Salam, saya baru terbaca confession daripada Zu yang bercerita mengenai depresi bukan disebabkan iman, (https://iiumc.com/depression-bukan-masalah-iman/).
Saya amat tertarik bila Zu menyatakan dia suka balik bilik.
Saya gadis berumur 27 tahun yang masih belum berkahwin. Saya hanya ingin meluahkan isi hati saya. Saya ringkaskan luahan saya seringkas mungkin.
Saya seorang yang ceria dan happy-go-lucky. Sampai Abah saya meninggal 2 tahun lepas. Hidup saya semakin suram.
Saya anak bongsu dari 3 beradik dan semua sudah berkeluarga.
Keluarga kami sebuah keluarga yang bahagia dengan serba sederhana dan Abah seorang yang sangat rajin bekerja, disiplin, petah dan kelakar.
Jadi Abah ni sempoi bila kami ada apa-apa nak diceritakan mesti Abah ada untuk beri nasihat dan solusi.
Semuanya berubah bila Abah meninggal kerana kanser pada Ogos 2019.
Saya yang mencari pekerjaan di ibu kota, meninggalkan Mak seorang diri di rumah dan saya tinggal bersama keluarga kakak saya, Along. Angah pula tinggal berdekatan dengan Mak.
Dipendekkan cerita, hubungan kekeluargaan semakin merenggang kerana komunikasi yang lemah dan salah. Salah faham mula berterabur sana dan sini.
Dan semua ambil pendekatan untuk hiburkan hati masing masing tanpa ada rasa kekeluargaan seperti dulu.
Pada Januari 2021, Mak pula ambil keputusan untuk berkahwin lagi tanpa persetujuan saya dan Along. Kami tidak dapat menerima yang mana Mak sudah menggantikan Abah dengan orang lain.
Saya masih dirumah Along dan keluarga macam biasa seperti keluarga lain.
Saya tahu saya tidak patut tinggal disini tapi saya terpaksa membutakan diri dan buat-buat tak faham supaya saya dapat kurangkan kos dan simpan duit untuk deposit beli rumah.
Selepas 2 tahun, alhamdulillah saya berjaya kumpul dan kini dalam proses pemilikian.
Selepas raya puasa 2022 haritu, saya pulang ke rumah Mak tapi Mak takde sebab beraya dengan keluarga suami baru di negeri lain. Angah pula beraya di rumah keluarga mertua.
Saya dan Along balik beraya sesama kami dan Along pulang ke rumahnya pada raya ke-3 pagi. Saya masih di rumah Mak seorang diri.
Disitu, saya mula berasa sedih, marah, dikhianati dan rasa seorang diri sangat. Seolah saya je yang masih dengan keluarga ini. Saya faham yang lain dah ada keluarga masing-masing dan menggembirakan keluarga masing-masing.
Maka bermula lah episod kehidupan yang tidak bermakna saya. Setelah pulang ke rumah Along, saya tidak lagi duduk bersama mereka.
Saya akan menghabiskan masa saya di dalam bilik. Itulah tempat saya gembira dan sedih. Saya tak lukis orang lidi, tapi saya bercakap seorang diri.
Saya sedar tapi saya masih bercakap seorang diri seolah ada orang ada dengan saya dalam bilik tu. Sebab kalau saya duduk diam-diam, saya akan mula nangis kenangkan nasib saya dan kenapa semuanya sangat lambat.
Saya nak pindah rumah saya cepat-cepat sebab saya nak bawa Mak datang duduk dengan saya walaupun sekejap.
Saya nak beli kereta sebab nak ambil Mak jalan-jalan dengan saya. Boleh singgah rumah adik-beradik makan-makan macam dulu.
Saya tak tahu macam mana nak bercerita perasaan saya dan kenapa saya jadi macam ni tapi buat masa sekarang, saya memang hidup sebab tak mati lagi je.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit