang suka main perempuan yang buat aku sangat terkilan.

Disebabkan kejadian ini, aku mengambil keputusan untuk berpindah ke negeri lain. Aku memberi pilihan kepada Z sama ada mahu mengikutiku atau dia pulang sahaja di kampung halamannya yang penuh dengan kelapa sawit itu.

Z memilih untuk mengikuti dan memulakan semula hidup baru bersama aku dan anak-anak.

Di tempat baru, kami memulakan bisnes dan Z pemilik bisnes tersebut. Walaupun banyak kesalahan yang dia telah lakukan, aku masih memberi peluang kepada dia. Aku bekerja dengan majikan lain. Sambil aku membantu sikit-sikit sewaktu aku cuti.

Staff kami 5 orang. Satu hari, aku menerima komplain dari staff yang Z ni suka verbally harrasment. Minta staff buat massage ‘happy ending’. Ada juga staff yang dapat mesej flirting di wasap tapi di delete oleh Z di telefonnya.

Aku betul-betul stress sebab kali ini, staff yang jadi mangsa. Kesian mereka yang mencari kerja halal tapi dapat majikan yang macam tu. Kes ini aku selesaikan elok-elok dan kali ni aku terpaksa libatkan mak bapa Z.

Aku juga terpaksa berhenti kerja dan membantu Z jalankan bisnes bersama sambil aku ingin memantau pergerakannnya supaya tidak melebihi batas lagi.

Kes ini walau berat didada, tapi aku hadap juga. Sebab apa?Aku yakin dia masih ada peluang untuk baiki dirinya. Walau bukan untuk aku, tapi untuk kebaikan dirinya.

Kalau ikut hatiku, aku nak saja buang nama dia dari company, complain pada pejabat buruh dan jabatan sepatutnya tentang kes dia. Biar dia tahu langit ni tinggi atau rendah.

Dia masih tak menyesal setelah apa yang berlaku pada dia dulu. Dan bagi aku, dia tidak menghargai aku yang telah bawa dia keluar dari masalah besar dan mulakan hidup baru bersama.

Tak pasti sampai bila aku akan bertahan hidup bersama dia lagi. Dah bersyukur dapat anak-anak yang comel dan bijak, mak ayah mertua yang baik tapi suami perangai sedemikian.

Kes dengan staff ini, buatkan dia betul-betul menyesal dan amat malu dengan mak bapa dia. Anak yang mereka anggap selama ini, baik dalamannya tidak sangka akan menjadi begini. Aku tak tahu dimana silapnya. Salah aku sebagai isteri yang sibuk bekerja?Atau salah didikan mak ayah?

Dia berjanji juga tidak akan mengulangi perbuatannya dengan staff. Dan sehingga kini tiada masalah atau komplain yang aku terima lagi dari staff tentang Z.

2 bulan lepas, aku check telefon Z. ada perbualannya di telegram yang mengajak seorang perempuan bernama G berjumpa di Shah alam. Hampir mengamuk aku saat itu tapi masih dapat kawal sebab waktu tu adalah hari makan-makan keluarga belah aku.

Apa yang aku buat adalah merampas telefonnya yang baru sahaja aku belikan 2 minggu sebelum itu dan hanya beri Z simkadnya. Pandai-pandailah dia hidup tanpa telefon. 2 hari tanpa telefon, seperti cacing kepanasan.

Aku geram sebab, telefon yang aku beli tu untuk memudahkan kerjanya, bukan untuk bermesej-mesej dengan perempuan lain. Pun sama, aku marah sekejap sahaja. walau hati terluka tapi masih mmapu melayan suami dan anak-anak.

Terakhir yang paling terbaru, aku terbaca mesej seorang wanita yang aku agak telah berkahwin sebab profile picture bersama seorang bayi. Perempuan tu kunamakan H.

Si H memanggil suamiku ‘abang’ dan meminta tolong menghantarnya ke satu tempat. Terus aku bertanyakan Z, siapa si H ni dalam hidupnya.

Z terangkan yang dah lama tak berhubung dengan H apatahlagi H sudah berkahwin dan mempunyai anak. Aku ingin mendapatkan kepastian, terus aku menelefon H.

Si H memberitahu bahawa aku salah faham terhadapnya. Dia menghormati Z sebagai abang, dan sebenarnya yang ingin meminta tolong itu adalah dari suaminya. Bunyi pelik tapi aku malas melayannya dan terus mematikan telefon.

Perbuatan Z kali ini betul-betul mencabar kesabaranku. Betul-betul menguji keimananku.

Sejak dulu aku memang tidak percaya pada Z setelah beberapa kali aku ditipu dan dicurangi. Kuota maafku sudah penuh untuk dia. Aku dah tak boleh memaafkan Z.

Mungkin aku boleh bergelak ketawa dan bersembang biasa dengan dia namun untuk menyayanginya sepenuh hati, dan mempercayainya 100% seperti sebelum ini mungkin tidak.

Diriku umpama gunung berapi yang tunggu masa untuk meletus. Tapi aku juga sedang merangka strategi terbaik untuk diri aku dan anak-anakku. Menyimpan segala bukti-bukti yang aku ada. Aku masih menanti apa lagi drama yang akan berlaku dihadapanku kelak.

Wahai Z, kalau kau baca kisah ini. Ini kisah kita. Kisah seorang perempuan yang sentiasa engkau sakiti. Yang dulu dia korbankan impiannya untuk menetap di satu negeri dan mancapai apa yang dia mahukan. Hanya kerana sikap selfish kau, terkubur segala cita-citanya.

Cerita aku tidak tamat disini, mungkin akan ada lagi episod kehidupan yang akan berlaku. Cuma sekarang aku rasa puas dapat meluahkan. Yang sebelum ini hanya kupendam seorang.

Aku hanya perlukan kata-kata semangat dari kalian untuk aku terus hidup dan menghadapi sikap suami aku yang aku tidak pasti bila akan berubah sebetul-betulnya.

Terima kasih membaca sehingga habis.

– Xixi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *