Hebatnya Al-Waqiah, Redha Suami & Doa Ibu

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sekiranya confession ini disiarkan. Semoga kalian mendapat manfaat daripada confessionku ini.

Namaku Rose (bukan nama sebenar). Kisah ini terjadi sekitar April 2017 ketika aku melahirkan anak sulungku.

Sebaik sahaja aku disahkan mengandung, aku selalu berdoa agar Allah mempermudahkan urusan bersalinku & agar masa bersalin nanti dapat doktor perempuan yang dah terlatih. Ini kerana, aku selalu terbaca luahan ibu-ibu bersalin di hospital yang bakal aku pergi nanti.

Mereka mengatakan nurse disana garang, suami tak boleh masuk, doktor pelatih tak pandai & macam-macam hal lagi. Aku menjadi takut memandangkan ini adalah pengalaman pertamaku.

Maka, setiap kali selepas solat, itulah doa yang aku titipkan. Aku juga selalu mengamalkan surah al-waqiah. Surah-surah untuk ibu mengandung pun aku baca juga seperti surah maryam, surah yusuf dan lain-lain. Tetapi surah yang paling kerap aku baca ialah surah al-waqiah.

Akhirnya, pada malam ahad, aku merasakan contraction selang 10 minit. Pada lebih kurang pukul 8 pagi hari ahad, aku menelefon umi ku dan memberitahu keadaanku.

Umi mengatakan dia akan menunaikan solat hajat & berdoa untukku. Setelah itu, aku dan suami bergegas ke hospital kerajaan terdekat. Di dalam perjalanan, suami sempat menelefon maknya dan memberitahu keadaan kami.

Aku sempat bercakap dengan mak mentuaku. Aku memohon ampun maaf sekiranya aku ada melakukan kesalahan terhadapnya. Mak mengatakan akan sentiasa mendoakan agar urusan bersalinku dipermudahkan.

Setibanya aku di dewan bersalin hospital, nurse yang bertugas segera memasangkan ECG ke perutku & memeriksa keadaanku. Selang beberapa ketika, nurse memberitahuku yang rentak jantung anakku tak berapa cantik.

Aku segara berdoa, ‘Ya Allah, selamatkan lah anak yang sudah ku kandung selama ni ya Allah.’

Lantas aku dihantar ke bilik pemeriksaan. Contraction yang aku rasa sudah semakin kerap & semakin sakit. Ketika dalam bilik ini, seorang nurse datang.

“Rose, awak ingat saya tak?”

Allahuakbar, siapa pula yang nak berjejak kasih waktu-waktu begini?

Aku berpaling, “Melati (bukan nama sebenar), awak kat sini?”

Melati merupakan rakan semeja sewaktu aku sekolah rendah. Kami dah lama terputus hubungan sejak masing-masing menginjak ke sekolah menengah.

“Saya kerja kat sini. Meh saya tolong awak.”

Melati menolong aku menukar pakaian kepada baju hospital & menyimpan rapi baranganku dalam plastik ziplock. Selepas itu, seorang doktor perempuan datang dan memeriksa bukaan serviks ku.

“5 cm. Masuk LR sekarang!”

Melati datang kepadaku, “Rose, saya tak boleh teman awak lama-lama sebab saya pun sedang menjaga pesakit saya.”

“Tak apa Melati, saya faham. Terima kasih ye.”

Berlalu lah aku ditolak oleh nurse ke labour room.

Dalam LR, aku mengalami sakit contraction yang sangat dahsyat. Contraction datang selang 2-3 minit sekali. Aku memberitahu nurse yang menjaga aku.

Beliau mencadangkan aku menggunakan gas entonoks yang boleh mengurangkan sakit contraction. Aku menyedut gas entonoks apabila berasa sakit. Tapi macam tak berkesan. Jadi aku memutuskan untuk tidak menggunakannya.

“Eh, kenapa awak tak guna gas ni?”, tanya nurse yang menjagaku.

“Macam tak function je. Saya tetap rasa sakit.”

“Awak kena sedut gas ni masa contraction mula datang. Bukan masa dah sakit. Sebab gas ni ambil masa 20 saat untuk berkesan.”

Aku pun kembali menggunakan gas itu. Namun, disebabkan aku tak boleh mengagak bila contraction tu nak datang, aku memutuskan untuk menyedut gas itu secara berterusan.

“Ahaaa, dah tak rasa sakit!”

Tapi gas itu turut membuatkan aku berasa khayal. Sudahnya aku tertidur & dikejutkan oleh contraction yang amat menyakitkan. Sesekali badanku menggigil & katil juga turut bergoyang!

“Nurse, kenapa badan saya menggigil ni? Saya dah nak m4ti ke ni?” Terus aku bertanya kepada nurse sebaik sahaja dia datang untuk memeriksaku.

“Itu sebab badan awak sedang menanggung kesakitan lebih daripada apa yang awak mampu tanggung. Bersabar ye.”

Allahuakbar! Cepat la masa ni berlalu. Mudahkan lah ya Allah.

Sesekali Melati datang untuk melihat keadaanku.

“Melati, saya haus.” Sepantas kilat Melati mengambilkan air untukku.

“Melati, saya sakit sangat.”

Melati mengajar aku untuk membaca zikir nabi Yunus. Lailahailla anta subhanaka inni kuntuminazzolimin. Ya! Aku ada membaca mengenai zikir ini tapi dalam keadaan itu, langsung aku terlupa. Mujur Melati datang mengingatkan aku.

Setelah beberapa jam berlalu, aku berasa sudah tidak mampu menanggung kesakitan ini. Lantas Melati memanggil suamiku untuk masuk dan menemani aku. Polisi hospital ini ialah suami tidak dibenarkan masuk selagi isteri belum bersedia untuk melahirkan.

Tetapi Melati tetap memanggil suamiku walaupun aku masih belum bersedia sepenuhnya untuk melahirkan. Apabila suamiku masuk, dia mengatakan dia tak henti-henti berdoa dan membaca surah al-waqiah semasa menunggu aku di luar.

Semasa dia menemani aku, macam-macam zikir dia baca. Nasib baik dia tak azan je. Yela, suami mana yang boleh senang duduk bila melihat isteri sedang bertarung nyawa demi melahirkan zuriatnya.

Apabila tiba masa, nurse menyuruh aku bersedia untuk melahirkan. Ini adalah pengalaman pertamaku.

Sebelum ini aku banyak membaca cara-cara untuk melahirkan tapi semuanya dah terlupa dek kesakitan yang tak tertanggung itu. Tetapi Alhamdulillah, nurse itu tak putus-putus mengajarku cara-cara yang betul.

“Tarik nafas dalam-dalam. Puuuusssshhhh! Curi nafas! Push lagiii!”

“Nurse, saya dah tak mampu lagi dah. Bedah je la perut saya ni.”

“Tak boleh. Awak tak ada apa-apa masalah kesihatan. Tak boleh czer. Awak boleh buat ni. Saya yakin awak boleh. Sikit lagi!”

Suamiku juga tak putus-putus memberi kata-kata semangat buatku. Akhirnya lahirlah putera sulung kami yang comel & sihat.

“Terima kasih sayang. Terima kasih lahirkan zuriat abang. I love you so much.” Kata suamiku sambil mengucup dahiku. Alhamdulillah semua selamat. Aku mengucapkan terima kasih kepada nurse yang telah bersusah payah membantuku.

Setelah beberapa ketika berehat, nurse mengatakan aku sudah boleh masuk ke wad bersalin. Sampai di wad bersalin, terdapat dua lagi pesakit yang sama-sama masuk wad dengan aku.

“Puan Cempaka katil 9, Puan Kenanga katil 12, Puan Rose katil 21B.”

Maka suami aku pun menolak kerusi rodaku mencari katil 21B. Setibanya kami di katil itu, aku terkejut. Katil itu berada di dalam sebuah bilik berhawa dingin beserta bilik air.

Wad bersalin itu terbahagi kepada tiga bahagian. Wad dimana pesakit ditempatkan beramai-ramai, tiada air cond. Cuma kipas. Kemudian bilik yang menempatkan empat katil dan berhawa dingin tetapi tanpa bilik air. Akhir sekali bilik yang menempatkan dua katil, ada air cond & juga bilik air.

“Abang, sayang rasa kita salah dengar la tadi. Ni macam wad first class je.”

Lalu suamiku pun kembali ke kaunter untuk menanyakan hal itu. Pada waktu itu, aku baru sahaja menamatkan pengajian peringkat sarjana manakala suamiku pula masih melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah.

Kami tiada pendapatan tetap. Hanya mengharapkan duit biasiswa & kerja sambilan yang suami buat. Jadi, berdasarkan keadaan itu, kami menjangkakan yang aku akan ditempatkan di wad kelas ketiga.

Selepas beberapa ketika, suamiku kembali bersama seorang nurse.

“Puan Rose, betul 21B ni katil puan. Ni je katil kosong yang kami ada. Puan duduk la disini ye.”

Bilik yang sangat selesa, ada air cond. Bilik air pula cuma 3 langkah dari katilku. Sedangkan pesakit yang masuk sekali denganku ditempatkan di bahagian katil yang duduk beramai-ramai tu.

Menangis aku malam tu mengenangkan Allah dah makbulkan semua permintaanku. Aku cuma minta agar masa bersalin tu aku ditemani doktor perempuan terlatih & dipermudahkan segala urusan. Allah bagi nurse terlatih yang sangat baik.

Pada waktu itu juga aku hanya ditemani suami & nurse. Tiada orang lain yang bukan mahram. Bukan itu sahaja, Allah turut menghadirkan kawan sekolahku yang sudah 16 tahun tak berjumpa. Melati sangat banyak membantuku disaat aku sangat memerlukan.

Keesokan harinya, aku sekali lagi dikejutkan dengan kurniaan Allah yang Maha Pemurah. Setelah suamiku membayar bil hospital, aku sempat bertanyakan jumlah bil kepadanya. Cuma RM36. Baiknya Allah bagi aku duduk selesa di wad kelas pertama tetapi dengan harga kelas ketiga!

Hebatnya Al-Waqiah, doa suami & umi serta mak mentuaku. Tanpa redha & doa mereka, tak mungkin semua ini akan berlaku dengan mudah.

Alhamdulillah Allah menganugerahkanku seorang suami yang bertanggungjawab, sanggup bersamaku disaat susah senang & tak jemu melayan kerenahku sepanjang aku mengandung & melahirkan.

Wahai pembaca sekalian, baca lah al-waqiah tak kira waktu kita susah atau senang. Berdoalah & yakinlah yang Allah akan makbulkan doa kita. Allah tu Maha Pemurah. InsyaAllah kita akan dapat rezeki yang kita harapkan dan juga rezeki yang tak dijangka.

Berbuat baiklah kepada ibumu kerana mengandung & melahirkan itu bukanlah perkara yang mudah. Doa ibu untuk anaknya adalah doa yang tiada hijab. InsyaAllah akan dimakbulkan.

– Rose (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *