Salam hai, saja lah nak share kisah kehidupan aku. Segalanya bermula bila aku kenal suami aku ni. Masa tu okay-okay je. Dia orang kampung je. Aku ni anak M40. Kami bercinta dari zaman university lagi.
Aku pun hidup sederhana je. Masa tahun 2018, iaitu tahun pertama aku bekerja, aku decide aku nak beli kereta. Masa tu ada yang kata, fresh grad tak payahlah beli kereta baru.
Aku OT siang malam semata-mata nak kumpul deposit untuk kereta aku. Ada yang kata dah tau gaji aku kecik, sibuk nak beli kereta.
Aku kumpul-kumpul gaji dan OT aku, cukup la 10k untuk deposit kereta aku masa tu. Tiba-tiba bank reduce loan 2 ribu setengah. Mana aku nak cari? Aku tanya la boyfriend aku masa tu, boleh tak nak pinjam dulu.
Dia bagi aku 3ribu, katanya yang lebih tu buat mekap kereta. Pastu aku kata tak apa aku akan bayar balik bulan-bulan. Tapi dia tak mau, katanya dia halalkan.
Lepastu kami berkawan macam biasa, ada masa aku dating dengan dia. Kadang-kadang tak ada masa, berbalas mesej sahaja. Aku alhamdulillah bekerja dalam bidang yang sama dengan pengajian aku di university.
Tapi nasib boyfriend aku tak sama macam aku, dia terpaksa bekerja bermacam bidang sebab pengajian dia tak menjanjikan kerjaya yang stabil.
Oh ya, aku asal di utara dan dia di selatan. Kami dah decide yang kami nak duduk di negeri lain yang sama adil bagi keluarga kedua belah pihak.
Boyfriend aku kerja macam-macam ; pump attendant tak ada lesen untuk turun minyak dari tank, kalau dia terjatuh dalam tangki minyak, tak ada jaminan apa-apa,
Then kerja security guard 24 jam, kilang tangga tak bagi solat, kilang aircond tak bagi solat jugak, kerani tak bayar gaji, despatch tak bayar gaji waktu PKP. Pokoknya macam-macam lah. Aku terima je dia seadanya.
Aku tukar telefon baru, telefon lama aku bagi dia. Kadang-kadang hari gaji, dia belanja tengok wayang.
Maka tibalah masa untuk kami decide untuk melangkah ke arah seterusnya. Masa tu, mak dia dah suka kat aku, mak dia nak masuk meminang aku tapi kekangan PKP. So ditangguhkan la.
Pada masa yang sama, kami berdua saja tengok-tengok rumah untuk lepas kahwin. Ada 1 rumah ni, dibawah skim sewa untuk beli.
Aku dengan dia dah jatuh cinta untuk memiliki rumah tu. So, dia dah janji, dia akan bayarkan deposit untuk sewa rumah tu. Aku seronok sangat.
Tiba-tiba masa hari nak bayar deposit, saving dia berbelas ribu kena macau scam. Hilang macam tu je. Pastu tanpa fikir panjang, aku terus buat personal loan RM10k untuk bayar deposit rumah dan utiliti rumah tu.
Pada mulanya aku rasa okay je sebab aku hanya ada dia di negeri ini dan dia hanya ada aku. Tapi ada yang kata aku bodoh bila buat tindakan macam tu.
Aku berhabis untuk dia, hakikatnya dia yang kena tunjukkan effort untuk aku, bukan aku.
Masa tu aku bergaduh besar dengan dia sampai aku minta putus. Tapi aku dilemma sebab aku dah bayar deposit rumah, nak tak nak aku kena terima.
Syaratnya kalau nak dapatkan balik deposit, kena duduk sekurangnya setahun.
Ada yang kata aku bodoh, dia boleh lari tinggalkan aku macam tu je. Jadi perempuan jangan senang-senang nak bagi duit sendiri dalam relationship.
Muka aku pun hodoh, ada ke dia support skincare aku bulan-bulan? Semuanya aku sendiri. Aku jadi tertekan, aku jadi lupa pada semua kebaikan dia.
Ada yang suruh aku check balik semua gaji dia, pergi ke mana, betul ke ada saving tu. Ada yang kata, entah-entah dia memang tak simpan pun duit tu. Ada yang kata kenapa bodoh sangat, tak baca dulu syarat untuk rumah tu.
Ada yang kata, umur macam aku tak layak lagi nak memiliki rumah. Ada yang kata dah tau gaji kecik, kerja dia pun tak tetap, berangan nak beli rumah. Ada yang kata, belambak lagi rumah, kenapa sibuk nak rumah tu jugak.
Ada yang suruh aku ubah penampilan, kena jadi wanita moden yang cantik, beribu aku habis untuk mengikuti segala “nasihat” dari “ada yang kata” itu.
Maka aku makin jauh dari dia. Aku jadi leka dengan segala “nasihat” dari “ada yang kata” itu.
Aku nak jadi princess yang segalanya mestilah dating dari effort lelaki. Aku nak dia support aku segalanya. Sampai aku maki-maki dia kata dia miskin.
Aku paksa dia bayar skincare aku beratus-ratus harganya, dia bayarkan je tanpa banyak soal. Aku suruh dia tinggalkan aku sebab aku tak nampak langsung effort dia. Yang mana aku lupa effort dia terlalu banyak untuk aku.
Walaupun aku duduk di negeri asing dari kampung, tapi aku masih lagi ada adik beradik yang aku boleh menumpang di sini.
Tapi dia, dia hanya ada aku. Sampailah aku minta nasihat betul-betul dari seorang kaunselor, dia adalah sahabat aku, dia suruh aku bertenang, jangan buat tindakan melulu.
Buang dulu segala “ada yang kata” itu. Tapi, jangan bagi boyfriend peluang untuk pijak kepala aku.
Maka atas nasihat dia, aku kena terima boyfriend aku, tapi, aku kena tegaskan yang loan 10 ribu tu dia kena bayar bulanan.
Dan pada masa tu juga, aku minta tolong dari lecturer aku, dia sudi pinjamkan dulu amount deposit rumah tu dulu sebab aku tak pasti personal loan aku tu lulus atau tak.
Dan, alhamdulillah loan tu lulus, aku bayar balik hutang aku kepada lecturer aku. Dia juga nasihatkan aku, jangan tinggalkan boyfriend aku tu.
Dia? Masih lagi disitu tanpa melangkah selangkah pun untuk lari tinggalkan aku. Segala apa yang aku buat kat dia, sikit pun dia tak maki aku, tak marah aku.
Aku minta dia bagi ruang, dia ikut. Cumanya dia takmau tinggalkan aku. Biarlah dia kena kerja separuh mati pun, dia sanggup.
Aku pun minta dia bagi aku statement bank yang dia kena Macau Scam tu, ya, betul depan mata aku, aku nampak amount yang keluar bagai air mengalir tiap hari. Berbelas ribu hampir 20 ribu lesap begitu sahaja.
Aku pun bertenang, bagi dia peluang, aku minta dia bayar balik semua yang aku telah keluar duit selama ni.
Semua barang yang aku beli untuk kehidupan lepas kahwin, aku catat termasuk hantaran 10k yang mana dia tak ada duit untuk bagi, so aku masukkan dalam list hutang dia.
Dari sebesar-besar deposit rumah sampai sekecil-kecil sudu kecik, aku listkan, jumlah semuanya dalam RM60k. Aku pula tamak, semua nak complete.
Vacuum cleaner, microwave, air fryer, peti ais, iron steam harga 2ribu, vacuum robot semua aku beli. Dia bayar dengan gaji dia bulan-bulan. 95% gaji dia bagi aku.
Dia jual superbike dia yang ayah dia hadiahkan, hanya untuk bayar hutang kepada aku. Dia kerja siang malam untuk kumpul. Dan aku decide untuk meninggalkan circle “ada yang kata”.
Aku pindah dari bilik sewa aku ke rumah yang dah aku berhabis tu. Aku duduk situ sorang-sorang selama 10 bulan sebelum aku kahwin. Sunyi, ya sunyi tapi aku tenang.
Aku lega, sebab aku boleh fikir sendiri. Aku boleh buat keputusan tanpa dipengaruhi sesiapa. Dia?
Sikit pun tak berganjak lari dariku. Maka, kami pun alhamdulillah dah berkahwin. Masa kahwin dia mampu bagi duit mas kahwin je.
Lain-lain belanja semua duit aku (duit yang dia bayar hutang). Cincin tunang, baju tunang, kahwin, gelang emas, mekap, pelamin dua-dua belah pihak semua duit aku. Kadang-kadang aku terkena juga hasutan syaitan yang mana aku rasa lelah, asyik duit aku aje.
Duit raya untuk mak ayah adik-beradik dua-dua belah pihak pun duit aku. Aku rasa dia suami yang tak bertanggungjawab.
Lepas kahwin, dia kerja siang malam, tak cukup dengan tu, dia jaga hal-hal rumah. Basuh baju, sidai baju, basuh toilet, buang sampah, masak. Aku balik goyang kaki aje.
Dia selalu balik awal, sebab malam akan start shift kerja, dia dah siap masak/beli makanan, akan bancuhkan air untuk aku makan dan minum bila sampai rumah.
Alhamdulillah lepas 4 bulan kahwin, aku pregnant. Lagi-lagi bertambah baiknya dia, aku hanya goyang kaki dirumah tak perlu apa-apa.
Tapi, dia kena kerja guard siang malam (malam-malam aku yang pregnant ni duk sorang-sorang) untuk cantikkan payslip untuk kami beli rumah ni.
Sepatutnya kami kena beli rumah selepas 2 tahun sewa. Tapi rezeki anak mungkin, kami dapat beli rumah tu awal setahun dari tarikh jangkaan.
Aturan Allah tu indah, sebelum kami mampu beli rumah, kami pernah nak beli kereta mahal, tapi loan tak lepas-lepas.
So kami pakai je 1 kereta, 1 moto. Alhamdulillah , dapat beli rumah kondo yang lokasinya strategik dan harganya RM420 ribu ada 4 tier security.
Pihak pemaju bagi kami cashback dalam RM60ribu, sepatutnya kami bahagi 2 duit tu tapi dia bagi semua duit tu kat aku.
Kami renovate rumah tu, letak invisible grill, aircond, beli perabot-perabot baru. Aku tambah barang kemas baru. Alhamdulillah.
Indah hidup kami. Aku mampu bersalin di hospital swasta, aku mampu bayar CL datang jaga aku dalam pantang. Selepas pantang, suami aku sekali lagi diuji, kerja guard tapi dah tak boleh kerja malam, sebab dah ada baby.
Dia terpaksa kerja jadi penghantar makanan yang mana gaji harian masa tu dalam beberapa puluh ringgit sahaja. Saving ada? Ada tapi ya la, duit ni berjuta pun kalau diguna-guna, akan habis juga.
Pada awalnya kami lelah juga nak bayar semua komitmen sebab gajinya dah tak sama macam dulu. Aku jual balik barang kemas aku untuk bayar komitmen bulan-bulan. Aku lah yang jadi “boss” dia, semua gaji dia, dia akan transfer ke akaun simpanan aku.
Ada bulan yang kami mampu bayar segala komitmen bulanan, ada bulan yang kena drag sampai hujung bulan. Dan alhamdulillah, kami mampu sediakan takaful dan hibah untuk kami berdua beserta anak kami.
Dan baru ni, alhamdulillah kami dapat beli 1 kereta kecik. Harga 22 ribu je. Okay la dah ada rumah, dah ada 2 kereta 1 motor.
Alhamdulillah, kami belum pun capai umur 30 tahun dah ada rumah seharga hampir setengah juta, 2 kereta 1 motor.
Dan lagi 7 tahun, loan-loan kecik; personal loan, kereta, motor semua dah habis yang inshaAllah pada waktu tu kami belum pun umur 40 tahun lagi. Dan, yang paling penting suami aku ni tak merokok, tak vape.
Kalian yang membaca ni , tolong ya jangan mengecam, doakan yang baik-baik.
Ya ada isu suami curang, isteri curang. Tapi kita usaha untuk jadi suami dan isteri yang baik untuk pasangan masing-masing ya. Aku cerita disini tanpa bagitahu sedikitpun clue nama aku.
Aku tak mahu tunjukkan kebahagiaan aku pada orang, cukuplah luahan anonymous disini.
– tidak diberitahu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit