Assalamualaikum, kuranglah segunung beban di hati ini jika coretan ini disiarkan untuk tatapan pembaca semua.
Terima kasih kerana sudi menyiarkan dan membaca isi hati aku yang sudah lama memendam perasaan luka dan duka seorang anak yang ditoreh-toreh hatinya oleh insan yang bergelar IBU.
Tak perlulah untuk aku memperkenalkan diri, cukuplah sekadar pembaca mengenali aku sebagai seorang anak perempuan yang usianya sudah memasuki pertengahan 30-an.
Aku pernah hampir mendirikan rumah tangga, namun aku terlalu mengikutkan rajukku terhadap Ibu yang sering merungut tidak boleh mengharap anak-anak untuk mengikut segala kehendaknya,
Aku memutuskan untuk putus tunang dan memberikan sepenuh perhatian kepada kehendak Ibu.
Siapa tak sedih, tunangku juga memujukku dan memberi masa untuk aku berfikir panjang namun hatiku sudah terlalu penat kerana setiap pengorbanan yang aku lakukan tidak pernah nampak dimata ibu.
Ibu juga mengatakan aku mementingkan diri sendiri ketika membuat keputusan memutuskan tunang dan mengatakan aku akan jadi anak dara tua.
Aku hanya mampu berdiam diri , walhal keputusan itu aku buat atas kehendaknya tanpa sedar. Sepanjang tempoh bertunang, aku banyak kali menolak pelawaan tunangku untuk keluar makan apatah lagi dating macam pasangan yang lain.
Ini kerana, aku banyak menghabiskan hari cutiku dan hari minggu untuk membawa ibu berjalan-jalan dan mengikuti apa sahaja aktiviti yang Ibu rancang bersama rakan-rakannya.
Aku tidak mahu perkahwinanku menjadikan aku anak derhaka, tunangku tidak tahu akan perihal ini kerana aku tidak mahu membuka aib ibuku.
Ibu juga sering membanding-bandingkan menantu kawan-kawannya dengan menantunya, katanya semua menantunya tidak begitu mesra dan rapat dengannya.
Bagi aku bagaimana menantu hendak rapat jika dia sendiri tidak mesra dengan menantu.
Inikan menantu, dengan anak-anak sendiri pun selalu dibandingkan dengan anak rakan-rakannya.
Sejak kecil hinggalah dewasa, anak orang lain lebih baik daripada anak sendiri, mesra dengan ibu, sporting, sering beri hadiah mahal-mahal.
Kami tak pernah beri semua tu pada ibu? Walhal hampir setiap bulan kami bawa ibu pergi bercuti, berikan ibu hadiah berjenama.
Tapi tidak pernah sekalipun kami dengar ucapan terima kasih, setiap yang kami berikan mesti ada rungutan kerana tidak seperti apa yang diinginkan.
Hampir gila rasanya kami anak-anak memikirkan bagaimana lagi untuk menggembirakan dan memuaskan hati Ibu.
Di dalam keluarga kami, jarang sekali kami nak ketawa besar, berseronok, ini kerana ibu akan cemburu dan mengatakan kami tidak mempedulikan perasaannya yang sering tertekan hidup bujang.
Apatah lagi aku nak keluar dengan rakan-rakan, ibu akan memerli aku seronok bergembira sedangkan dia tertekan dirumah.
Jadi, aku memutuskan untuk tidak lagi keluar dengan rakan-rakan dan setiap hari cuti aku bawa kemana sahaja ibu pergi sehinggakan aku dikatakan sombong oleh rakan-rakanku.
Untuk pengetahuan pembaca, adik beradikku ada 5 orang kesemuanya dan abang-abang serta kakak ku sudah mendirikan rumah tangga dan tinggal berhampiran juga di Kuala Lumpur.
Aku membawa ibu tinggal bersamaku kerana Ayah sudah lama meninggal dunia.
Adikku yang bongsu kini sedang melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA berdekatan maka kami tinggal serumah.
Walaupun kami semua sudah dewasa, kami tidak bebas membuat keputusan sendiri. Ibu mengawal segala-galanya, jika tidak diturutkan ibu akan merajuk dan marah-marah.
Sejak kecil aku hidup dalam perasaan takut, bangun tidur, dan segala pergerakan aku dalam rumah semua dipengaruhi oleh takutku kepada mood ibu yang tidak menentu.
Aku hidup bagaikan bertuankan Ibu sendiri. Aku bagaikan robot yang hanya menurut segala perintahnya biar fizikal mahupun jiwa.
Aku kini memutuskan aku tidak layak untuk gembira, hidupku hanya untuk menggembirakan ibu biarpun ibu tidak pernah nampak segalanya.
Aku bagi contoh kecil, aku masak untuk keluarga hari-hari, tapi apa yang aku dapat… dia katakan dia tidak pernah rasa jasa anak-anak, anak orang lain pandai masak itu masak ini.
Aku belikan barang dapur, bayar sewa rumah hampir seribu ringgit setiap bulan… apa yang aku dapat, anak orang lain kaya raya boleh hidup dalam rumah mewah.
Benar, jiwa aku tersakiti bertuankan ibu. Jika ada pembaca boleh bantu, bagaimana lagi aku nak puaskan dan gembirakan hati ibu, bantu aku.
Untuk anda yang bergelar IBU, ketahuilah anak-anak juga mempunyai perasaan. Mereka juga boleh mati memendam rasa yang tidak mampu diluahkan hanya kerana ingin menjaga hatiMu.
Pesanan aku untuk ibu ibu diluar sana, jika anda ingin anak anda jadi seperti anak orang lain, anda jadilah seperti ibu orang lain.
– Anak Yang Tersakiti (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit