Hikmah Disebalik Perceraian Mak dan Ayah

Seringkali kita dengar tentang malangnya nasib anak yang dibesarkan di dalam broken family / bercerai berai). Kali ni aku nak share kebaikan yang dapat aku rasakan apabila dibesarkan dalam broken family.

Sedikit pengenalan tentang diri aku. Aku seorang wanita berusia awal 30-an dan mempunyai beberapa orang adik beradik. Mak & ayah aku bercerai semasa abang aku yang sulung berumur 7 tahun dan adik yang paling bongsu 3 tahun.

Punca perceraian adalah kerana orang ke-3, tetapi sekarang aku yakin, orang ke-3 itu hanya asbab yang Allah berikan, untuk melepaskan mak aku dari sebuah rumahtangga yang toksik.

Kenapa? Sebab ayah aku seorang yang panas baran dan mak aku menjadi mangsa penderaan rumahtangga sejak mengandungkan abang aku yang sulung. Pantang salah sikit, maki hamun dan sepak terajang yang mak aku rasa.

Sudahlah ayah tidak membantu langsung dalam hal urusan rumahtangga, even sebiji sudu pun ayah aku takkan basuh dan mak memang diperhambakan sesuka hati.

Ayah berkenalan dengan seorang perempuan muda pada usia perkahwinan hampir mencecah 8 tahun, dan nekad menceraikan mak kerana perempuan tersebut tidak mahu bermadu.

Oh ya, sifat baran ayah tidak diketahui oleh perempuan tersebut. Ayah amat baik dan berlemah lembut dengan nya.

Tapi kalau hari ini aku tanyakan pada mak “mak menyesal tak bercerai dulu?”, mak dengan pantas dan yakin akan menjawab “kalau mak tak bercerai dulu, mungkin sekarang mak dah gila, duduk kat hospital sakit jiwa”. Begitulah besarnya hikmah perceraian pada mak aku.

Dan aku sebagai anak, aku juga sekarang dapat rasa beberapa hikmah atas putusnya hubungan suami isteri mak & ayah.

1. Aku tidak perlu tengok mak dipukul dan dimaki oleh ayah. Aku tidak perlu rasa stress dengan konflik antara mak & ayah.

Aku masih boleh ingat dengan jelas ayah & mak bergaduh & aku berada di tengah-tengah mereka, usia aku ketika itu anggaran 4-5 tahun. Aku juga pernah melihat ayah meludah berkali-kali ke meja semasa sedang bergaduh dengan mak.

Sekarang apabila aku sudah berkahwin, aku rasa terlalu janggal apabila melihat ibu & bapa mertua aku bergaduh kerana berselisih pendapat. Aku sangat tidak selesa dengan keadaan itu dan aku akan lari dari situasi tersebut.

2. Aku boleh tengok mak bebas melakukan apa yang mak sukai, yang tak dapat mak buat semasa menjadi isteri ayah.

Mak ada masa untuk ke kelas jahitan, kelas membuat kek & roti, dan melakukan kerja-kerja rumah dengan fleksibel tanpa perlu terikat dengan peraturan & tanpa perlu mengikut cara ayah.

Kalau mak penat, kami akan minta mak berehat saja, tak perlu memasak dan kami akan menguruskan diri sendiri seadanya. Mak tak perlu bimbang ayah balik dari kerja dan memaki hamun kerana rumah bersepah & makanan belum terhidang.

3. Aku sebagai anak, tak perlu pening kepala untuk memilih antara mak & ayah, dan boleh fokus kepada acuan yang mak sediakan.

Ada antara kawan-kawan aku yang aku lihat kadangkala keliru untuk membuat sesuatu keputusan misalnya ayah ingin anaknya menjadi doktor tetapi mak pula ingin anak menjadi guru. Yang jadi mangsa konflik perbezaan mak & ayah adalah anak-anak.

Ini termasuk juga dengan cara didikan dan lifestyle. Dan aku bersyukur aku tidak perlu menghadapi konflik itu. Selepas bercerai, ayah lebih banyak fokus pada keluarga baru, jadi aku dan adik beradik yang lain 100% dengan mak.

Kami semua mempunyai rutin & sikap yang hampir sama hasil didikan seorang ibu sahaja tanpa ada conflict of interest apabila perlu mendengar kata mak & ayah dalam masa yang sama.

4. Aku dan adik beradik menjadi seorang yang berdikari. Kami sedaya-upaya tidak mahu menyusahkan mak malah aku sendiri tidak pernah meminta duit belanja dari mak sejak habis persekolahan.

Duit pinjaman PTPTN aku gunakan sebaik mungkin untuk meneruskan pembelajaran & menampung kehidupan di universiti. Aku juga kerap melalukan kerja-kerja sambilan untuk mendapatkan duit belanja. Begitu jugak adik beradik aku yang lain.

Kini masing-masing sudah bekerjaya dan bekerjasama untuk memberi duit belanja kepada mak dan menziarahi mak setiap minggu.

5. Banyak bantuan yang aku dan adik beradik perolehi sejak dibangku sekolah kerana status mak sebagai ibu tunggal. MRT, Skim Pinjaman Buku Teks, bantuan persekolahan, biasiswa, full loan untuk PTPTN dan lain-lain.

Mak juga mudah mendapatkan loan untuk memulakan perniagaan dengan status ibu tunggal tersebut dan banyak juga bantuan kerajaan lain yang mak perolehi.

6. Mak juga sering dipuji kerana dilihat sebagai ibu tunggal yang gigih, tabah dan bijak menguruskan anak-anak walau seorang diri. Kami adik beradik terjaga rapi, menjadi pelajar cemerlang di sekolah, universiti dan memperoleh kerjaya yang bagus dan stabil.

Buat masa ini, alhamdulillah kesemua aku dan adik beradik telah memiliki aset rumah kami sendiri.

Bukanlah niat aku untuk membangga diri. Tiada apa yang boleh dibanggakan kerana ini semua nikmat dan rezeki dari Ilahi. Tapi, aku cuma ingin membuka mata sesetengah pihak yang sering memandang rendah kepada ibu tunggal dan anak-anak from broken family.

Lagipun, terdapat hikmah yang Allah berikan di atas setiap musibah yang melanda. Mungkin, aku dan adik beradik tidak dapat mengecapi apa yang kami miliki hari ini jika mak tidak diceraikan oleh ayah dulu.

Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Terima dengan redha, berlapang dada dan bersangka baik dengan ujian Allah. Sabar memang tidak mudah, tapi reward yang akan diterima terasa amat manis berkat kesabaran.

Orang yang paling berjasa dalam kehidupan aku ini adalah mak aku.

Kesabaran, ketabahan, kerja keras dan usaha mak yang tak kenal erti penat lelah membanting tulang mencari rezeki untuk kami, menghantar kami ke sekolah, kolej & universiti, mendidik kami, melindungi dan menjaga kami.

Semangat dan nasihat dari mak yang tak henti-henti kepada kami, semua ini telah membuahkan hasil dan mak sekarang boleh menarik nafas lega dan boleh berehat. Sampai masa kami pulak yang menjaga mak.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *