Hikmah Teguran Allah

Assalamualaikum admin dan para pembaca IIUM Confessions sekalian. Harap semuanya sihat selalu.

Sebelum kita pergi jauh, izinkan aku kenalkan diri dahulu. Nama aku Nina (semestinya bukan nama sebenar) berumur awal 30 an tahun.

Aku seorang suri rumah tangga sepenuh masa dan telah pun dikurniakan seorang cahaya mata penyeri keluarga, Syifa.

Aku yakin ada yang mengenali aku, but that’s okay. Semoga tulisan aku sedikit sebanyak memberi pengajaran buat para pembaca.

Kisahnya bermula apabila aku memulakan bisnes hamper baby secara kecil-kecilan di saat Syifa dah mula boleh merangkak dan berdiri.

Sebagai seorang suri rumah yang membesarkan anak sendiri, memang tak kurang penatnya dari seorang ibu yang bekerja.

Ditambah pulak bisnes online yang aku baru saja mula 2,3 bulan yang lepas alhamdulillah semakin banyak order yang masuk. Aku jadi sedikit huru hara dengan rutin harian aku.

Bermula dari bangun subuh, sampai pukul 12 malam, ada saja benda yang aku buat. Uruskan rumah, pokok-pokok kat luar, siapkan anak, makan minum, main, dan bila Syifa tidur, aku sambung buat order orang.

Bila Syifa bangun, aku akan stop buat kerja dan bagi sepenuh perhatian dekat dia. Bila dia tidur balik, aku sambung balik kerja aku.

Begitulah urusan aku sampai lah tengah malam dan aku pun tidur.

Aku repeat benda yang sama setiap hari sampaikan aku dah mula penat. Diri aku dah rupa macam jembalang, rambut kembang, aku pun kembang, dengan mandi sehari sekali, nak tidur tengah malam pulak baru aku sempat mandi lagi sekali.

Aku jadi terlampau penat. Husband pulak agak kerap keluar memancing atau badminton. Jadi, syaitan mula mainkan peranan.

Dah kenapa aku yang bersusah payah jaga anak sorang diri sedangkan parenting tu ada “ayah” DAN “ibu”?? Kenapa aku kena bersengkang mata untuk cari duit sedangkan yang meminta untuk beli rokok dan memancing?? Aku mula memberontak.

Memberontak sampai aku lupa walaupun suami selalu keluar, dia masih jaga makan minum aku, dia tolong jugak kemaskan dapur bila aku tak sempat. Dia yang bangun tengah malam susukan anak.

Nafkah bulanan dia tak pernah cula walaupun tengah bulan dia dah kering dan dari nafkah tu jugak lah penyelamat kami sebelum gaji bulan depan masuk. Banyak sebenarnya jasa dia. Cuma bagi aku masih belum cukup.

Kerap kali aku tarik muka dengan suami, kadang-kadang sampai berhari-hari walaupun berhari-hari jugak suami pujuk. Aku cemburu dengan hobi dia. Aku cemburu dengan masa yang dia ada. Aku cemburu.

Benda ne jadi berulang-ulang kali sampai lah satu hari, kawan dia dah datang nak jemput dia, dan aku meletup. Nada suara aku mula meninggi melepaskan segala amarah yang terpendam dalam hati.

Aku cakap kat suami aku, “mulai harini, abang uruskan anak, abang mandikan Syifa, basuh berak dia, masak dan suapkan makanan kat dia, main dengan dia, susukan dia dan biar saya yang cari nafkah”.

Dan aku terus masuk toilet dan mandi. Yang tau saja tau apa yang berlaku dalam tu sebenarnya.

Suami cuma diam langsung tak menjawab. Dan keesokkannya, aku demam.

Bila malam menjelang, demam aku semakin tinggi dan suami lah yang uruskan anak dan aku malam tu. Tengah malam aku lapar, dia yang masakkan bubur nasi untuk aku walaupun dah hampir pukul 2 pagi.

Dia dah siap susukan anak, dan siapkan tempat tidur aku kat luar dan dia masuk dalam bilik tutup pintu. Sayu gila hati aku time tu, dah la demam teruk, kena tidur sorang-sorang kat luar. Lepas beberapa minit, suami aku keluar dari bilik dengan bantal dan toto ditangan.

Rupanya.. Dia nak tidur luar temankan aku. Allahuakbar.. Buruknya sangka aku kat suami selama ne. Malam pun berlalu.

Esoknya, aku mintak tolong suami belikan 2 test kit Covid kat farmasi. Saja. Walaupun aku hanya duduk kat rumah dengan anak, dan tak keluar mana, sekadar nak check supaya worst case happen, kita dah tak sebarkan kat orang lain. Dan bila dah beli, aku pun try.

Subhanallahhh, aku positive! Maka laju mana air mata yang turun, selaju itulah kepala ligat mengatur process self quarantine.

Husband aku pon check, tapi dia negative. Jadinya dia lah yang akan uruskan rumah dan anak nanti. Mungkin inilah masa Tuhan izinkan aku untuk berehat seketika.

Mungkin inilah masa untuk Tuhan benarkan suami untuk rasa apa yang aku rasa. Itulah yang terlintas dihati aku.

Seolah-olah kepenatan aku sebelum ne hanyalah dari bebanan yang terpaksa aku galas sendiri bukannya dari tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

Petang tu aku terus pergi buat RTK swab test di hospital swasta dan dalam masa sejam, aku dapat call mengesahkan aku positive covid.

Keesokkannya aku pergi Covid Assessment Centre untuk dipakaikan gelang pink. Aku mintak suami dan anak pun pergi hospital untuk swab test jugak sekadar untuk kepastian.

Dan disinilah teguran dari Tuhan.

Anak aku yang berusia 7bulan, disahkan positive covid 19.

Jatuh tersungkur kami berdua waktu tu. Rebah, tak terkata. Anak yang selalu tersenyum, yang selalu buat kami ketawa, yang menjadi pengikat hati kami saat-saat kami hampir putus asa, dan Tuhan pilih dia untuk menjadi harga kepada perasaan tak bersyukur aku.

Ya Rahman, Ya Rahim. Aku akur Ya Allah dengan segala keegoan aku Ya Allah. Kau hukumlah jasadku, Ya Allah. Kau ambillah segala yang ada pada tubuh hamba Mu ini Ya Allah.

Janganlah Kau jadikan anak ini sebagai bayaran atas kebodohan ku Ya Allah. Kau ampunilah dosa ku Ya Allah. Kau jauhkan segala musibah dari anakku, ayah dan ibu ku, Ya Allah.

Pada malam hari yang sama, badan Syifa semakin panas dan semakin panas. Aku keep on tuam badan Syifa dengan air dari malam sampai ke pagi esok hari dan kami dua beranak bersiap untuk CAC.

Sesampainya aku di CAC, nurse kata suhu Syifa 38.7ยฐ, tinggi sangat sampai dia suruh mandikan Syifa sekali lagi di tandas berdekatan dan kami di wadkan di hospital kanak-kanak satu malam.

Teguran ne buatkan aku kuat sekuat-kuatnya untuk jaga Syifa walaupun aku sendiri masih belum sihat. Cukup lah sekali. Aku masih trauma. Aku tak rela biarkan baby aku tanggung segala dosa dan keterlanjuran emosi aku. Cukuplah sekali Tuhan tegur aku.

Merasa penat mengurus rumah dan anak itu normal. Tapi jangan pernah anggap anak-anak adalah beban dalam hidup kita. Yang penat hanyalah tanggungjawab dalam membesarkan seorang umat Islam, bukan penat kerana terpaksa mengasuh anak.

Kami berdua masih lagi quarantine dirumah, dan masih lagi agak letih dan lemau. Mohon semua pembaca doakan kesembuhan kami ya.

Terima kasih.

– Syifa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini ->ย https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *