Lepas saya dikhianati oleh tunang, hati sering rasa berbolak-balik. Dia mohon maaf untuk tebus kesalahannya. Dengan janji-janji yang belum pasti. Dengan layanan baik yang ada pasang surutnya.
Awalnya saya dalam dilema untuk teruskan. Tapi mengenangkan keluarga kami, saya maafkan. Ketika membuat keputusan sama ada ingin teruskan atau tidak, saya terbayang wajah abahnya, ibunya.
Mereka orang baik-baik. Mereka tak bersalah. Mereka tak berdosa. Bahkan mereka amat teruja nak sambut menantu setelah sekian lama. Dan majlis lebih kurang sebulan sahaja lagi dengan persiapan yang sudah dimulakan.
Lalu apa salah saya hingga dikhianati sebegini? Saya mengalah untuk tidak selfish. Teruskan semuanya. Seperti tiada apa yang berlaku.
Untuk tidak kecewakan semua pihak. Tapi hati ini teramat hancur bila dapat tahu dia ‘check in’.
Apa salah saya? Terfikirkan insan lain selain dia pun tak pernah apatah lagi berdua-duaan.
Saya hormatinya sepanjang masa, layan dia baik & tak pernah berkira dengannya & keluarganya. Dalam pada kami melayari fasa pre wedding, sampainya hati dia menikam saya dari belakang.
Dia menidakkan sekeras-kerasnya. Alasan demi alasan. Dan akhirnya saya beralah demi maruah keluarga kami. Demi maruah dia juga sebagai seorang anak.
Sedikit pun saya tak buka aibnya dan tidak akan sesekali saya hebahkan perkara ini kerana nature saya yang sentiasa hormatkan dia dari dulu walau betapa marah & terlukanya hati saya.
Saya pendam semuanya dalam hati. Saya mengaku saya pun tak sempurna. Tapi saya dalam proses perbaiki diri untuk jadi lebih baik. Agar saya boleh jadi isteri solehah yang patuhkan dia.
Tapi bagaimana nanti saya ingin kekalkan rasa sayang itu kalau saya terbayang yang tidak elok tentang dirinya dengan wanita lain?
Diranjang.
Saya ingin bawa diri jauh dari lautan manusia. Tanpa menjeling sedikit pun bayangnya. Tapi saya tak pernah sayangkan mana-mana manusia sebagaimana saya sayangkan dia.
Oleh itu tertutup lah pintu hati ini untuk sesiapa, jika saya putuskan untuk pergi. Cinta yang saya tawarkan seikhlas hati saya ini ternokhtah lah sampai di sini.
Tuhan Maha Mendengar setiap rintihan hati & doa yang saya lafazkan dalam sujud. Kusisipkan doa bukan hanya untuk keluargaku.
Namanya, nama keluarganya juga tak pernah putus dalam doaku. Betapa saya memuliakan mereka.
Tapi kebaikan saya disalahguna. Tidak dihargai malah dikhianati satu-satunya cinta hati saya hingga saya sakit sebegini. Fizikal & mental yang sukar untuk dipulihkan.
Ujian ini teramat berat. Saya harus kuat tapi hati saya mati. Semangat hidup saya hilang sekelip mata kerana terlalu kecewa.
Saya tak mahu teruskan tapi saya terlalu menjaga hati. Maka ambillah nyawa saya Tuhan agar cinta saya pada manusia mati di sini. Dan hanya cinta padaMu saya serahkan selepas ini.
Maafkan saya semuanya andai saya pergi.
– Senja (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit