Hidayah Untuk V

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Aku Z (bukan nama sebenar). Aku nak kongsikan satu kisah tentang sahabat aku yang menjadi saudara Islam yang baru.

Kisah ini merupakan berdasarkan kisah sebenar, tetapi terdapat sedikit tokok tambah supaya tidak merujuk kepada mana-mana individu.

Hampir sedekad yang lepas, aku mula bekerja di salah satu kawasan pedalaman yang jauh dari kampung halaman. Pekan yang terdekat pun memakan masa hampir 3 jam perjalanan.

Dalam kerjaya aku, biasanya hampir setiap 2 minggu sekali, aku akan keluar ke pekan terdekat untuk urusan rasmi seperti mesyuarat, kursus dan taklimat yang berkaitan. Maka, aku dapat berkenalan dengan ramai kawan baru di sana.

Kami mula menyimpan nombor telefon masing-masing dan mencari akaun facebook masing-masing supaya memudahkan urusan kami kelak.

Pada satu hari, ada satu kursus yang perlu aku hadiri di pekan. Ketika itu, aku telah dihubungi oleh seorang perempuan menerusi facebook messenger bertanyakan tentang lokasi dan masa kursus berkenaan. Dia juga perlu hadiri kursus berkenaan.

Setibanya di lokasi kursus, dia menghampiri aku untuk berterima kasih atas perkongsian maklumat tadi. Dia memohon untuk duduk semeja dengan aku sepanjang kursus itu.

Kami berkenalan. V (bukan nama sebenar) namanya. V seorang perempuan bukan Islam. Walaupun V mempunyai rupa yang menarik seperti artis, V tidak berpakaian seksi. Malah, elok sopan dan memahami batas agama Islam.

Sepanjang kursus tersebut, aku, V bersama beberapa orang kawan baru lagi, telah menjadi lebih rapat dan bertukar nombor telefon supaya memudahkan urusan kami untuk perkongsian maklumat kursus akan datang.

Walaupun kami semua baru kenal dan berasal dari latar belakang yang berbeza agama dan budaya, kami semua menjadi kawan baik dan selesa berkawan.

Suatu hari, V menghubungi aku menerusi whatsapp, menyatakan bahawa dia ingin bertanyakan sesuatu kepada aku.

“Z, sorry nak tanya sikit, boleh? Saya nak tahu. Kenapa orang Islam ambil wudhuk? Sorry kalau soalan ni tak patut saya tanya.”

“Eh, takpe V. Wudhuk ye? Wudhuk ni macam cara untuk orang Islam bersihkan diri. Bukan dalam bentuk fizikal.

Kalau kita mandi, kita bersihkan badan luaran kan? Tapi, wudhuk ni akan bersihkan jiwa dalaman. Supaya kami sudah bersedia untuk lakukan apa-apa. Sebelum kami solat, kami wudhuk dulu. Sebelum baca alQuran, kami wudhuk. Bila-bila nak tenang, kami wudhuk.”

“Ok, saya faham. Terima kasih, Z sebab bagi penjelasan.”

“Takpe. Kalau V rasa nak tanya apa-apa, tanya je. Saya cuba jawab sebaik mungkin.”

“Terima kasih, Z. Sebenarnya, dah lama saya nak tanya pasal wudhuk ni. Hehe.”

“Sorry jugak, saya nak tanya ni V. V berminat nak tahu pasal Islam ke?”

“Kalau saya cakap ni, Z jangan bagitahu sesiapa ya. Sebenarnya, saya dah lama nak tahu pasal Islam. Selama ni, bila saya tanya kawan-kawan pasal Islam, mereka akan suruh saya masuk Islam dulu. Tapi, Z lain.”

“La, yeke? Biarkan mereka. Sekarang, kalau V nak tanya apa-apa, saya cuba jawab mana yang saya tahu.”

Itulah soalan pertama V tanya aku tentang Islam. V rasa selesa sebab aku tak paksa dia masuk Islam. V mula bercerita tentang kenapa dia berminat dengan Islam.

V kata, dalam Kristian semasa khutbah di gereja setiap Ahad, ada diceritakan bahaya arak dan suruh orang jangan minum arak. Tapi, tak lama lepas keluar gereja, minum arak. V rasa pelik. Kenapa ajaran dalam kitab tak sama dengan apa yang diamalkan?

Tapi, yang bagusnya V sendiri pun tak minum arak. Baru aku tahu, bukan semua orang bukan Islam minum arak. Dan aku juga sedar, ada juga orang Islam yang minum arak.

Kemudian, V bercerita tentang Tuhan yang dimaksudkan dalam Kristian. Dalam Kristian, Tuhan itu cuma ada satu sahaja. V yakin dan percaya, Tuhan cuma ada satu. Tiada dua atau tiga. Cuma satu.

Agama lain pula, Tuhan ada lebih dari satu. V tak percaya itu. Tapi, V dapat tahu bahawa Islam juga percaya cuma ada satu Tuhan. Sama seperti Kristian.

V nak tahu, apa bezanya Kristian dan Islam? Sedangkan sama-sama percaya Tuhan itu satu. Jadi, sebab itu V berminat nak memahami dengan lebih mendalam tentang Islam.

Dulu, V ada bertanya kepada kawan-kawan Islam dia. Tapi, mereka selalu tidak mahu menjawab soalan tentang Islam, sebaliknya, suruh masuk Islam dahulu, suruh pakai tudung dulu, baru mereka akan jawab semua soalan. V rasa tertekan dengan paksaan macam tu.

V cuma nak memahami Islam dahulu, kemudian baru berfikir untuk masuk Islam atau tidak. Sebab ini merupakan keputusan yang sangat besar. Maka, V pun tangguhkan minat dia terhadap Islam. Sampailah dia jumpa aku.

Tapi, dalam ramai-ramai kawan Islam, kenapa V pilih untuk tanya aku?

“Sebab saya dapat rasa Z orang yang jujur dan lain dari orang lain. Ingat tak masa saya mula-mula sampai ke kursus? Masa kita semua mula berkenalan?

Masa tu, ramai kawan-kawan lain yang lelaki hulurkan tangan salam saya. Saya tahu mereka Islam. Saya tahu Islam melarang lelaki dan perempuan bersalaman. Sebab tu saya tak pernah hulurkan tangan dahulu untuk bersalam.

Jika mereka yang hulurkan tangan dahulu, saya perlulah sambut. Sebab saya tak dilarang untuk bersalam. Tapi, Z tak buat macam tu. Z tak hulurkan tangan salam saya. Walaupun tak salam, Z tetap mesra berkawan dengan saya.

Saya dapat rasakan Z hormat saya sebagai perempuan. Sebab tu saya rasa lebih selesa berkawan dengan Z.”

Ya, aku tak salam dia. Aku tak sentuh mana-mana perempuan. Tu memang prinsip aku. Sebab, bagi aku, itu cara aku untuk tunjuk hormat perempuan. Masa tu aku sedar. Setiap tindakan kita, diperhatikan dan akan menggambarkan agama kita.

Selang beberapa hari selepas itu, V minta aku ajarkan cara berwudhuk. Dia tanya, boleh ke orang bukan Islam berwuduk? Aku kata, takde masalah. Cuba je dulu. Mana tahu, hati lebih tenang. Dapat kebaikannya.

Untuk permulaan, aku ajarkan V amali berwudhuk. Cuma pergerakan sahaja. Tanpa niat wudhuk. Cuma niat dalam hati, ingin tenangkan hati. V cuba ikut arahan aku satu persatu. Daripada cara sapu air ke muka, sampai la ke kaki.

Semua ini, hanya melalui mesej di whatsapp je. Bukan secara berdepan. Di akhir perbualan, aku cadangkan supaya V cuba amalkan wudhuk setiap kali sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur.

Seminggu kemudian, V hubungi aku. Dia kata dia dah cuba amalkan setiap pagi dan malam. Malah, V juga berwudhuk setiap kali pulang dari kerja sebelum berehat. V akui, V rasakan sesuatu. Rasa lebih tenang dari biasa. Rasa seperti jiwanya bersih. V berterima kasih sebab ajarkan dia wudhuk.

Aku rasa terharu. Aku tak sangka, bantuan kecil yang aku beri melalui whatsapp tu, sangat besar dan mendalam kesannya buat dia. Allahuakbar! Aku rasa seperti ini satu tugas yang diamanahkan kepada aku untuk membantu dia.

Kemudian, kami menjadi semakin rapat. Kami selalu berjumpa dihujung minggu sebab V nak belajar mengenali Islam dari aku. Macam-macam V tanya aku. Tentang Allah, Nabi Muhammad, 25 nabi, tentang solat, kiblat, haji dan banyak lagi. V ingin belajar tentang solat.

Aku kata, ok. Aku ajarkan V, pergerakan solat sahaja dulu.

Aku pesan, selepas wudhuk, cuba la buat pergerakan solat ni. Niatkan dalam hati, apa yang V nak. Tak perlu pakai telekung dulu. Pakai je sopan macam biasa. Tak perlu cari sejadah dulu. Guna je tuala bersih pun boleh. Arah kiblat, aku minta dia download apps.

Seminggu kemudian, V hubungi aku lagi. Dia kata dia dah cuba amalkan wudhuk dan pergerakan solat itu. Dia rasa sangat tenang. Perasaan tenang yang tak pernah dia rasakan selama ini.

Dia berterima kasih pada aku. Dia menangis semasa solat. Dia rasa seperti terisi satu kekosongan dalam jiwa dia.

Aku jadi lagi terharu. Aku yang Islam ni pun, tak pernah menangis dalam solat. Tapi, orang yang aku ajar pergerakan solat ni, dapat rasakan ketenangan sampai menangis dalam solat.

Kuasa Allah ini, membuatkan aku insaf. Betapa aku lupa akan nikmat dilahirkan dalam Islam. Betapa bersyukurnya orang yang baru mengenali Islam tetapi dapat merasakan nikmatnya Islam. Allahuakbar!

Kemudian, V mula belajar ungkapan lazim yang kita guna dalam Islam. Assalamualaikum. InsyaAllah. MashaAllah. Subhanallah. Astaghfirullah. Apa maksudnya? Bila nak gunakannya?

Dan, aku jadi terharu bila dia cuba amalkan semua ungkapan ni dalam hidup dia. Terutamanya, masa bersama aku. Bila kami berjumpa bersama kawan-kawan lain, dia datang bisik kat aku, Assalamualaikum.

Tersenyum aku sambil membalas Waalaikumsalam dengan berbisik juga.

Mungkin ada yang tak setuju aku sambut salam V tu dengan Waalaikumsalam sebab dia masih lagi belum masuk Islam. Tapi, niat aku, aku nak suntik motivasi buat V supaya dia rasa seronok dengan Islam. Mudah-mudahan hati dia dibuka untuk memeluk Islam.

Tapi, kenapa berbisik? Sebab tiada siapa tahu tentang usaha V mengenali Islam ni. Kawan-kawan lain, semua tak tahu. Kalau boleh, V taknak semua orang tahu dulu. Biarlah V masuk Islam dulu, baru semua orang tahu.

Sebenarnya, V mempunyai masalah untuk mempercayai orang lain. Hidup V sebelum ini penuh dengan derita. V pernah mempunyai teman lelaki Islam. Tapi, sayangnya. Teman lelakinya itu bukan sahaja tidak banyak membantu V mengenali Islam, malah berlaku curang pula.

V juga pernah didiagnosis dengan masalah jantung. Tak cukup dengan itu, hidup V semakin huru-hara apabila disahkan memiliki cyst yang besar dan terpaksa melalui beberapa pembedahan.

Lebih memilukan, apabila doktor menyatakan bahawa besar kemungkinan V sukar untuk mengandung. Berapa ramai lelaki yang sanggup terima V apabila mengetahui mungkin mereka takkan dapat zuriat?

Walaupun hidup V dipenuhi duka dan lara, V akui hidupnya kini semakin penuh dengan bahagia. Malah, sifat aku yang suka berjenaka tambah menceriakan hidup V.

Aku pesan pada V, bahawa Allah tahu betapa V telah bersabar dan tabah mengharungi dugaan hidup selama ni. Dan, yakinlah pada Allah. InsyaAllah, mudah-mudahan hidup V akan mula dipenuhi dengan kebahagiaan.

Mungkin inilah sebab Allah hadirkan aku dalam hidup V. Untuk membimbing V memahami Islam. Untuk menceriakan hidup V. Untuk meyakinkan V bahawa dia layak untuk hidup dengan bahagia.

Tak lama selepas itu, V mula bertanya pada aku tentang cara untuk masuk Islam. V mula mengumpul kekuatan untuk masuk Islam. V tanya, apa prosedur nak masuk Islam?

“V, kalau nak ikut dari segi undang-undang memang agak leceh sikit. Kena pergi pejabat agama, jumpa pegawai berkenaan, isi borang, lepastu syahadah.

Tapi, kalau ikut tuntutan Islam sendiri, lebih mudah sebenarnya. V cuma perlu betul-betul yakin dan percaya yang Allah itu Tuhan kita, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

V baca syahadah, insyaAllah urusan antara V dengan Allah, dah selesai. Allah lebih mengetahui, V. Cuma, urusan undang-undang ni perlu supaya memudahkan urusan di masa akan datang.”

“Saya sebenarnya risaukan urusan di pejabat agama tu nanti. Saya belum ada kekuatan nak maklumkan keluarga saya. Mak saya pula sedang sakit. Saya nak masuk Islam. Tapi saya takut, kesihatan mak saya akan terjejas bila dengar berita ni.

Z, boleh ke kalau saya baca syahadah depan awak? Allah akan terima syahadah saya?”

Allahuakbar! Hampir menangis aku terharu dengar permintaan V.

Aku ajarkan kalimah syahadah kepada V. V mengucapkan kalimah syahadah di hadapan aku.

Dalam hati, aku berdoa. Ya Allah, Engkau yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Terimalah syahadah yang diucapkan oleh sahabat aku ini.

Kau limpahkanlah hidayah dan permudahkanlah segala urusannya, ya Allah. Sesungguhnya, aku menjadi saksi bahawa dia telah mengangkat syahadah dengan yakin.

Walaupun V belum berdaftar di pejabat agama secara rasmi, aku tetap anggap dia sebagai saudara Islam aku. Biarpun V masih belum bertudung. Biarpun tiada siapa tahu yang V sudah mengangkat syahadah. V tetap sahabat aku, saudara Islam aku yang baru.

Selepas itu, V akui, semakin banyak perkara positif berlaku dalam hidupnya kini. Tak lama kemudian, V menyuarakan hasratnya untuk belajar membaca al-Quran.

Aku temankan dia membeli telekung, sejadah dan al-Quran yang beserta terjemahan. Tapi, sayangnya aku tak dapat nak bantu V belajar mengaji. Sebab kami cuma dapat berjumpa di hujung minggu sahaja.

Lagipun, aku lelaki dan dia perempuan. Tak manis dipandang orang jika kami kerap sangat berjumpa. Aku sudah mempunyai teman wanita di kampung. Dan teman wanita aku sudah sedia maklum tentang bantuan aku kepada V.

Memang prinsip hidup aku untuk sentiasa jujur dalam perhubungan. Sejak awal perkenalan dengan V, aku sudah pun bercerita tentang teman wanita aku di kampung. Mungkin itu yang membuatkan V lebih selesa untuk mempercayai aku.

Disebabkan aku terbatas untuk membantu V belajar mengaji, aku minta bantuan salah seorang kawan perempuan Islam kami yang bernama J (bukan nama sebenar).

Aku mohon izin dari V, untuk ceritakan semua kepada J. Alhamdulillah, V setuju dan mula belajar dengan J. V juga banyak rujuk pada video di Youtube untuk belajar.

Melihatkan perkembangan yang berlaku pada V, membuatkan aku rasa sebak. Kini, V tidak lagi bergantung pada aku sepenuhnya. Perlahan-perlahan, aku mula undurkan diri dari V.

Aku kini, tunangan orang dan bakal berkahwin tak lama lagi. Tak manis untuk rapat dengan perempuan lain. V faham. Berat sebenarnya bagi aku untuk undurkan diri. Terasa seakan tugas aku belum sempurna.

Jauh di sudut hati, aku baru sedar rupanya aku mula rasa sayang terhadap V. Jika takdir kami bertembung beberapa tahun sebelumnya, mungkin aku akan terus membimbing dia hingga ke jannah.

Tapi, sudah takdir kami begini. Hati aku sudah pun ada yang punya. Sejak sebelum aku jumpa V lagi. Betapa jujurnya aku, aku sampaikan apa yang aku rasa ini kepada V. Rupanya, V juga rasa yang sama.

Kami sama-sama sedar, sebenarnya rasa ini adalah sayang sebagai sahabat. Jodoh kami cuma begini, aku membantu dia mengenali dan memahami Islam. Jodoh kami bukan untuk bersatu. Bukan jodoh aku untuk bimbing V hingga ke akhirnya.

Aku cuma dapat doakan dan berharap semoga V bertemu jodoh yang akan dapat membimbing dia hingga ke akhirnya.

Tak lama kemudian, aku berpindah pulang ke kampung. V juga turut berpindah pulang ke kampungnya. Di akhir pertemuan kami, tiada kata yang terucap. Kerana kami saling memahami apa yang terbuku dalam hati.

Titik pertemuan garisan takdir kami amat singkat. Tapi, amat bermakna dan memberi kesan yang sangat mendalam. Kini, garisan takdir kami telah menghala ke arah masing-masing. Kami masih lagi berhubung cuma sudah semakin berkurang. V faham, aku kini suami orang.

Di sana, V masih cuba mengamalkan semua ajaran Islam di kampung. Aku risaukan keadaan dia di sana. Tiada siapa yang dapat membantu. Rasa sangat ralat aku tinggalkan V seorang diri di ketika V mula belajar hidup sebagai Islam.

V maklumkan, dia terpaksa solat secara rahsia daripada keluarganya. Namun, kesihatan mak V semakin merosot. V tak sampai hati nak maklumkan yang dia masuk Islam. Lama-kelamaan, V tak dapat meneruskan solat dan mengaji di rumah kerana risau rahsianya bocor.

Selepas lama tak bertanya khabar berita, aku menghubungi V. Kini, kesihatan mak V semakin baik. V pula sudah bertemu jodoh dengan seorang lelaki. Lelaki itu bukan Islam.

Dengan berat hati, V mohon maaf kepada aku sambil menyampaikan berita yang mereka bakal melangsungkan perkahwinan tak lama lagi.

“Tahniah V. Erm, boleh saya tanya, V?”

“Nak tanya apa?”

“V masih Islam?”

“Suami V bukan Islam, Z. Macam mana saya nak teruskan? Saya minta maaf sangat-sangat.”

Allahuakbar! Sukar untuk aku terima berita ini. Tapi, aku tetap rasa gembira untuk V. Hidup V kini semakin bahagia. Suaminya telah memastikan hidupnya ceria dan bahagia.

“Terima kasih, Z sebab doakan kebahagiaan saya. Jika ada jodohnya, doakanlah mudah-mudahan kami masuk Islam juga.”

V, sudah pasti aku akan doakan begitu. Teruslah hidup dengan bahagia, V.

– Saksi Syahadah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *