Hijrah Seorang Muslimah

Assalamualaikum… Nama aku Rabiatul Adawiyah (bukan nama sebenar tapi aku sangat suka dengan perwatakan srikandi islam Rabiatul Adawiyah).

Baru-baru ni kita dikejutkan dengan penghijrahan seorang usahawan muda yang terkenal. Daripada seorang yang biasa-biasa, kepada seorang muslimah yang luar biasa. Aku tahu mesti ramai yang kenal siapa yang aku maksudkan.

Aku nak ceritakan sedikit kisah aku yang juga dulunya seorang yang biasa dan cuba untuk menjadi muslimah yang luar biasa.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang berantakan dan sangat kurang didikan tentang ilmu agama. Malah sejak kecil hingga dewasa, aku tak pernah solat berjemaah dengan keluarga. Khatam Al-quran apatah lagi.

Aku sentiasa cemburu dengan kawan-kawan yang selalu bercerita tentang keluarga mereka yang solat jemaah bersama, mengaji bersama, ke masjid bersama.

Lagi satu, seumur hidup aku, aku tak pernah solat terawikh. Tiap kali bulan ramadhan, aku hanya mampu tengok kawan-kawan aku dengan keluarga mereka ke masjid. Dan tiap kali tu la aku sedih bila tengok keluarga aku sendiri.

Keluarga kami solat juga.. Tapi solat asing-asing. Kadang tu, ada yang solat, ada yang tak solat. Ikut mood masing-masing. Takde siapa nak marah, takde siapa nak larang.

Sikap aku bertambah buruk apabila aku dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Aku jauh daripada ibu bapa aku, jauh daripada adik-beradik. Aku jadi bebas.

Cuma.. Sebebas-bebas aku, aku masih menjaga kehormatan diri. Aku tak liar.. Aku cuma ramai kawan lelaki. Aku tak bercinta atau berscandal, cuma berkawan tanpa ada perasaan istimewa.

Nak kata aku tomboy, aku tak tomboy.. Masih lagi bertudung litup, cuma singkat tersingkap dada. Badan aku kurus keding. Di universiti aku tercari-cari identiti aku. Aku macam keliru. Pakaian ikut mood.

Kadang, seluar askar dengan baju t-shirt. Baju kurung dengan kasut converse. Kemeja dengan skinny jeans. Perwatakan aku jugak agak kasar. Rupa?? Entah la… Jerawat penuh tak pernah surut. Cantik dekat mata aku sendiri je.

Aku pernah kena tahan dan kena saman dengan pihak universiti sebab keluar sampai lewat pagi dengan kawan-kawan lelaki. Membebel pakcik guard masa scan kad matrik aku. Katanya aku tak padan dengan perempuan, buat perangai macam jantan.

Puncanya kami keluar konvoi ramai-ramai tapi naik motor asing-asing. Tapi aku tak pernah serik. Biasalah.. Jauh daripada ibu bapa.

Tamat study, aku terus dapat kerja di Kuala Lumpur (KL). Fuhh… Ujian duduk KL lebih mencabar. Aku jadi kejutan budaya. Tambahan pula dapat tempat kerja yang tak kisah dengan batas pergaulan.

Tapi Allah tu tahu jauh di sudut hati aku, aku masih menjaga kehormatan diri. Di sudut hati aku, masih ada keinginan untuk jadi hamba Allah yang beriman. Cuma aku tak tahu bagaimana nak mula. Aku tak tahu dekat siapa aku nak rujuk.

Sehinggalah suatu hari Allah jentik hati aku. Sedang aku berjalan kaki pulang ke rumah, sekumpulan muslimah berjubah dan berpurdah lalu di hadapan aku.

Allah… Hati aku terus sebak. Sebak hingga aku tak sedar air mata aku mengalir. Aku seakan terpana dengan keindahan mereka. Bagai ternampak bidadari yang lalu.

Lama aku berdiri di situ menjadi pemerhati. Jelas terpancar kebahagiaan mereka. Aku cemburu. Cemburu melihat keindahan luar biasa seperti bidadari itu. Aku jadi rendah diri, jadi malu dengan diri sendiri.

Keesokkan hari.. Tanpa aku sedar, aku dah terpacak di sebuah kedai tudung. Lama aku berfikir-fikir nak masuk. Akhirnya aku masuk dan tanya jika ada jual tudung labuh.

Masa ni baru aku tahu apa itu tudung bidang 55′, bidang 60′. Sebelum ni aku cuma tahu tudung bawal biasa je. Itu pun aku tak tahu bidang berapa. Jadi, aku beli lah tiga helai. Warna mustard, maroon dan biru.

Seriously, aku happy sangat. Aku balik sambil tersenyum menjinjit tudung-tudung tu. Aku nekad nak pakai esok pergi kerja.

Balik tu aku korek almari cari baju labuh, seluar longgar. Tapi takde. Yang ada, skirt mak cik aku bagi. Aku hentam je pakai skirt dengan tshirt yang aku rasa agak besar walaupun labuh tak sampai lutut. Siapa suruh beli tudung tapi lupa beli baju.

Handsock dan stokin aku dah ada tapi handsock jenis corak-corak, stokin warna-warni. Takpelah.. Asalkan aku tutup aurat.

Okey, ni yang penting aku nak hightlight. Perasaan masa aku mula-mula pakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Ya Allah.. Hanya yang pakai sahaja tahu perasaan tu.

Aku rasa selamat sangat-sangat. Aku rasa macam takde langsung lelaki yang nak pandang aku dengan pandangan jahat. Aku rasa sebak. Aku rasa nak menangis. Aku rasa bahagia. Aku rasa happy terlampau.

Lepas tu baru aku slow-slow beli baju labuh, seluar longgar, handsock, stokin. Aku pernah try nak berpurdah. Tapi aku tak kuat hati.

Lagi pun aku masih jauh lagi dengan ilmu agama. Cukup dulu dengan sempurnakan aurat. Maka, aku cuba sempurnakan juga ilmu agama aku.

Alhamdulillah.. Selepas perubahan aku, orang-orang di sekeliling aku turut terkesan. Mungkin mereka malu dengan aku atau mungkin juga mereka turut di jentik hati seperti aku.

Aku paling suka kata-kata ni. Aku tak tahu dari mana sumbernya. Aku hanya terjumpa. Tapi aku jadikan sebagai sandaran untuk aku terus istiqamah.

“Ketika aku muda, aku ingin mengubah seluruh dunia. Lalu aku sedar, betapa sulit mengubah seluruh dunia ini, lalu aku putuskan untuk mengubah negaraku saja.

Ketika aku sedar bahawa aku tidak mampu mengubah negaraku, aku mula berusaha mengubah kotaku.

Ketika aku semakin tua, aku sedar tidak mudah mengubah kotaku. Maka aku mula mengubah keluargaku.

Kini aku semakin renta, aku pun tak mampu mengubah keluargaku. Aku sedar bahawa satu-satunya yang mampu aku ubah adalah diriku sendiri.

Tiba-tiba aku tersedar bahawa bila saja aku mampu mengubah diriku sejak dahulu, aku pasti mampu mengubah keluargaku dan kotaku.

Pada akhirnya aku akan mengubah negaraku dan aku pun mampu mengubah seluruh dunia ini.”

Kita tidak akan mampu ubah orang lain sebelum kita mengubah diri sendiri. Kita tak mampu ubah diri sendiri sebelum kita mengenal diri sendiri. Kita tak akan kenal diri sendiri sebelum kita menerima diri kita seadanya.

Semoga Bermanfaat untuk semua. Doakan aku terus istiqamah dengan hijrah aku.

– Rabiatul Adawiyah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *