Hikmah Dan Syukurlah

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Aku Imtiyaz, umur awal 30 an, merupakan seorang ibu kepada 2 orang cahaya mata lelaki.

Apa yang aku ingin ceritakan ini, mungkin akan ada cacat cela dari segi ayat penyampaian aku, sebab aku dah lama tak menulis. Hanya sekadar pembaca setia disini. Tapi kali ni, aku gagahkan juga. Aku cuba ya, aku cuba.

Untuk kalian ambillah apa yang baik, dan buanglah jauh2 apa yang tak baik dari bacaan semua.

Straight to the point, 40 buah klinik aku hubungi untuk dapatkan vaksin influenza buat kesayangan-kesayangan kecilku di rumah, gagal. Aku hampa. Tapi aku tahu, aku cuba yang terbaik.

Tambah merunsingkan aku, bila anak sulung yang berusia 4 tahun, mula demam, selesema dan batuk2. Anak aku berjangkit dari kawannya yang tetap juga ke tadika walaupun tengah sakit. Aku sangat geram.

Masih ada lagi ibu bapa yang selfish hinggakan anak orang lain menjadi mangsa. Sehinggakan anak aku baru sahaja pergi ke tadika 5 hari, minggu kedua dah ponteng 5 hari. Aku terpaksa rehatkan anak dirumah supaya dia tak bawa penyakit2 nya ke tadika bimbang terjangkit kepada kawan2nya yang lain.

2 kali anakku ambil ubat, masih ada batuk2 sesema sehinggakan doktor dah beri antibiotik, baru nampak sikit2 perubahan positif. Alhamdulillah. Syukur pada Allah yang memberi deman, sesema dan batuk2, sebab Allah melindungi anakku dari mudharat yang lebih besar. Nauzubillah.

Sedang anakku masih lagi dalam keadaan tak sihat, aku juga dah berjangkit sama. 2 kali juga aku ambil ubat, baru ada perubahan positif. Masa ni, duit jangan cakap. 4 kali ke klinik, dah beratus jugalah yang habis.

Tapi sebab ikhtiar nak sihat, ambil juga ubat walaupun Allah sangat2 boleh saja menyembuhkan tanpa makan ubat pun, tapi Allah nak tengok usaha dan ikhtiar kita. Buat masa ni, aku dan anakku, kami ikhtiar cara begini. Ambil ubat dan biarlah doktor yang merawat. Yang Maha Menyembuhkan tetap juga Allah. Bukan ubat. Bukan doktor.

Kali ketiga ni, Allah duga lagi. Sedang anak pertama masih dalam proses rawatan, aku juga masih sakit2 badan dan batuk2, si babyku yang baru berusia 9 bulan, dah ada tanda2 terjangkit dari kami. Walaupun kami dah jadi ninja dirumah dengan bermask, guna spray disinfectant bagai, tetap juga penyakit ini berjangkit pada anak kecilku.

Babyku ini sudah mula batuk2, demam dan juga selesema. Aku dan suamiku terus bawa anak kami ke klinik untuk rawatan. Kali ni, aku risau sikit. Sebab umurnya yang masih baby, tak banyak ubat boleh diberikan untuk merawatnya. Bila bernafas, anakku seolah2 tercungap-cungap dan keadaannya bertambah teruk.

Hari ke 3 anakku masih tak menunjukkan tanda positif, kami segera ke hospital. Dikala anak sulung pun masih belum sihat sepenuhnya, aku pun batuk masih belum sembuh, aku mula mencari2 dimana hikmah semua ini. Sesekali kesal terbit dari hati.

Di hospital, anakku tercungap2 lagi dengan curi2 bernafas, nampak menyeksakan, dan dia diberikan nebuliser. Doktor juga ada buat imbasan xray dan resultnya, di paru2 anakku ada tompok-tompokan putih. Kata doktor, ada kuman dan anakku perlu dimasukkan ke wad.

Masa ni aku gagal mengawal emosi, menangis. Kenapa Allah beri kami sekeluarga sakit dalam masa yang sama. Berat aku nak melangkah tapi tetap gagahkan juga. Rasa longlai. Runsing seorang ibu, fikirkan yang sulung, yang baby, hanya insan yang bergelar ibu sahaja yang akan faham.

Susah hati, rasa berat bila anak sakit. Kepala dah mula fikir yang bukan2. Dah la call 40 buah klinik untuk dapatkan vaksin influenza sebelum ni pun gagal. Lambat sangat bertindak. Anak pulak dah kena tahan wad. Eh anak aku ni jadi macamni sebab influenza ke..? Semua berkecamuk, bercampur2. Kusut. Sangat.

Tapi, atas izin Allah, di wad inilah aku mula nampak hikmah Allah suntik sikit2 masuk ke dalam jiwa aku.

Ada seorang budak lelaki aktif, lingkungan usia 1 tahun 3 bulan. Lelaki asyik bermain2 kehulu kehilir dalam wad. Aku pelik kenapa budak ni masuk wad sebab aku tak nampak sebarang penyakit padanya. Menurut ibu budak tersebut, anaknya sejak berusia 4 bulan, asal demam je, jadi sawan. Umur 7 bulan, demam panas lagi, hingga sawan. 9 bulan jadi lagi. Usia setahun, jadi lagi berulang2.

Semasa 2 hari sebelum aku masuk ke wad, anaknya demam dan sawan berlaku dirumahnya. Dan kali ni ambulance datang, anaknya kejung di dalam ambulance sambil para perawat melakukan CPR berulang2 kali. 40 minit. Masa yang tersangat panjang untuk sampai ke hospital.

Pada masa tu sangat2 cemas hinggakan ibu budak tersebut dah sangkakan anaknya dah mati kerana sawan jadi dalam tempoh yang sangat panjang. Masa yang berlalu sangat lama dirasakan. ‘Mati dah anak aku…’ kata ibunya. Aku yang mendengar pun rasa getir. Cuak. Bimbang apa lagi yang akan aku dengar dari mulut ibunya lepas tu.

Tapi Allah-lah Yang Maha Mengizinkan, Allah izin mereka berjaya buat anak tu menangis, dan normal kembali. Ya Allah. Dan sekarang, masih dalam pemantauan doktor. Alhamdulillah.

Ujian anak aku segenting ini tak?

Dan nikmat Tuhan (Allah) yang manakah engkau dustakan…?

Lagi, aku terpandang seorang budak perempuan, yang hanya terbaring. Selang 1 katil je budak ni baring dari katil anak aku. Aku pelik kenapa budak tu yang aku anggarkan usianya 3 tahun, tak bangun2 pun.

Aku mula bertanya pada ibunya yang setia menunggu. Kata ibu tersebut, usia anaknya 3 tahun 8 bulan sekarang ni. Semasa usianya 6 bulan, si anak ini selalu demam panas hingga sawan. Lagi kes sawan. Ada satu ketika, demam panasnya terlalu tinggi, sawan dan memberi kesan kepada otaknya.

Otak si anak ini semakin mengecut. Dia dah tak seusia budak2 normal yang lain walaupun dia dilahirkan normal. Sekarang, hanya terbaring tanpa sebarang kata2 keluar dari mulut, yang kedengaran hanyalah bunyi2 rengekan, dan air liur yang meleleh2 yang dilap ibunya.

Ini kali ke 7 masuk wad, pernah beberapa kali ditahan di ward isolation selama sebulan lebih kerana mudah dapat penyakit. Meruntun hati aku yang mendengar dan melihat sebab budak tu sebaya anak aku. Allahuakbar.

Dan nikmat Tuhan (Allah) yang manakah engkau dustakan…?

Next, depan katil anakku, ada budak seusia anakku, 9 bulan. Baby kecil tu demam dan sesema sama macam anak aku. Sengaja aku mula menyapa ibunya, tapi aku tersilap. Itu bukan ibu budak tu. Dia adalah ibu saudara yang ambil alih menjaga baby tu.

Bila aku tanya, dimana ibunya? Jawapan, ‘Breast cancer stage 3, tak mampu urus diri sendiri apatah lagi nak urus anak. ‘

Allah ketuk aku lagi.

Dan nikmat Tuhan (Allah) yang mana lagi engkau dustakan…?

Last, sebuah katil disorong ke dalam wad tempat anak aku ditahan. 4 orang doktor mengelilingi katil budak tersebut yang sangkaan aku mungkin baby baru lahir sebab dibedung hingga ke paras leher. Tapi bila aku terpandang pada kertas maklumat pesakit dilekatkan di kepala katil pesakit, tertera 5 bulan.

Aku jadi pelik takkan 5 bulan sekecil itu. Yang bagiku baby sekecil itu mungkin baru dilahirkan. Tapi ternyata aku salah. Melalui percakapan doktor-doktor yang sempat aku dengar dan fahami, ya baby tersebut 5 bulan, ada masalah di otaknya dan tumbesarannya terbantut.

Dia umpama baby yang baru dilahirkan terbaring sahaja walaupun dah berusia 5 bulan tanpa mampu berbuat apa2. Jari jemarinya yang halus, kecil, umpama memberi gambaran masalah tumbesaran yang dihadapi yang aku sendiri tak yakin apa puncanya.

Tak lama dia berada di wad ini, sebab belum sampai sejam bersama dengan kami, dia ditolak ke wad lain. Mungkin disini sangat tidak sesuai untuknya kerana masalah penyakit yang dihadapi. MasyaAllah.

Besar dugaanMu ya Allah. Aku menangis.

Aku? Batuk-batuk saja. Dan anakku, Bronchopneumonia. Setelah 3 hari 2 malam, tanggal 16 Januari admitted, 18 Januari discharge.

Terima kasih Ya Allah, atas teguran ni. Sesungguhnya aku bukanlah dari golongan yang sikit, kerana aku yang sangat2 kurang bersyukur.

Maafkan aku ya Allah. Terima kasih atas penyakit yang Engkau dah pun sembuhkan ini sedangkan ramai lagi yang masih terbaring kaku. Apatah lagi di ICU, CCU hospital yang aku yakin, kes-kesnya diluar apa yang pernah aku tahu dan sangka. Allah.

Moga Allah berikan kita semua nikmat sihat yang berpanjangan dan umur yang bermanfaat. Aamiin.

– Imtiyaz Zihdi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *