Hikmah Disebalik Perceraian Mak dan Ayah II

Untuk part I, (https://iiumc.com/hikmah-disebalik-perceraian-mak-dan-ayah/).

Assalamualaikum. Terima kasih atas komen-komen murni dari pembaca semua untuk post pertama aku hikmah disebalik penceraian mak dan ayah. Ada beberapa readers yang minta aku story pasal keadaan ayah selepas bercerai dengan mak.

Sebenarnya aku lebih suka nak bercerita tentang mak, sebab mungkin boleh bagi inspirasi kepada orang-orang yang tengah struggle atau menghadapi masalah dalam hidup. Tapi, kisah ayah aku juga banyak pengajarannya kalau kita ambil dari sudut positif.

Jadi untuk kali ni, aku akan cerita sikit perjalanan hidup ayah aku selepas bercerai dengan mak.

Selepas bercerai dengan mak, ayah aku pun berkahwin dengan perempuan ketiga yang menjadi asbab perceraian ayah dan mak tu.

Tapi, kisah rumahtangga mereka juga tak jauh beza dari kisah mak dan ayah sebab ayah tetap tak berubah dan masih baran. Aku ada cerita kan yang sikap ayah pada perempuan tersebut berbeza?

Ayah bercakap dengan baik, lemah lembut dan tidak berkira langsung. Tetapi itu semua hanya sebelum berkahwin. Sama lah hal nye dengan mak sebelum berkahwin dengan ayah.

Mak kata, masa bercinta ayah sangat penyabar. Tak pernah tinggi suara, sweet talker dan nampak pemurah belanja itu ini. Tapi apabila dah berkahwin, semuanya berubah.

Dengan isteri baru, ayah telah bercerai sebanyak dua kali. Kali pertama selepas bercerai, mereka rujuk kembali. Kali ke-2, terus terlerai. Tapi kali ni mungkin bertemu buku dengan ruas. Isteri baru ayah bukan macam mak. Sabar, bertolak ansur dan taat.

Isteri baru ayah akan melawan setiap kali bergaduh. Bila ayah naik tangan, dia terus buat laporan polis dan ayah pernah dipenjarakan beberapa hari sebelum isteri beliau menarik balik laporan tersebut.

Dan, ahli keluarga kepada isteri ayah juga masuk campur dan tidak duduk diam bila isteri ayah di pukul.

Pernah mereka ramai-ramai datang ke rumah ayah dan menyerang ayah kemudian membawa isteri ayah keluar dari rumah tersebut. Masa tu la, ayah lafaz talak taklik ‘kalau keluar dari rumah, jatuh talak’. Maka terlerailah ikatan itu.

Berbeza dengan perceraian bersama mak yang tak memeningkan ayah, tapi perceraian dengan isteri baru tersebut memberi tekanan besar kepada ayah sehingga ayah pernah dimasukkan ke wad selama beberapa bulan akibat tekanan.

Ayah ada 3 orang anak dengan isteri tu dan 2 orang anak ayah ambil selepas bercerai dan yang bongsu bekas isteri ayah ambil.

Tetapi malangnya, bekas isteri ayah nekad memutuskan terus hubungan mereka. Mungkin terlalu sakit dengan perbuatan dan layanan ayah kepadanya sepanjang perkahwinan, Wallahualam.

Dia langsung tidak menghubungi ayah, menukar nombor telefon dan tidak sesekali ingin berjumpa ayah walaupun 2 orang anaknya bersama ayah.

Disebabkan itu, ayah tidak pernah berjumpa dengan anak bongsunya itu sejak mereka berpisah (anak itu berumur 3 tahun) hingga kini mungkin sudah pun bekerja (awal 20-an).

Dan 2 orang anak yang dibawah jagaan ayah pun tidak pernah lagi bersua dan berkomunikasi dengan ibu mereka sehingga kini. Sedih kan? Sikap mak ayah memberikan kesan pada anak-anak.

Suprisingly, mak lah yang membantu ayah menjaga 2 orang anak ayah tu semasa ayah dimasukkan ke wad selama beberapa bulan dan kemudian ayah juga meminta bantuan mak untuk menyambung menjaga mereka semasa ayah sudah mula kembali bekerja.

Mak menjaga 2 orang anak-anak ayah tu selama setahun dan sehingga ke hari ini, anak perempuan ayah tersebut masih rapat dengan mak. Semasa ayah di wad juga, mak lah yang membantu menjaga ayah, menyediakan keperluan ayah di hospital.

Kadang-kadang ayah minta mak beli kan makanan, bawakan pakaian kotor balik ke rumah untuk di cuci. Ye, mak berhati muli. Tapi mak dan ayah tidaklah rujuk balik. Mak kata, hati dia sudah betul-betul tertutup untuk terima ayah sebagai suami.

Apa yang mak lakukan hanyalah atas belas ehsan sebagai sesama manusia dan mengenangkan yang itu ayah kepada anak-anaknya.

Walaupun pelbagai kesakitan yang mak rasa sebelum itu, mak tak pernah pisahkan ayah dengan anak-anak. Ayah bebas datang bila-bila masa untuk menziarah kami. Tapi ayah yang jarang luangkan masa dengan kami sebab dah ada keluarga lain.

Satu lagi ujian yang ayah hadapi selepas perceraian ialah, ayah telah ditipu oleh seorang kenalan dan ayah kerugian beratus ribu ringgit. Skim cepat kaya mungkin, tapi pada zaman tersebut kira-kira 20 tahun yang lepas, kesedaran tentang skim penipuan ini sangat kurang.

Tambahan lagi ayah memang sejenis manusia yang tidak berfikir panjang, suka bertindak melulu dan merasakan yang keputusan yang dia buat paling tepat.

Bukan ayah saja, malah ayah juga telah mengajak ramai adik beradik dan kawan-kawan untuk turut serta skim tersebut dan selepas kenalan ayah itu melarikan diri, ayah lah yang terpaksa menanggung segala kerugian dan membayar ganti rugi kepada adik beradik dan kawan-kawan ayah.

Kes ini berlaku sebelum ayah dan isteri baru tersebut bercerai dan kes ini juga menjadi antara sebab ayah dimasukkan ke hospital selama beberapa bulan akibat tekanan perasaan.

Selepas ayah bercerai untuk perkahwinan ke-2, hubungan ayah dengan mak agak harmoni. Ayah kerap datang ke rumah kami, bawa kami bercuti semasa cuti sekolah, sebulan sekali akan belanja kami makan di luar. Tapi hanya untuk beberapa tahun.

Selepas itu, terjadi satu pergaduhan besar yang melibatkan ayah dan kami adik beradik (ketika itu kami sudah remaja, darah muda dan sudah mula memberontak dengan sikap ayah).

Ayah, walaupun hubungannya dengan mak dan kami sudah agak harmoni, sikap ayah tetap tidak berubah. Cuma ayah tak boleh pukul mak lagi.

Tapi kata-kata nya tetap setajam pisau ketika marah. Habis diungkit segala pemberian nafkah yang diberikan, makan minum dan duit ringgit. Kami anak-anaknya juga rasa tertekan dan tak tahan dengan sikapnya.

Selepas pergaduhan itu, ayah nekad memutuskan hubungan dengan kami. Katanya dia takkan ambil tahu lagi pasal kami, makan minum kami dan sebagainya. Pada masa itu, ayah memang sudah bekerja di negeri lain dan sejak pergaduhan itu, ayah tidak lagi datang menziarah kami.

Anak-anak ayah bersama isteri ke-2 ayah pun ayah bawa sekali dan tidak lagi berada di bawah jagaan mak. Segala duit belanja yang ayah telah beri sebelum itu, ayah ambil balik semuanya.

Kami tidak berhubung dengan ayah selama kira-kira 15 tahun. Selama itulah, kami tidak ambil tahu kehidupan ayah bagaimana. Tapi sekarang, ayah dah pencen, dah berkahwin baru (Kali ke-3) kira-kira 8 tahun lepas dan ada lagi seorang anak.

Kali ni insyaAllah perkahwinan ayah bertahan sebab ayah pun dah tua, mungkin dah tak larat nak marah-marah. Dan isteri baru ayah ni nampak penyabar sikit dan boleh bertahan mungkin.

Hubungan aku, adik beradik dengan ayah sekarang ni tidak mesra seperti anak-ayah yang lain, tapi kami berhubung kalau ada perkara penting keluarga untuk dibincangkan.

Seperti yang aku cerita dalam post yang lepas, kami adik beradik lebih banyak masa dengan mak dan kami sekarang fokus berbakti kepada mak.

Ayah? Pandai-pandai lah dia nak hidup, duit KWSP dia banyak. Apalah sangat kalau sekadar RM400-500 yang kami mampu bagi pada mak setiap bulan ni. Ayah tak perlukan semua tu kot.

Walaupun ayah pernah seakan menyindir kami sebab tak pernah hulur duit selepas kami dah bekerja, aku sikit pun tak terkesan dan aku biarkan sahaja dibawa angin lalu.

Ayah tak tahu macam mana mak ikat perut nak bagi kami makan selepas ayah putuskan hubungan.
Ayah tak tahu macam mana mak membanting tulang cari duit nak bayar keperluan persekolahan,

Kemudian masuk ke kolej dan universiti pula, kos hantar kami ke universiti semua ayah tak pernah hulur walaupun kami minta.

Mak yang menjaga keluarga ini. Mak yang korbankan masa muda dan tidak pernah sekali pun berkahwin lain demi menjaga kebajikan dan hak anak-anak mak.

Mak pendam dan tahan segala sakit yang berbekas akibat perbuatan ayah sepanjang perkahwinan, walaupun selepas bercerai mak masih bersabar demi menjaga emosi dan hak anak-anak. Mak adalah janda paling bermaruah yang aku lihat seumur hidup aku ni.

Jadi, perlukah lagi ayah nak berkongsi pula duit bulanan hak mak tu? Masih perlukah lagi ayah meminta kami anak-anak memberi duit belanja walaupun ayah bukanlah melarat bukanlah tak mampu?

Maaf kalau ayat aku tu kasar sebagai seorang anak. Tapi inilah anak yang dinafikan hak sebagai seorang anak oleh ayahnya sendiri selama berbelas tahun. Hak nafkah zahir duit ringgit itu satu hal, hak nafkah batin iaitu perhatian dan kasih sayang seorang ayah juga satu hal.

Itulah kisah ayah aku. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.

Assalamualaikum.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *