Terima kasih admin sebab approve confession aku.
Hari ini tepat sebulan aku hidup bersama penyakit yang dinamakan Generalized Anxiety Disorder (GAD).
Ia bermula pada minggu awal Ogos, diserang beberapa episod sesak nafas, pergi ke Jabatan Kecemasan, diperiksa semuanya ok, dan dirujuk ke pakar psikiatri dan akhirnya didiagnos mempunyai penyakit ini. Setelah itu, aku sepatutnya mempunyai temujanji bulanan susulan di klinik tersebut.
Aku memberitahu keluarga tentang perkara ini, namun respon yang aku terima amat mengecewakan. Aku dilarang sama sekali untuk berjumpa lagi dengan doktor pakar psikiatri. Kata-katanya berbaur ugutan sangat menghiris hati dan aku akur.
Akhirnya aku memilih untuk tidak menceritakan pada sesiapa, kerana aku fikir, jika orang yang terdekat, ada pertalian darah pun sukar untuk menerima, apatah lagi orang lain?
Hidup dengan GAD ini bukan mudah.
Otak yang enggan berhenti fikir bukan bukan, kerisauan yang melampau, imaginasi yang terlebih ‘kreatif’ emosi tak stabil pagi dia ok, petang tiba tiba tak ok pulak, tak boleh nak tidur, berdebar dan kadangkala diserang panik hingga menyebabkan sesak nafas.
Bila penyakit ini mula menyerang, banyak juga kerja tergendala, susah nak fokus dan terpaksa disiapkan seadanya, dengan susah payah.
Bukanlah tak sedar atau tak cuba mengawal ia daripada berlaku, tetapi hakikatnya ia memang di luar kawalan!
Ya, stigma terhadap penyakit mental dalam masyarakat kita masih begitu menebal. Berjumpa pakar psikiatri = gila. Dan bila gila, gelap masa depan. Sebab dah ada rekod yang buruk. Lagi lagi bila kau di diagnos pada ketika kau belum ada kerjaya yang stabil, masih belajar atau sebagainya.
Sekarang aku cuba berusaha untuk ‘survive’ dan ‘recover’ walaupun terpaksa untuk melakukannya tanpa bantuan daripada pakar perubatan. Tapi kalau tak boleh jugak, aku langgar je nanti ‘larangan’ & ‘ugutan’ keluarga. Haha.
Buat masa ini aku join support group di fb dan alhamdulillah, bila berada dalam group tersebut, ternyata aku bukan berseorangan. Melihat pengalaman mereka dan bagaimana mereka mengatasinya setiap kali penyakit ini menyerang, memberi aku sedikit sebanyak kekuatan. Melihat ada keadaan mereka yang lebih teruk, membuatkan aku bersyukur.
Baru baru ini saja aku menceritakan masalah aku kepada orang yang aku percaya. alhamdulillah, respon yang positif dan ia turut juga sedikit sebanyak memberi aku kekuatan.
Ketahuilah kesihatan mental sama pentingnya seperti kesihatan fizikal.
Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan, agar stigma masyarakat kepada kesihatan mental boleh dikurangkan.
Few things yang anda perlu tahu dan boleh bantu mereka yang ada GAD:
1. Apabila anda kenal seseorang yang mempunyai masalah ini dan dia menceritakan masalahnya kepada anda, ketahuilah bukan mudah untuk dia menceritakannya kepada anda. Hanya orang dia paling percaya sahaja dia akan ceritakan. Because this thing takes time, courage and trust. Dannn…untuk menceritakannya pada anda memerlukan dia overcome overthinking dia kepada kemungkinan respon respon yang akan anda berikan.
2. Bercakap seperti ‘alaaah tu benda biasa je.’ , ‘awak tu risau lebih lebih, dah jangan risau lagi, takde pape tu.’ atau ‘sudah sudahlah risau’ itu tidak membantu walaupun sebenarnya dengan niat nak membantu. Sebenarnya orang yang ada GAD tu dia tahu dan sedar yang benda yang difikirkan itu tak perlu difikirkan dan dirisaukan, cuma bila ia datang menyerang, dia tak mampu nak berhenti dan keluar daripada fikir bukan bukan.
3. Ketahuilah kebanyakan masa anda tak perlu pun menyelesaikan masalah dia, berada di sisi dan mendengar sahaja sangat mencukupi.
4. Orang yang ada GAD sama seperti orang yang lain. Cuma ada harinya dia bebas dari serangan, dan ada harinya dia akan diserang. Dia masih dia, masih dengan perwatakannya.
Itu saja kot.
Doakan agar aku diberikan kesembuhan yang segera. Masih ‘struggle’ mengatasinya tapi aku yakin setiap penyakit ada sembuhnya. cuma perlu masa dan usaha.
– Kaktus
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit