Hebatnya Lelaki Kerana Adanya Wanita

Assalamualaikum admin dan pembaca IIUMC sekalian. Terima kasih buat admin kerana siarkan penulisan saya ini. Apa yang saya tulis ini ditujukan pada kaum wanita khususnya kaum ibu. Nama yang ditulis ini bukanlah nama sebenar.

Jika sebelum ini saya tulis berkenaan kisah hidup saya yang beristerikan seorang pakar perbidanan dan sakit puan yang sentiasa sibuk. Kali ini pula saya nak tulis bagaimana arwah ummi kami dulu membina sahsiah dalam diri kami anak lelaki. Tulisan ini sepenuhnya adalah nasihat untuk kaum wanita.

Selamat membaca.

Bagaimana arwah ummi mampu melahirkan anak – anak lelaki yang berkualiti ?

Pertama sekali arwah ummi mencari pasangan hidup yang baik dan beragama. Sebelum arwah ummi mengimpikan seorang suami yang baik dan beragama sebelum itu arwah berusaha dulu untuk mengubah dirinya supaya selari dengan apa yang arwah impikan.

Kenapa?

Ini sebenarnya berkait dengan usaha untuk meraih sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah dari Allah. Nak bina sebuah institusi yang berkualiti perlu dihijabkan dengan redha Allah. Apa makna dihijabkan dengan redha Allah. Ketika melangsungkan perkahwinan arwah mengutamakan redha Allah dari redha manusia. Itu bermakna apa yang mereka langsungkan bebas dari unsur maksiat.

Ketiga ia berhubung kait dengan kesedaran kaum suami. Kesedaran ini adalah untuk merancang keluarga. Jika dilihat usia beradik kami begitu hebat mereka merancang keluarga.

Contoh umur kami dulu,

Hafiz Firdaus – 17 tahun
Hafiz Faiz – 16 tahun

Siti Adawiyah – 12 tahun
Siti Aisyah – 11 tahun

Hafiz Aiman – 7 tahun
Hafiz Afnan – 6 tahun

Siti Afiah – 2 tahun
Siti Sumayyah – 1 tahun

Kenapa jarak usia kami berkumpulan. Ini adalah strategi untuk mencorak keperibadian kami ( anak ). Arwah tak banyak pun mendidik kami yang 4 kebawah. Kerana arwah banyak mendidik abang dan akak kami supaya mampu memberi kebaikan pada persekitaran adik – adik mereka. Arwah ummi juga banyak kali tidak memasak untuk kami anak lelaki. Tapi arwah menegaskan jika nak makan masaklah sendiri dan jika tak pandai masak boleh tanya ummi untuk diberi tunjuk ajar.

Ketika makan pula kami tak pernah diajar untuk makan sendirian. Tapi satu pinggan dimakan oleh 2 orang. Setiap yang berstatus abang dan kakak arwah akan menegaskan supaya menyuapkan adik – adik kami juga. Ya buat begini memang memberi kebaikan pada jiwa kami dulu. Kerana dari mereka pun terserlah sifat kasih sayang dan dari kami juga terserlah untuk makin menyayangi mereka.

Arwah juga berpesan pada anak lelakinya….

Firdaus, Faiz, Aiman dan Afnan. Ummi nak pesan dekat kamu semua. Kamu ini lelaki dan abang kepada adik – adik perempuan kamu. Firdaus, faiz abang kepada Adawiyah dan Aisyah. Aiman, Afnan abang kepada Afiah dan Sumayyah. Ummi harap kamu semua menjaga dan bertanggungjawab pada diri mereka. Mereka itu perempuan dimana memerlukan kasih sayang dari abang – abangnya.

Letaklah diri mereka itu dalam jiwa kamu masing – masing dan janganlah berkira dalam melakukan sebarang apa jua pekerjaan di rumah. Korbankanlah keegoan kamu untuk permudahkan jalan hidup adik – adikmu. Bersabarlah dalam urusan ini kerana esok hari pasti muncul kelestarian dalam hidup anak – anak ummi.

Seandainya usia ummi tidak lama di atas muka bumi ini. Ummi mahu semua bidadari ummi itu berada dalam jiwa kamu. Setiap kebaikan yang kamu usahakan inshaAllah akan diberi ganjaran di dunya dan akhirat oleh Allah.

Selepas arwah pesan itu semua. Arwah akan peluk kami dan memberitahu yang dirinya begitu menyayangi diri kami. Kaedah pelukan ini adalah kaedah psikologi. Sejak dari usia kami masih kecil arwah ummi jarang sekali naikkan suara pada kami. Kerana banyak kali arwah akan memeluk kami bila berhadapan dengan tindakan buruk dari kami.

Pelukan itu bukan sekadar pelukan tapi disertakan dengan nasihat dan teguran buat diri kami. Sejak dari kecil lagi kami anak lelaki sudah terbina dengan psikologi yang baik terhadap persekitaran.

Dari usia kami 8 – 9 tahun juga arwah ummi sudah mencantas keegoan dalam diri anak lelakinya terhadap anak perempuannya.

Sebab itu bila saya berkahwin. Saya boleh layan isteri saya bagai seorang permaisuri. Sebabnya sebelum kahwin saya sudah layan adik perempuan saya bagai seorang bidadari.

ITULAH KEHEBATAN SEORANG WANITA YANG BERGELAR IBU. IBU YANG HEBAT AKAN MELAHIRKAN ANAK LELAKI YANG HEBAT.

– Anis Aiman (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *