Assalamualaikum dan salam sejahtera semua yang membaca penulisan ini. Aku tergerak untuk menulis sesuatu mengenai apa yang terjadi pada diri aku. Nama aku Amira dan berumur dalam linkungan 20 an. Secara jujur, aku bukanlah dikalangan keluarga yang saling menghormati antara satu sama lain. Aku bukan ingin mengaibkan sesiapa cuma ingin meluahkan apa yang terpendam dan semoga pembaca mengambil dari sudut positif. Tambahan pula aku jenis yang suka memendam dari meluahkan tetapi kadangkala aku terasa juga untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati.
Sejak kecil aku disajikan dengan pertengkaran yang sering terjadi diantara ayah dan ibuku. Sikap ibu yang aku boleh kategorikan sebagai panas baran adalah punca mereka sering bergaduh. Umum mengetahui bahawa seorang isteri haruslah menghormati seorang suami dan merendahkan suara apabila berkata-kata tetapi ibu tidak. Suara ibu sangat lantang apabila memarahi ayah. Kadangkala aku rasa ibu sengaja mencari asbab dan mencetuskan pergaduhan. Ketika waktu makan pun ibu boleh menyindir, menyakitkan hati ayah. Orang tengah makan kot? Tetapi ayahku cuma mendiamkan diri sahaja. Untuk pengetahuan, ibu dan ayah tidak makan bersama.
Ayah sering mendiamkan diri apabila ibu memarahinya bukan sebab apa, jika ayah bersuara ibu akan lebih naik angin dan percakapannya sangat pedih. Adik beradik aku juga tidak menghormati ayah. Kadangkala aku merasakan mereka jadi begitu kerana melihatkan layanan ibu terhadap ayah dan ibu juga sering menceritakan salah dan keburukan ayah kepada anak-anak. Percakapan antara anak dan isteri terhadap ayah pada aku, kasar. Aku rasa sangat cemburu apabila melihat kemesraan ibu bapa rakan-rakanku yang lain di mana ibu mereka sangat lembut dalam melayan suami sementara anak-anaknya sangat rapat dan sopan apabila berbicara dengan ayah mereka.
Mungkin salah ayah juga kerana sering mendiamkan diri dan tidak tegas dalam mendidik anak dan isteri sejak dahulu. Ibu juga tidak pernah memberikan kata semangat buat aku sepanjang aku belajar. Aku ingat lagi dan mungkin tidak akan lupa apa yang ibu pernah cakap padaku dahulu. Aku telefon ibu dengan harapan ibu akan memberi kata-kata semangat buatku untuk menghadapi final exam semasa aku berlajar disebuah ipts, betapa terlukanya waktu itu apabila ibu mengatakan yang aku malas belajar dan ayat yang paling menghiris hati ialah “kau tu bongok”. Ya, waktu itu hanya Tuhan yang betapa sedihnya dan aku menangis lepas menamatkan perbualan.
Sejujurnya aku mengharapkan ibu akan berkata seperti ibu rakanku di mana ibu mereka mengatakan “Ibu tahu akak boleh buat” “Anak ibu kan pandai” “Ibu doakan akak berjaya, sayang akak”. Ya, aku terlalu cemburu dengan rakanku, dan aku juga inginkan kata-kata itu. Selain itu ibu sering membandingkan aku dan anak orang lain yang lebih berjaya dan pandai. Selalu sangat. Dan dikala ini, jujur aku semakin menjauhkan diri dan lebih kepada membuat hal aku sendiri. Aku sering berharap untuk mendapatkan pekerjaan yang jauh dari rumah yang aku duduki sekarang.
Ibu bapa di luar sana tolonglah jangan bertengkar dan mewujudkan pergaduhan di depan anak-anak. Secara tidak langsung sikap negatif itu akan mempengaruhi mereka tanpa disedari. Kadangkala anak ini juga ingin disayangi dan mereka inginkan ibu bapa mereka untuk sentiasa support dalam apa jua yang mereka lakukan. Jika tidak, cukuplah sekadar memberi kata-kata semangat untuk anak berjaya kerana doa ibu adalah doa yang tidak berhijab. Tolonglah jangan membandingkan anak dengan orang lain kerana setiap orang ada kelebihan dan kekurangan mereka sendiri. Akhir kata maaf aku cuma ingin meluahkan saja isi hatiku, semoga para pembaca bahagia disamping insan yang tersayang.
– Amira
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit