Hati Yang Tersakiti Berkali-kali

Bismillah.. Assalamualaikum…

Berat nak cerita hal peribadi, tapi hati yang tersakiti ini sering rasa ingin berkongsi, ingin meluah dan agar mereka yang samar tentang masalah hubunganku dengan dia dapat sedikit tafsiran betapa azabnya batinku bersamanya dulu…

Barangkali aku rasa terdesak untuk berumahtangga kerana mahukan seorang lelaki yang menjadi teman sejati, impian inginkan mahligai syurga yang indah… Tapi realitinya aku sedar diri yang aku tidak cantik, tidak kaya, tidak cerdik dan anak dara tua.

Tidak hairanlah kenapa tiada orang yang sudi mengorat atau menjadi teman lelaki, aku cuba sendiri mencari jodoh di laman sosial dan biasanya tidak panjang, sekadar perkenalan…

Jadi aku sangat2 pasrah dan berdoa bersungguh pada Ilahi yang telah menetapkan jodoh agar segera hadirnya insan itu…

Dan pada suatu hari, ada jiran datang merisik… Aku nekad jika ada orang meminang terima sajalah, risau jika ditolak tidak akan ada lagi yang datang..

Maka, jodohku itu melalui orang tengah… Kami hanya berhubung melalui sms waktu itu, tiada keluar berdua.. lantas dia hantar keluarga meminangku..

Dalam tempoh pertunangan dah mula nampak banyak yang tak kena… Aku suka jika bermesej rindu tapi dia agak serius dan suruh aku topup kan kredit.. dia ajak bernikah segera sebulan lepas bertunang seperti tergesa tapi keluarga nasihatkan ambil masa tiga bulan agar tidak timbul fitnah..

Urusan perkahwinan aku buat sendiri, naik turun butik, beli cincin kahwin, pergi pejabat agama… Dia ada datang menghantar duit hantaran yang cuma bernilai 3k. Dan majlis kenduri kahwin mencecah 15k.

Dari awal seakan dia tidak bersungguh mahu menjadikan aku permaisuri hati… Bayangkan datang akad nikah tak bawa apa2 dulang, duit mas kahwin hanya di dalam poket, lafaz akad nikah sehingga tujuh kali, lepas akad boleh balik tak sempat nak bergambar..

Waktu itu aku malu dengan kawan, dengan saudara, dengan orang kampung… Kakakku dah menunjukkan ketidakpuasan hati.. Aku mengadu terkejut dengan sikapnya kepada ibu bapaku… Di hari pertama aku sebagai isteri hati dah tersakiti..

Tiada kenduri di belah lelaki, aku mengikutnya balik ke rumah keluarganya meminjam kereta ayahku… Keluarganya besar, 10 adik beradik, dia anak sulung..

Sewaktu datang merisik dulu, dikhabarkan dia tak ada pekerjaan tetap, menganggur, tapi keluarganya jaga agama, adik2 hafal quran… Bila bab hafal quran ni aku terus sejuk hati terima saja dirinya tanpa selidik siapakah dia sebenarnya..

Dan aku terkedu dengan melihat keluarganya… Ayahnya jenis cakap menengking, cakap besar bab2 agama konon semua tahu, adik2nya sekolah madrasah ulum, hafal quran tapi ketawa mengilai, duduk rumah baju ketat kain terbelah, keluar rumah jubah hitam berniqob…

Aku banyak makan hati dengan layanan keluarga dia, mereka seperti tak suka diri ini, terutama ayahnya, jika balik kerumah mentua nak bersalam dengan ayahnya pun susah sebab dia tak pandang,

Jika memasak ayahnya tak makan kata tak kena cara masak.. jadi jika duduk rumah mentua memang makan hati.

Suami pula jika ada yang tak kena akan tengking depan keluarganya… Berubah air mukaku, sakit hatiku,memang selalu niat nak bercerai. Tapi pujuk hati agar sabar, malu jika bercerai, tunggu 5 tahun mungkin hidup akan stabil… Nyata lebih teruk.

Kami tak mampu kumpul harta, duduk di rumah mak ayah, tiada kereta pinjam sahaja, duit simpanan terpaksa disembunyi dari pengetahuan suami kerana dia langsung tiada simpanan.. duit simpananku semakin susut kerana tidak menyimpan selalu keluar..

Selepas kahwin aku masih kerja, dia banyak di rumah memilih kerja atau malas, jadi aku keluar pagi balik petang dia merungut, isteri mesti selalu ada di rumah, siapkan makan pakai tidur… Aku melihat pemikirannya terlalu ortodok dan sempit…

Sering juga bertelagah tak sefahaman. Contoh dia tak bagi aku mengundi kerana kata politik kotor, aku ikutkan, dia kutuk dan komen itu ini tentang kerajaan, aku pening… Yelah apalah sumbangan dia untuk negara sumbangan untuk isteri pun berkira… Bodoh sombong.

Itu belum dia komen orang agama, imam ni salah, mufti tu tak betul, sehingga mak ayah aku pun dia cari kekurangan… Aku tahan sabar. Apa ertinya perkahwinan jika tidak suka dan bahagia…

Rezeki adik2 perempuan dia berkahwin dengan keluarga alim dan bekerjaya bagus… Aku bagai kecil hati, sebab kami miskin, bila balik kampung tak bawa apa sangat buah tangan tapi jika keluarga adiknya balik macam2 benda beharga,enak dan cantik dibawa untuk mentua…

Sungguh jika kami balik bagai tak dirai jika adik ipar balik macam2 lauk mahal beli… Aku kecil hati dan tak pandai ambil hati…

Bab ilmu agama juga cetek, mengaji tak betul, jadi sering pasang sahaja alunan mengaji dari henfon sehingga diperli henfon pula yang dapat pahala… Aku hairan orang yang alim hafal Quran tapi mulut suka sindir, mengumpat diriku.. bab solat ngaji mereka ok.

Cuma suamiku memang tak ok. Solat ikut suka, aku tak pernah berkesempatan menjadi makmumnya kerana dia langsung tak menungguku dan jika aku sempat dia solat sangat laju.. dia pandai mengaji jika ku tanya dia tak mahu tunjuk.. kami sangat bermasalah komunikasi..

Selepas dua tahun baru aku dapat hamil, aku sangat bersyukur, tapi bila kuberitahu dia hanya diam seperti tiada perasaan, aku kecewa, aku cemburu melihat orang yang suka share aksi suami bila tahu isteri mengandung sangat teruja dan dia diam buat tak tahu…

Sepanjang mengandung dia langsung tak bertanya masalah, aku pergi seorang ke klinik, beli barangan baby seorang…

Waktu nak bersalin pun dia buat tak tahu je, tidur je kita dah sakit sangat baru dihantar hospital, lepas bersalin tak dapat hubungi suami rupanya dia tidur dalam kereta… Terkilan, sepatutnya dia tolonglah banyakkan berdoa agar dimudahkan segala..

Sepanjang berpantang dia hilangkan diri, aku berpantang di rumah mak ayahku, mak ayahku sering juga mengeluh dengan sikap lepas tangan dan kurang memberi nafkah.

Aku sedih sangat mujur tak meroyan je. Aku selalu fikir nak cerai tapi pujuk hati sabar terutama bila ada anak, kasihan anak nak kasih seorang ayah bersama ibu..

Rupanya aku berpantang dia main perempuan lain… Sakitnya hati hanya Tuhan yang tahu. Aku tengok je permainan dia sejauh mana.

Aku anggap sikap dia sangat lain macam, tak sama seperti orang lain.. Aku sanggup tak keluar dengannya termasuk pergi kenduri kerana dia akan sakiti hatiku..

Dia perokok tegar, merokok depan2 orang sahaja kadang dengan berjubah berserban berjanggut tapi rokok berkepul. Rupanya, dia sebenarnya kaki najis dadah.

Panjang ceritanya, sebenarnya aku dah lama syak tapi tiada bukti sehingga orang lain yang beritahu… Bayangkan betapa kecewanya aku suamiku penagih dadah. Bila kumengadu pada keluarganya mereka buat tak tahu, yang mereka tahu cari salah aku.

Main perempuan, penagih, tak bagi nafkah, tak sefahaman, aku tak serasi keluarga mentua, dia tak hormat mak ayahku, tak ambil peranan jaga anak, kenapa aku mesti terus bertahan dengan perhubungan yang retak menanti belah..

Lama, tujuh tahun baru kubersungguh meminta cerai, selepas berkali solat istikharah, akhirnya dia lepaskan talak. Aku rasa bebas. Bebas dari rasa kecewa dan sakit hati, tapi sebenarnya aku juga sedih, anak ini terpaksa melalui kehidupan dengan ibu dan ayah berpisah.

Sepanjang tujuh tahun, mustahil tiada langsung kebaikan darinya… Ada, kenangan itu sering membuatku termenung bersedih kerana pasti aku juga ada kelemahan dan keburukan yang tidak melayakkan aku lulus sebagai isteri dan menantu..

Sesuatu yang agak terkesan kini, aku disahkan mengidap penyakit kronik yang jangka hayat tidak lama.

Aku mula memikirkan takut sakit dan takut kematian tanpa bersedia, aku rasa sangat kurang amalan dan memikirkan anak yang akan ditinggalkan, adakah hak jagaannya akan diberi kepada bapa.

Aku muskil dengan sikap buruk bapanya.. Aku mula sakit2 dan aku tak mahu menyusahkan ibu bapaku jikaku sakit.. Adakah ini kifarah..

– Eida (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *