Tahniah adikku sayang Khairul Amzar, my hero. Segala pengorbanan yang Ja telah lakukan, Allah balas dengan kejayaan yang tak ternilai di dunia lagi. Kenapa aku panggil dia hero? Ada kisah disebalik kejayaan dia pada hari ni yang menjadikan dia hero di mata kami adik beradik.
Hari ini, dia bergraduasi tanpa arwah ma di sisi. Gambar kami sekeluarga pun tak lengkap tanpa bidadari syurga kami. Tak seperti gambar adik beradik sebelum ni yang sempat bergambar penuh gembira dengan kehadiran ahli keluarga yang lengkap. Abah masuk dewan pun tanpa ditemani arwah ma disisi. Hanya bertemankan Amri, abang kembar Amzar.
Tahun akhir pengajian Amzar tak seperti orang lain. Penuh dengan suka duka memeritkan yang dia perlu terima. Pada tahun akhir pengajian dia, keadaan arwah ma yang mengidap Brain Cancer Stage 4 makin bertambah buruk. Terutama ketika nak masuk bulan Ramadhan.
Daripada jalan perlahan, arwah ma bertongkat. Daripada bertongkat, arwah ma berkerusi roda. Daripada berkerusi roda, arwah ma terus fully paralysed. Terlantar di katil & hanya mampu menggerakkan mata & bibir. Tidak mampu bercakap lagi. Itulah kali terakhir kami mendengar suara ibu tersayang. Dan takkan mampu mendengar lagi hingga ke akhir hayat kami.
Ketika arwah ma sakit, aku & adik bongsu akan menjaga ma sementelah abah bertugas sebagai polis di Istana. Adik beradik lain semua jauh merantau. Yang tinggal hanya Amzar yang belajar di UITM Seri Iskandar. Paling dekat dengan kami. Setiap hari, lepas settle tempahan & delivery sushi, aku akan terus ke rumah parents. Tukar giliran dengan abah sebelum abah masuk kerja. Aku akan masak, uruskan arwah ma, mandikan, suapkan makan.
Yang paling aku takkan lupa senyuman manis arwah ma ketika aku sikat rambut dia di atas kerusi roda. Letak bedak di muka & badan, persis bayi. Kudrat aku sebagai perempuan tak sekuat mana untuk angkat ma ke bilik air. Bukan senang uruskan pesakit fully paralysed, tenaga penjaga kena kuat sebab nak kena tampung berat arwah ma. Bila paralysed, badan akan bertambah berat daripada berat asal.
Jadi boleh dikatakan setiap hari, Amzar akan ulang-alik dari Seri Iskandar ke Ipoh untuk bantu kami uruskan ma. Dia akan dukung ma bangun untuk makan, dukung ma untuk solat, dukung ma untuk mandi. Angkat ma untuk tukar lampin pakai buang. Kadang-kadang kalau aku lambat sampai rumah abah, dia akan masakkan lauk tengahari untuk keluarga makan.
Balik pagi ke Ipoh, tengah malam balik semula ke seri Iskandar untuk siapkan Final Year Project. Keesokkan ataupun lusa, datang semula untuk uruskan arwah ma. Keletihan jelas melalui bahasa tubuh dia. Dia tak pernah merungut. Dia jaga arwah ma dengan sangat baik. Sanggup ketepikan pelajaran seketika untuk berbakti pada arwah ma. Dia redha dengan segala keputusan exam yang dia akan dapat nanti, itu kata dia pada aku. Begitulah sehingga ke saat-saat akhir arwah ma ada kat dunia ni.
Pada malam sebelum raya pertama, arwah ma nampak lain sangat. Aku boleh rasakan ma akan pergi dalam masa terdekat ni. Amzar seperti biasa, sediakan makan untuk arwah ma. Tapi arwah ma dah taknak makan. Pada pagi raya selepas subuh, hati aku kuat sangat mengatakan arwah ma akan pergi tinggalkan kami pada hari ini. Jadi aku minta semua adik-adik minta maaf dengan arwah ma & aku bagitau abah, ma akan pergi pada hari ni sebelum abah pergi kerja. Abah bertugas pada hari raya pertama. Entah kenapa, naluri aku kuat sangat pada ketika itu.
Lepas solat raya, aku minta semua adik-adik bacakan yasin. Pada waktu tu kaki ma dah sejuk. Aku ucapkan kalimah syahadah di telinga arwah ma, pandangan arwah ma pada aku ketika itu sangat menusuk kalbu. Ma dah nak pergi! Itu yang aku cakap pada semua. Aku call abah suruh balik rumah secepat mungkin, keadaan ma dah nazak. Ambulans datang & amzar iring ma ke hospital.
Setengah jam selepas itu, Amzar call bagitau ma dah takde. Dia peluk aku erat & menangis waktu aku tiba di hospital. Orang yang dia jaga dengan penuh kasih sayang dah tiada. Ya, arwah ma pergi tinggalkan kami pada 1 syawal. Waktu orang lain bahagia bersama keluarga menyambut kemerdekaan syawal. Kami menyambut syawal dengan linangan air mata.
Dia balik ke UITM seminggu selepas pemergian ma dengan semangat baru. Dia dah jauh ketinggalan & terpaksa berlumba dengan orang lain yang dah kedepan. Masa untuk submit Final Year Project pun makin suntuk. Allahu, mungkin kebaikan yang dia buat untuk ma & dalam masa yang sangat suntuk untuk selesaikan semua pelajaran yang tertinggal. Berkat kesabaran, dia berjaya dapat anugerah dekan pada tahun ni. Alhamdulillah, tahniah sejuta tahniah amzar.
Walaupun tanpa ma disisi, kami tetap ada untuk Ja. Tahniah Ja. Arwah ma mesti bangga dengan Ja. We always with you. We always love you. You’re our HERO.
Al-Fatihah buat bidadari syurga kami Sherizai bt. Ismail yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 syawal 2018.
– Along
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit