Helah Daasim

Setiap pasangan yang berkahwin pasti pernah berhadapan dengan perselisihan faham dalam berumah tangga. Itu perkara biasa dan ianya akan kembali ‘normal’ apabila salah seorang daripadanya meminta maaf atau mengalah.

Ada pula pasangan yang sentiasa bergaduh dan bertengkar walaupun hanya dengan asbab-asbab yang kecil secara berpanjangan kerana masing-masing tidak mahu mengalah atau memohon maaf.

Jika kita merasakan ada yang tidak kena dalam rumah tangga kita tanpa sebab munasabah, kita mudah marah dan lebih teruk apabila wujudnya prasangka buruk terhadap pasangan atau keluarga (anak-anak, mentua, ipar duai DLL) kita sehingga timbul perasaan benci.

Kita perlu bertenang sebentar dan beristighfar. Situasi tegang itu tidak mustahil disebabkan oleh gangguan dan perbuatan iblis penghasut rumah tangga yang dikenali sebagai Daasim…!!

Siapa sebenarnya Daasim…? Makhluk itu adalah Iblis laknatullah yang tidak suka melihat kedamaian dan kasih sayang di antara suami isteri, adik beradik dan ahli keluarga yang berada di dalam sesebuah rumah tangga.

Daasim duduknya di pintu rumah kita. Oleh kerana itulah agama kita (Islam) menyuruh kita memberi salam sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda kepadaku yang maksudnya,

“Wahai anakku..! Apabila engkau masuk ke rumah ahli keluargamu berilah salam nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atasmu dan ahli keluarga rumahmu.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)…

Dengan ucapan salam, rumahtangga akan diliputi keberkatan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, diberi kecukupan dan terhindar dari gangguan syaitan. Bila rumah mendapat berkat maka penghuninya akan hidup dalam keadaan tenang, tenteram dan rukun damai.

Sudah menjadi tugas iblis mengganggu serta menggoda keturunan Nabi Adam a.s semenjak dilahirkan hinggalah ke liang lahad kerana itu adalah sumpah janjinya (Syaitan & Iblis) kepada Allah swt selepas dia dihalau keluar daripada syurga Allah.

Daasim adalah iblis yang selalu berusaha untuk memutuskan silaturahim, meleraikan ikatan perkahwinan, mewujudkan rasa benci antara satu sama lain di kalangan suami isteri sehingga terjadinya penceraian.

Daasim tidak suka melihat suami-isteri hidup dalam keadaan aman dan bahagia. Daasim juga benci terhadap kerukunan tali persaudaraan diantara adik beradik.

Daasim ini tugasnya mewujudkan emosi yang panas baran yang keterlaluan, mudah marah, memberontak, wujudnya permusuhan antara suami dan isteri serta memecah belahkan sesebuah keluarga yang bahagia dengan cara menyebarkan rasa syak wasangka di hati pasangan masing-masing.

Menimbulkan pergaduhan dan perkelahian antara adik beradik sehingga rumah menjadi tempat yang tidak aman dan tenteram untuk didiami.

Daasim bijak memainkan peranannya, menjadi ‘orang ketiga’ dengan membisik kan perasaan curiga dihati pasangan sehingga timbulnya syak wasangka di antara satu sama lain (suami-isteri) menyebabkan hilang rasa kepercayaan terhadap pasangan masing-masingn.

Daasim juga akan menggoda pasangan (suami isteri) supaya curang walaupun mereka telah punyai pasangan yang baik dan sebuah keluarga yang lengkap. Akhirnya akan berlakunya sebuah penceraian dan kehancuran sesebuah keluarga yang bahagia…

Helah Daasim untuk meruntuhkan sesebuah keharmonian rumah tangga amat licik. Apabila sudah timbulnya perasaan syak wasangka, rasa percaya akan hilang di antara pasangan itu maka pertengkaran hebat pasti akan terjadi.

Syaitan Daasim memerhati sambil membakar hati manusia terus menerus. Jika dengan perang mulut tidak dapat di selesaikan, biasanya berpindah menjadi pergelutan, tumbuk menumbuk, tampar menampar dan ianya pasti akan berakhir di meja pengadilan…

Ini hanyalah beberapa contoh kecil yang dapat saya kongsikan sebagai panduan para pembaca. Masih banyak lagi gangguan2 syaitan dan iblis terhadap keluarga kita.

Jadi sebelum Daasim dan iblis laknatullah menghampiri jiwa, anak-anak, pasangan dan ahli keluarga kita marilah sama-sama mengamalkan cara hidup mengikut syariat Islam bagi mewujudkan keluarga yang soleh dan solehah.

Jadi sebelum kita menyalahkan orang lain diatas keruntuhan rumah tangga kita marilah kita menilai terlebih dahulu cara kita dalam membentuk keluarga yang bahagia. Adakah solat kita, ibadah kita, akhlak kita di redhai Allah swt? Wallahualam…

– Puan Ammy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *