Assalamualaikum, hai semua. Aku Pipit, pernah buat beberapa confession sebelum ini, salah satu confession aku terdahulu adalah Pengalaman Bekerja Sebagai Customer Service, (https://iiumc.com/pengalaman-sebagai-customer-service/). Kali ini aku ingin meluahkan rasa sedih aku terhadap apa yang semakin serius sekarang.
Kita maklum bahawa kita sudah berada di penghujung zaman. Bila-bila masa sahaja boleh berlaku kiamat. Apa yang aku akan tulis ini adalah kesedihan aku terhadap maksiat yang semakin berleluasa. Aku lihat media sosial juga menjadi semakin teruk menguji kita.
Hari ini aku melihat ada seorang Adam yang post beberapa gambar-gambar Hawa. Post itu tular. Mula-mula aku terfikir mereka famous disebabkan bakat mereka. Namun apabila aku buka komen-komen, terdapat ramai Adam yang mengingati nama-nama mereka kerana dosa-dosa yang dipaparkan di media sosial.
Aku sungguh sedih dengan Hawa yang melakukannya dan Adam yang semakin menyebarkan walaupun Hawa sendiri yang menyebarkan aib mereka. Ketahuilah Hawa, maruah kamu itu sangatlah berharga. Usahlah kamu menambahkan jumlah penghuni neraka. Adam tidak akan menjaga maruahmu andai kamu tidak menjaganya. Perbuatan itu merosakkan moralmu.
Ketahuilah bahawa perbuatanmu yang disebarkan di media sosial boleh merosakkan hubungan Adam yang boleh jadi suami orang mahupun tunang orang. Ya, ada sebab mengapa Allah mengharamkan maksiat yang sebegini. Ia boleh merosakkan keharmonian hubungan kita sesama manusia mahupun hubungan kita denganNya.
Ketahuilah Hawa, jika benar kamu ada melakukan kemaksiatan sebegitu, elakkan sebarkannya. Cukuplah hanya Allah dan kamu sahaja yang tahu. Selebihnya, berubahlah, cari redhaNya. Jadikan malu itu mahkota dirimu.
Adam, jika kamu terlihat dosa, ketahuilah bahawa benda yang sama boleh terjadi dari kalangan kakak, adik mahupun ibu kamu. Ketahuilah bahawa kamu menyebarkan aib mereka kerana Allah masih menjaga aibmu. Itu menjadikan kamu Adam yang tidak bermoral juga. Jagalah aib orang sebaik-baik kamu menjaga aibmu.
Takutlah kamu jika mereka yang kamu sebarkan muka-mukanya itu mungkin sudah kembali ke jalanNya. Jagalah pandangan matamu sebaik-baik kamu menjaga aibmu. Janganlah menjadi Adam yang hanya melihat dan melayan Hawa hanya kerana nafsu.
Amatlah sedih jika Adam yang sebegini tidak mengambil perhatian perkara ini sedangkan sepatutnya Adam itu melindungi Hawa.
Hawa pula, kerana perbuatanmu itu, Adam memandangmu sebagai pengalas tapak kaki. Jangan menyalahkan Adam, salahkan diri sendiri dahulu. Tidak menjaga aurat, tidak menjaga perlakuan, Muhasabah diri, istighfar dan berubahlah.
Aku faham kamu diuji dengan nafsu dan iblis yang berbisik, begitu juga aku. Tetapi berjuanglah untuk kalahkannya. Jihad yang paling besar adalah berjihad dengan nafsu sendiri. Aku juga tidak sempurna. Aku menulis untuk sama-sama kita beringat.
Adam tidak memilih Hawa yang tidak pandai menjaga maruah. Adam semestinya memilih yang terbaik, hanya sebilangan Adam yang boleh memilih Hawa yang pernah terjebak dengan hal ini.
Namun, jika kamu tidak boleh menjaga maruah kerana Adam, jagalah maruah untuk dirimu dan Allah. Maruah itu mahkota Hawa.
Sekian ingatan daripada Hawa kepada Adam dan Hawa.
– Pipit
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit