Salam semua para pembaca IIUM Confession.
Aku menulis pertama kali di sini setelah beribu kali berfikir, aku jadi buntu dan lelah. Dan mungkin buah fikiran kalian semua bakal sedikit sebanyak membantu aku dalam mencari solusi.
Sebelum menulis lebih panjang, nama aku plain jane dan aku adalah anak sulung daripada 5 adik beradik (2 adik tiri seayah lain ibu).
Arwah mama meninggal 12 tahun lepas akibat kanser pangkal rahim. Aku cuma 21 tahun waktu itu dan adik yang paling bongsu baru saja selesai UPSR.
Berat untuk aku terima selepas 2 tahun hidup aku hanya untuk arwah mama, aku berhenti belajar (waktu itu degree) untuk jaga arwah jadi rutin harian aku menjadi sangat kosong dan sedih tanpa arwah di sisi.
Lain pula ceritanya pada ayah aku. Dia yang orang semua kenali sebagai seseorang yang bekerjaya hebat, ada syarikat sendiri yang punya puluhan pekerja.
Tak sampai setahun arwah mama pergi, dia dah punya calon pengganti. Dengan usia yang agak muda,aku memang membantah tapi bantahan aku dipandang enteng. Maka bernikahlah jugak ayah dengan ibu.
Dan daripada titik itu juga lah hidup aku adik beradik berubah 360 darjah. Keadaan adik aku no 2 yang mild autism jugak selalu diambil kesempatan oleh ibu tiri aku.
Aku pulak, usia makin meningkat dan aku jugak harus menjaga diri sendiri. Aku sambung semula degree dan mencari rezeki di bumi KL sampai akhirnya aku bertemu jodoh dan sekarang ada anak seorang.
Tapi aku tau adik adik aku tak bahagia. Setiap kali balik aku tengok depan mata layanan mereka berdua terutama ibu tiri aku seumpama tak ikhlas. Kalau ayah aku, semuanya akan selesai kalau dia bagi duit belanja.
Kalau kau masih gagal jadi manusia normal macam anak anak T20 yang lain, makanya dia tak ada rasa hormat pada kau. Maaf kalau kasar tapi itulah yang aku dapat lihat dan rasa daripada ayah aku.
Tak tau sebab hasutan ibu tiri atau memang karakter ayah aku sendiri. Sampaikan adik aku yang no 2 pun didiagnos sebagai pesakit bipolar bila terima tekanan bertubi tubi.
Ya, aku ada dua tanggungjawab berat. 2 adik aku istimewa. Autism dan bipolar. Jadi kalau berjuang apa sekalipun atas dasar menjaga hak mereka sebab aku tak tahu mereka mampu ‘survive’ atau tidak tanpa bantuan sesiapa.
Sekali lagi, lain pula pada ayah aku. Tanpa pengetahuan aku, diam diam rumah lama kami yang juga harta sepencarian dengan arwah mama kami, ayah tukarkan nama kepada ibu tiri kami.
Langsung tidak mintak pendapat kami. Aku dapat tau pun setelah terjadi perbalahan antara aku dan ibu tiri aku di pagi raya baru ini. Ya, pagi raya.
Dia sambil senyum sinis gelakkan aku, “rumah dekat A tu ibu punya dah tau, so kau nak cakap apa pun cakap lah”.
Masih tak percaya, aku pergi ke pejabat tanah untuk buat semakan dan ternyata betul.
Rumah yang arwah mama aku tinggal daripada dia sihat sampai la tenat, daripada seorang wanita kuat yang menjaga kami semua sampai menjadi wanita yang sakit berat badan cuma 20kg dek kerana kanser,
Ya rumah itu dengan sewenangnya dipindah nama kepada ibu tiri aku.
Jangan tanya aku rumah ayah aku yang sekarang. Ada sebab atau helah bijak ibu tiri aku tak mau rumah sekarang walaupun rumah yang mereka huni dikategorikan banglo mewah.
Banglo tu belum habis bayar pinjaman di bank jadi urusan tukar nama belum boleh dibuat. Jikalau ayah aku meninggal ,kalaupun MRTA akan selesaikan semua baki hutang, tetap nilai rumah itu akan difaraid.
Bijak bukan? Sekarang ibu tiri aku ada sebiji rumah tadi dan jugak wang nilai faraid daripada banglo. Untuk mengeluarkan duit faraid kepada ibu tiri aku, mustahil kami adik beradik mampu maka kami perlu jual banglo itu.
Jadi, hujung sekali kami terutama dua adik istimewa aku bakal tiada rumah. Sampai begini sekali kami 3 beradik dipijak walaupun ayah masih hidup.
Perbincangan (baca: pergaduhan) demi perbincangan telah dibuat dengan ayah tapi dia seolah bertegas itu hadiah dia buat ibu tiri. Kerana geran rumah itu atas nama ayah maka dia berhak sesuka hati untuk menukar nama.
Ibu tiri banyak “berjasa” untuk ayah maka penukaran nama ni adalah hadiah ayah.
Untuk kami adik beradik banglo nanti pandai pandailah kami uruskan — dengan “jaminan” yang ibu tiri tak akan masuk campur mintak apa apa bahagian dia daripada banglo itu.
Kusut kan drama hidup aku ni? Dengar dan nampak macam gah tapi ternyata penuh penindasan dan kepalsuan.
Sebab tu aku lari duduk di KL, walaupun tak mewah tapi jiwa aku bahagia tapi itu lah adik adik aku masih di bawah tanggungjawab aku.
Cuma ya, sekarang aku masih buntu. Nak ke peguam, siap sedialah poket yang tebal. Andai kata kalian punya idea, aku mohon bantuan kalian. Terima kasih.
– Plain jane (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit