Hidup Untuk Tenang Dan Bahagia

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Aku, Heidhus isteri kepada Heyr. Kami telah bernikah genap 5 tahun pada tahun ini. Perkahwinan kami pada mulanya ditentang oleh ibunya. Memandangkan Heyr sudah bernikah dengan seorang gadis pilihan ibubapanya dan bercerai.

Pernikahan Heyr dengan aku merupakan perkahwinan yang ketiga bagi dia. Saat aku bertunang dengan Heyr, baru Ku tahu dia sudah berkahwin 2 kali sebelum ini.

Lantas aku memohon untuk memutuskan pertunangan memandangkan aku merasakan aku ditipu oleh Heyr, dia tidak jujur denganku.

Heyr mencuba memujukku berkali-kali sehinggalah anak Heyr (2 anak lelaki) menangis dan memujuk aku untuk berkahwin dengan ayahnya. Sememangnya, jodoh itu rahsia Allah.. Kendatipun, berkali-kali aku cuba mengelak dan melarikan diri, telah ditetapkan jodohku bersama Heyr.

Heyr juga tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Aku hanya menetapkan RM1000 sahaja mas kahwin dan bernikah tanpa hantaran.

Niatku hanya mahu permudahkan urusannya jua.

Pada hari pertama pernikahan, aku dihubungi oleh seorang wanita Thailand dengan bahasa yang aku tidak faham,

Dia cuba menjelaskan sesuatu sehinggalah wanita itu memberikan aku gambar-gambar Heyr bersama dia di Thailand, gambar- gambar yang menyakitkan hati aku dan perkara yang aku tak dapat lupakan wanita itu pelacur disana.

Luluh hatiku pada saat itu. Aku sedar Allah memberikan aku ujian yang maha dasyat pada ketika itu. Aku cuba bersabar dengan menyimpan didalam kepalaku bahawa itu kisah silam dia dan aku tidak berhak untuk menghukumi suamiku.

Aku memberi peluang kepada Heyr kerana pada saat aku membuat pilihan berkahwin dengan Heyr,

Aku telah pun berdoa dan membuat solat istikharah dan Heyr sendiri memujuk berjumpa dengan ibuku menyatakan kesanggupan dia untuk berubah menjadi lebih baik setelah mengenaliku dan mahu memperisterikan aku.

Saat mula berkahwin, satu persatu kisah silam Heyr ‘dibentangkan’ pada aku. Kadang-kadang aku terfikir adakah ini ujian aku untuk menghukumi suamiku?. Pada awal perkahwinan Heyr sangat baik, semua urusan rumahtangga kami berjalan dengan baik.

Sehinggalah selepas beberapa bulan perkahwinan, Heyr mula berubah. Menjadi perengus, sehinggakan untuk aku dekati pun susah. Heyr tidak lagi peduli pada aku. Seakan-akan aku orang asing. Heyr kerap pulang ke rumah pada jam 2,3 am malah pernah 5-6am.

Aku mula mencari dimana titik perubahan itu bermula, sehinggalah aku mendapat tahu daripada adik iparku, sewaktu aku bekerja di hari minggu, Heyr bersama mentuaku mengunjungi kenduri perkahwinan saudara mereka dan yang mengejutkan aku,

Heyr menaiki kereta bersama dengan jandanya (bekas isteri pilihan ibunya) dan mentuaku menaiki kereta lain.

Aku menggigil merasakan ditipu hidup-hidup oleh suamiku. Dan sejak dari itu, bermula la episod perang dingin antara aku dan bekas isteri Heyr. Untuk makluman bekas isteri Heyr yang kedua ini tidak mempunyai anak.

Anak-anak yang aku ceritakan di atas adalah anak kepada bekas isteri pertama dimana ibu kandung mereka tidak pernah menjaga dari kecil dan Heyr yang menjaga anak-anak itu sehinggalah diperkenalkan bekas isteri kedua.

Bekas isteri kedua Heyr iaitu Rosri, selalu mengugut aku dengan menyatakan Heyr akan kembali pada dia satu hari nanti, dan mengejek aku kerana tidak mendapat restu daripada parents Heyr. Mereka bercerai kerana Rosri sering memukul dan memaki hamun anak Heyr.

Anak sulung Heyr dijaga dengan kasar, dipukul, dimaki hamun tetapi tidak pula adiknya yang sentiasa disayangi dan dimanjai. Walaupun mereka adik beradik kandung tetapi mereka seolah-olah seperti musuh, sentiasa bergaduh.

Aku perasan anak sulung Heyr mempunyai masalah dalaman, dan aku berusaha menghantar berjumpa psikiatri tetapi pengakhirannya Heyr mengamuk dan menyalahkan aku, Heyr menyatakan anak dia bukan gila.

Hari ke hari hubungan aku dengan Heyr menjadi semakin sepi, tetapi anak-anak Heyr masih baik dengan aku. Cuma perang dingin aku dengan Rosri masih berlangsung sehingga kini. Perhubungan Heyr dengan Rosri makin intim, apalagi disokong oleh ibunya.

Dalam masa yang sama adik aku membawa aku berjumpa dengan pengamal perubatan Islam. Memandangkan aku mempunyai masalah kesihatan yang pelik sejak mula berkahwin dengan Heyr. Aku juga merujuk ke klinik&hospital pakar malah beberapa kali warded di Gleneagles Hospital.

Sehinggalah, seorang doktor wanita menasihatkan aku untuk berjumpa dengan ustaz @ perawat islam, Doc bagitahu aku sepanjang rawatan, beliau sudah mencuba ubat-ubatan yang sepatutnya dapat merawat aku lebih baik tetapi sekejap sahaja okay dan selebihnya sakit itu datang kembali.

Aku telah berjumpa dengan lebih 3 orang perawat islam, dan setiap kali sesi rawatan aku seolah-olah tidak sedarkan diri meracau dan apabila selesai rawatan ustaz bertanyakan aku nama seseorang, pada mulanya aku enggan percaya.

Tetapi setiap kali rawatan nama yang sama juga aku hamburkan (walaupun perawat yang berbeza). Selepas setiap kali rawatan, Heyr akan menghubungi aku dan perlakuannya seperti semasa awal perkahwinan kami, caring, mesra dan ambil berat denganku.

Sepanjang 5 tahun perkahwinan aku merahsiakn tentang rawatan yang aku dapatkan dari suamiku memandangkan kemudaratan lebih besar sekiranya aku menceritakan semuanya dan disebabkan aku tidak ingin menjadi punca pergaduhan melibatkan keluarga.

Sehinggalah di suatu hari, kami bergaduh besar dan aku terus menghamburkan nama-nama yang membuatkan aku sakit sampai aku depression teruk. Seperti yang dijangka, Heyr marah teruk bila dengar nama-nama tu dan Heyr terus cakap ‘lillahitaala, aku lepaskan kau’.

Aku sabar dan terima apa yang telah Heyr lafazkan pada aku. Walaupun, beberapa orang ustaz menyatakan Heyr sendiri berada didalam keadaan yang tidak sedar tetapi bagi aku cukuplah kisah derita ini.

Biarpun perkahwinan kami baru sahaja masuk tahun kelima tetapi kesakitan yang aku rasai sehinggakan aku merasakan hubungan kami sukar untuk dibaiki lagi.

Aku pernah mengandung. Pada bulan Oktober 2020, aku keguguran. Malam sebelum aku mengalami pendarahan teruk itu, aku bermimpi sesuatu yang mengerikan.

Apabila tersedar, perutku sakit dan kebetulan pada waktu itu aku berada di kampung memandangkan Heyr bersama mentuaku ke Kelantan katanya bertemu saudara disana. Saat aku keguguran Heyr seolah-olah tiada empati pada aku sebagai isterinya. Aku hampir depression teruk.

Tetapi dalam masa yang sama aku menyambung pelajaran diperingkat Ijazah Sarjana Undang-Undang untuk mengatasi masalah depresi aku.

Alhamdulillah aku berjaya habiskan master aku dalam masa setahun walaupun pada mulanya aku merasakan sukar dengan keadaan aku sendiri yang kurang stabil emosi.

Tetapi dengan izin Allah, aku berjaya mengatasi depression tanpa memakan ubat hospital sehinggakan pakar berjumpa dan menemuduga aku tentang macamana aku berjaya atasi depresi.

Aku juga berjaya dalam kenaikan pangkat seterusnya work load aku makin bertambah dan ini juga merupakan faktor bagi aku melupakan masalah rumahtangga aku.

Heyr pula seolah-olah lupa apa yang dilafazkan olehnya dan aku, kendatipun perasaan sayang dan cinta pada suami itu besar tetapi aku tidak akan sekali-kali lupa dengan apa yang tertulis didalam Al-Quran. Aku file kan pengesahan perceraian di mahkamah.

Aku juga mendapat tahu perkahwinan Heyr dan Rosri dahulu, yang Heyr juga sudah beberapa kali melafazkan cerai pada Rosri tetapi mereka tidak pernah membuat pengesahan dan aku juga pernah terbaca pada FB Heyr yang dia jatuhkan talak 3 pada Rosri.

Aku malas ambil peduli tentang kisah mereka, anak tiri aku memberitahuku bahawa ayahnya akan nikah dengan Rosri kembali. Dia terdengar daripada atok dan nenek. Heyr juga mengesahkan berita itu pada anak-anaknya.

Yang Aku masih keliru, kenapa Heyr masih enggan melepaskan aku. Kami sudah beberapa kali ke court, tetapi talaq masih lagi tidak jatuh dan kami masih suami isteri. Depresi aku mula kembali.

Seawal aku tahu depresi mula menyerang, aku mengambil keputusan melanjutkan pelajaran diperingkat phd pula dan berjaya mendapat tajaan. Saat ini aku mula sibukkan diri dengan study dan kerja aku.

Kadang-kadang aku berfikir seolah-olah aku hanya melarikan diri dari masalah dan tiada penyelesaian dalam rumahtanggaku. Tipu lah kalau aku tidak sayangkan rumahtanggaku.

Tetapi untuk apa aku bertahan dan aku hidup untuk mencari redha Allah, dalam masa yang sama aku perlukan kebahagiaan untuk diriku juga. Apa yang aku fikirkan sekarang, syurga Heyr bersama ibunya. Aku kesiankan Heyr sendiri yang tersepit diantara kemahuan ibunya dan dirinya sendiri.

Aku fikirkan juga biarlah Heyr menikahi Rosri kalau itu membahagiakan syurga dia. Aku redha kerana aku tahu suami itu pinjaman Allah.

Aku tidak menentang poligami tetapi dengan keadaan aku yang disihir dan aku tidak merasakan apabila poligami, sihir ini akan terungkai.

Sepanjang rawatan aku bersama ustaz, aku meracau dengan menjerit (ustaz mengambil video saat itu) pelaku sihir mahukan aku mati bukan setakat bercerai sahaja, sebab pelaku itu tahu Heyr sangat sayangkan aku. Selagi aku hidup, selagi itu la Heyr akan merayu dengan aku.

Sudah tentu aku tidak akan percaya sepenuhnya tentang apa yang aku meracau dalam keadaan tidak sedar itu, aku hanya percaya ajal ku ditentukan oleh Allah.

Bukannya aku mahu melarikan diri dan tidak mahu mempertahankan rumahtanggaku tetapi aku sendiri tidak kuat lagi untuk pergi berubat dalam masa sama kesannya pada badan aku.

Esok merupakan tarikh aku dan Heyr ke mahkamah. Semoga esok 27/01/2022 Allah mudahkan urusan kami. Perkahwinan ini adalah proses seumur hidup. Biarpun sekejap atau berpuluh tahun.

Hidup juga tidak perlu pergantungan pada manusia walaupun sayang dan cinta melangit tinggi kerana pengharapan apa-apa didunia ini akan berakhir dengan kekecewaan. Serahlah semuanya pada Allah, semuanya akan berakhir dengan tenang jiwa.

Buat Heyr: ‘Teruskan dengan solat dan taubat, akhir-akhir ini sayang tengok abang sudah mulai solat dan mengaji. Abang banyak berteleku diatas sejadah.

Hubungan kita mungkin sampai disini sahaja, tapi cinta dan kasih masih kuat berbekas dihati sayang. Semua yang terjadi ini anggaplah ujian untuk kita menempa pahala dan menghapuskan dosa kita’

Buat pelaku syirik: ‘apa yang terjadi ini bukanlah kekuasaan dan kehebatan sihir tetapi itulah kehendak Allah dalam memberi ujian pada hambaNya. Usah bermegah dan merasakan perkara itu berjaya. Sebaliknya carilah Allah, mohon keampunan bersungguh-sungguh.

Saya maafkan apa yang akak buat pada saya dan berhentilah menyekutukan Allah, minta lah dengan Allah untuk apa-apa yang dihajati. Lastly, usah mendambakan cinta manusia yang hatinya berbolak balik’

Buat anak-anak: ‘Semoga sentiasa dalam rahmat kasih sayang dan dilindungi Allah’

Buat mentuaku: ‘Saya kotakan apa kemahuan ibu. Bukan sebab saya tidak sayang dan cinta tetapi sebab saya hidup berpegang dengan tali Allah. Cinta pada manusia hanyalah pinjaman. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua nikmat itu.’

– Heidhus (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *