Hidayah Milik Allah

Salam Ramadan buat semua pembaca IIUM Confession. Aku tertarik sangat kisah confessor ni, (https://iiumc.com/suami-tak-solat-2/) sebab kisahnya sama macam aku.

Bezanya, dia lalui 3 tahun. Aku tempuhi berbelas tahun.

Bagi aku, suami tidak solat bukan alasan untuk isteri tidak hormat suami. Itu mungkin kelemahan dia tapi kita jangan menambah dosa yang sedia ada.

Aku pun alamai situasi sama. Awal perkahwinan solat. Kemudian lambatkan solat sampai habis waktu. Lama-lama slumber je dia tak solat.

Aku? Tetap solat macam biasa. Rumah tangga jangan cakap. Terlalu banyak ujian-Nya bila kita atau ahli rumah tak solat. Sakit yang amat hanya Allah yang tahu. Cukuplah aku fokus untuk reply kisah confessor.

Pasal suami tak solat, berbuih mulut ahli keluarga suami tegur dan nasihat termasuk ibubapa dia. Kalau dah tak tahan sangat kena bebel, dia solat. Balik rumah, tak solat balik.

Tapi aku dengar nasihat kak ipar aku. Katanya, hidayah milik Allah. Selepas usaha macam-macam cara, kita BERDOA. Ye, kita berdoa.

Katanya, jangan sesekali biadap dengan suami. Cukuplah kakak abang mak abah marah dia. Aku pegang kata-kata ini.

Ada satu waktu tu, kami ditimpa musibah agak hebat. Suami mula solat. Tapi bertahan sebulan dia. Sekadar solat. Tak ada istiqamah.

Aku? Pun bukan baik mana. Sekadar solat, Al-Quran entah ke mana. Jadi jangan anggap suami tu jahat. Kita pun banyak kekurangan tanpa sedar.

Setelah berbelas tahun aku berdoa tiap kali lepas solat, akhirnya Allah makbulkan. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Dia bukan sekadar solat, tapi menjadi imam kepada aku dan anak-anak. Selepas solat, dia rajin baca Al-Quran.

Masuk sebulan, dia paksa aku mengaji sama tiap hari macam dia. Dia berhentikan anak-anak mengaji sebab nak aku dan dia sendiri ajar mengaji.

Sebelum tidur, dia paksa aku baca Al-Mulk dan As Sajda. Berat rasanya mula-mula tu. Lama-lama jadi janggal kalau tak buat. Anak-anak juga wajib baca beberapa surah seperti Al Mulk dan 10 ayat awal akhir Al Kahfi.

Diam tak diam, dah setahun kejadian ni berlaku. Alhamdulillah, rezeki jangan cakap, mencurah-curah tanpa henti. Hubungan kami semakin rapat.

Pelbagai surah kami baca setiap hari untuk sedekah pada arwah ibubapa. Bayangkan, dari arwah ibubapa hidup, hinggakan mereka tiada aku berdoa siang malam.

Akhirnya bab solat ini Allah makbulkan. Angan-angan nak berimamkan dia jadi kenyataan. Alhamdulillah. Jangan putus asa berdoa wahai confessor.

Dalam masa sama, tolong jagakan solat dan mengaji anak-anak sementara kita keseorangan dalam jaga solat. Tak dapat pegang solat suami, jagakan solat anak-anak dulu. Ini ujian Allah.

Sekali nikmat Allah beri, tak tercapai akal kita. Aku mohon dia solat, tapi Allah jadikan dia imamku. Imam pada anak-anakku. Syukur ya Allah.

– Aku Makmum Dia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *