Assalamualaikum… warga IIUM Confession. Aku Kekwa (bukan nama sebenar), berusia 30 tahun, seorang isteri yang cantik, ibu yang penyanyang dan pekerja yang berdedikasi. Semua tu pujian untuk diri sendiri sebab siapa lagi akan puji kita kan? Haha, ok just joking.
Sebenarnya aku cuma nak share kisah aku yang mungkin bagi banyak iktibar dan pengajaran untuk diri aku sendiri serta hikmah-hikmah yang aku dapat sepanjang perjalanan hidup aku sepanjang 5 tahun kebelakangan ini.
Jika lihat pada tajuk mungkin akan sedikit pelik, kerana aku ingat cerita tentang hikmah PKP/COVID-19 dalam hidup aku. Aku yakin setiap kita ada pengalaman yang berbeza sepanjang menempuh norma baharu ini.
Ada yang kehilangan kerja, ada yang dapat depression, jatuh bankrup dan sebagainya. Ya, aku melihat semua ini sebagai ujian dari Allah kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih.
Bagaimana pula kisah aku? Maaf kalau mukadimah tadi agak panjang. Sekarang aku akan cerita tentang kisah aku sebelum pandemik melanda dunia. Perkahwinan aku Alhamdulillah bahagia walaupun kami menempuh pelbagai cabaran sebelum berkahwin.
Aku dan suami sebenarnya menjalani kehidupan yang agak boros ketika itu. Bukan tujuan untuk berlagak sebab aku jarang menunjuk kehidupan aku di media sosial mahupun status whatsapp, etc. Tetapi lebih kepada kepuasan diri sendiri.
Komitmen bulanan kami suami isteri jika dicampurkan termasuk hutang rumah, kereta, personal loan, insurans, pengasuh anak, semuanya lebih kurang RM3000+ (masa itu). Itu tidak termasuk bil utiliti dan sebagainya.
Kalau ikutkan jumlah hutang itu tidaklah sebanyak golongan kayangan kerana gaji aku dan suami jika dikira pendapatan isi rumah hanya golongan M40.
Aku dan suami memang kerap keluar berjalan pantang off day. Kami akan tinggal anak (sorang saja) kepada pengasuh atau kadang-kadang akan bawa dia juga. Kami suka keluar pergi mall, ataupun pergi mencari makan sedap-sedap yang pastinya mahal.
Kalau orang lain mungkin sebulan sekali makan sedap bila gaji, tapi kami seminggu sekali. Pergi tengok wayang, karaoke, shopping, semua tu dibuat setiap minggu atau lebih kerap.
Of course bila kerap keluar akan banyak duit yang keluar. Serius, duit keluar macam air dan aku tak rasa bersalah.
Malah aku jarang masak, mungkin sebulan sekali saja dan kami hanya makan beli. Iyelah aku kerja, bila balik aku terus rehat dan jaga anak saja. Hari off nak masak pun dah selalu keluar kan.
Aku bersyukur sebab suami aku memang suka bawa aku keluar, sebab aku dengar luahan dari kenalan aku yang tertekan sebab suami yang tidak suka berjalan. Alasannya buang masa, buang duit etc.
Of course kawan aku sangat-sangat stress sebab asyik berkurung saja. Tapi aku tak judge sebab setiap manusia tak sama.
Aku masa tu happy sangat sebab suami aku pantang off mesti awal pagi dah tanya aku, “Yang, nak pergi mana hari ni?”. Pastilah aku sebagai isteri akan melompat suka.
Suami aku tak ada hobi yang bagi aku orang perempuan tak suka seperti melepak dengan kawan, merokok, minat ‘make up’ kereta atau motor ke, tak ada. Suami aku memang kalau masa free dia lebih suka bawa aku dating atau bawa anak jalan-jalan.
Walaupun hati aku seronok, tapi bila hujung bulan mesti kami akan sesak. Apa yang berlaku pada waktu itu, kami langsung tiada simpanan wang tunai.
Aku cuma ada barang kemas itupun tak banyak dalam anggaran harga RM16K. Aku tak pernah gadai barang kemas aku sebab aku sayang dan belum sampai belum betul-betul terdesak.
Tapi, kami pernah sampai tukar duit siling di kedai dan dapatlah RM60 macam tu untuk belanja lagi dua tiga hari nak gaji.
Bayangkan masa tu suami dah umur 30 lebih dan dia tak ada simpanan, termasuklah aku. Kalau kami dapat bonus tahunan atau duit claim mesti akan guna untuk pergi melancong. Yes, hidup kami memang happy.
Kemudian, musim pandemik tiba. Aku dan suami tetap kena bertugas malah tugas kami jadi lebih berganda-ganda.
Masa itu, cuti pun dibekukan, nak pergi mana tak boleh. Semua sektor ditutup melainkan assential. Aku yang kaki wayang, kaki spa, kaki shopping mestilah terus terhenti semua aktiviti aku.
Kerja pun amatlah penat sampai hari off betul-betul kena rehat saja. Lepas tu, kami berdua dapat moratorium, aku happy gila bila dapat simpan setiap bulan dengan banyak. Sedar-sedar selepas 6 bulan aku berjaya simpan 15k macam tu.
Dengan tak pergi berjalan mana, dan aku dah tak ada hati nak shopping, untuk apa kan bukan boleh berjalan.
Aku tiba-tiba jadi sangat jimat orangnya bila aku dapat pegang duit. Betul orang kata bila ada duit kita jadi sayang. Hikmah PKP ini bila hampir dua tahun aku berjaya simpan 35k.
Ya, daripada zero. Aku jadi sangat kedekut nak berbelanja dan aku berjaya jadi orang yang sangat pandai uruskan kewangan. Dulu nak tunggu gaji sangatlah semput, sekarang Alhamdulillah aku kadang-kadang tak sedar rupanya dah gaji.
Aku dan suami dah jarang sangat makan sedap, walaupun masih beli diluar. Aku bersyukur PKP ni buat hidup keluarga aku berubah.
Tapi, aku tak lupa untuk hulur kepada yang memerlukan. Aku dah tak kedekut nak bagi hadiah atau duit kat adik beradik aku, jika dulu memang aku kedekut sebab cukup-cukup makan sahaja.
Nasihat aku yang tidak seberapa ini kepada wanita-wanita diluar sana, hiduplah ikut kemampuan dan jauhilah sikap boros. Kita tak tahu apa akan jadi di masa hadapan.
Aku belajar banyak dari kesilapan lalu, sekarang aku hanya pilih keperluan dan ketepikan kehendak yang luar kemampuan atau boleh jadi pembaziran.
Sekian cerita aku, terima kasih sebab sudi luangkan masa untuk baca. Aku minta maaf kalau cerita aku berlawanan arus dari orang-orang yang tidak bernasib baik disebabkan pandemik ini.
Aku doakan mereka ini sabar dan terus berjuang. Bagi golongan yang tidak terjejas seperti pekerja sektor awam, bantulah mereka yang memerlukan dengan apa yang kita mampu. Terima kasih.
– Kekwa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit