Salam perkenalan, wahai sahabatku. Aku kenalkan diri, namaku bermakna Cahaya. Aku dibesarkan dalam rumah yang dilimpahi dengan seri Al Quran. Ibuku merupakan guru Al Quran.
Tapi, dulu aku memilih untuk mengisi hatiku dengan lagha. Ya… kita semua pasti masih remaja dulu kan? Aku pasti kau tahu krisis identity yang menguasai diri. Waktu remajaku, aku gemar enjoy bersama rakan-rakan, hinggakan mekar bintik-bintik hitam di lapisan hatiku. Music, bowling, movie bersama rakan lelaki dan perempuan, dah jadi paksi kehidupan. Agak sukar hidayah suci itu tembusi kolam hatiku yang suram.
Waktu aku membesar, aku seringkali cari arah bahagia. Aku terasa kosong, itu hakikat hatiku waktu tu. Seakan kabur pandanganku tak mampu melihat bahawa bahagia itu ada di depan mata. Aku terleka dengan kisah cinta palsu Titanic, hingga aku terperangkap dalam minda bawah sedar itu realiti cinta.
Akhirnya aku berkahwin muda dengan seorang yang seakan alim, tetapi penuh pengkhianatan. Lembut tutur sang suami menceritakan tentang agama dan kehidupan, tapi rupanya lakonan. You jump, I jump, janjinya. Haha… pasti kau yang pernah menonton Titanic tahu skrip itu. Jahil aku waktu tu. Tulah, aku mengaku salah aku sendiri sebenarnya. Aku sendiri kurang mencintai agama, macam mana Allah nak jodohkan aku dengan orang yang baik. Aku diceraikan setelah segala macam fitnah dia lemparkan padaku .
Ketika itu…
Aku fikir, dengan cuba untuk kelihatan cantik, aku disayangi.
Aku fikir, dengan aku berusaha untuk berjaya, aku bahagia.
Aku fikir, dengan berkahwin dengan anak orang berada, aku happily ever after.
Tapi kenapa aku tak bahagia?
Waktu itu, aku bukan sahaja rasa bahawa mataku kabur, tapi hatiku buta. Mencari arah dalam gelap, kadang-kadang tersungkur dan bangun semula. Hidayah mula menerpa, cuma bila hati gelap, bukan semuanya dapat diserap. Hinggakan suatu hari, aku terjumpa satu buku yang menjawab persoalanku. Tentang Cinta karangan Ustaz Pahrol seolah-olah membuka jiwaku tentang apa makna bahagia.
Aku mulai faham, bahawa dengan mencintai Allah, aku mendapat kekayaan jiwa yang tiada tandingannya. Dengan mencintai Allah, itulah sumber segala cinta di dunia.
Aku mula merangkak menyelak Al Quran, di setiap bait, aku merasa nikmat agung yang luar biasa. kadang kala si syaitan berbisik, Arrghh, kau baca salah, Cahaya! Takkah kau takut Allah murka kalau kau berterusan dengan kesalahan bacaanmu?
Kini, aku sudahpun berkahwin lain. Aku berkahwin semula dengan anak murid ibuku setelah sekian lama kami jarang bersua. Benar tekaanmu, ibuku mengajarkan suamiku Al -Quran ketika dia kecil dulu. Aku tak ingat, kerana aku masih kanak-kanak, sedikit muda berbanding suamiku.
Kini, aku sentiasa ingin untuk mempelajari Al Quran kembali. Lama ku mencari, tetapi di kawasan ku ini, amat sukar untuk mendapatkan guru mengajar dewasa. Aku tahu serba sedikit asasnya, tapi aku ingin sungguh belajar lebih lagi.
Lalu sang suami menganjurkan, jika tidak ada tempat untuk kita belajar Al-Quran. Apa kata kita sahaja yang memulakan satu pusat pembelajaran? Sediakan tempat untuk belajar Al-Quran, cadangnya. Aku tertanya sendirian. Aku sendiri ingin belajar, macam mana pulak aku nak mengajar Al Quran?
Lalu dia menjelaskan, Ibu kan sudah makin berumur. Di tempat asalku, ramai tenaga pengajar Al-Quran sudahpun menghadap Ilahi ataupun bersara. Sudah kurang lapisan baru yang menggalas tanggungjawab di situ. Di tempat ku ini pula, memang tak pernah jumpa guru untuk dewasa. Dia menambah, sediakan tempat agar orang yang pernah tersesat sepertiku dulu boleh singgah meraih hidayah. Jika kita sendiri tak mampu untuk mengajar, kita ikhtiarkan untuk upahkan yang lebih arif untuk mengajar.
Kau tahu sahabat, terasa sangat berat amanah ini. Terasa tak mampu untuk ku pikul. Berkali air mataku mengalir. Aku terasa tak mampu. Tapi aku cuba untukmenyakinkan diri, “Sometimes the people with the worst past, create the best future”. Aku tahu bagaimana rasanya terperangkap dalam gelap, lalu aku ingin mencuba sediakan tempat di mana mereka boleh menemui cahaya. Aku kini sedang berusaha, bersungguh-sungguh berdoa dan bertawakkal.
Aku amat mengharapkan doamu juga, para sahabat. Aku ingin menumpang doamu. Barangkali, hatimu begitu bersih hingga Allah mengkabulkan setiap katamu. Barangkali juga engkau anak yang berbakti, hingga Allah mengangkat setiap permintaanmu. Barangkali juga, engkau dianiaya, hinggakan setiap doamu ditunaikan tanpa hijab.
Dengan rendah hati, aku mohon jasamu doakan perkara ini,
• Bantu doakan aku agar dapat kembali berpindah ke tempat asalku agar aku dapat belajar Alquran dari ibuku lagi. Aku juga ingin sungguh berbakti kepadanya. Di tempatku sekarang, agak jauh untuk mencari seorang guru dewasa.
• Doakan agar dicukupkan modal dan dipermudahkan urusan untuk memulakan pusat Al Quran. Targetku selewatnya awal tahun depan. Walaupun aku masih belum arif, aku ingin sekali hidup dalam lingkungan Al-Quran. Aku ingin sekali bekerja dengan rakan-rakan yang pandai dalam bidang Al-Quran, di mana Al-Quran sentiasa dialunkan.
• Doakan juga agar Pusat Al-Quran ini membawa manafaat berterusan dunia akhirat buat kami dan bakal penuntut di sini. Mungkin ada yang berpendapat, surau dan masjid kan banyak kelas agama. Pengalamanku sendiri, bila orang baru terima hidayah, mereka segan nak join dengan orang yang sudah tinggi kefahamannya dengan agama. Mudah-mudahan dengan adanya pusat ini, diorang boleh belajar mengikut tahap yang diorang perlukan.
• Doakan aku juga, agar Allah kuatkan diriku melawan hasutan syaitan yang menyatakan aku tidak layak memulakan pusat Al Quran ini. Aku tak ada kemahiran lain. Ini sahaja yang aku terfikir untuk dibawa mengharap redha Ilahi.
Terima kasih atas doanya sahabat. Kiranya Pusat AlQuran ini berdiri nanti, aku minta pada Allah agar setiap huruf yang dibacakan, kau juga mendapat bahagianmu. Aku doakan agar kau juga sentiasa dalam limpahan cahaya Al-Quran.
Sahabat barumu yang mengharap,
Cahaya.
– Cahaya
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit