Hikmah Yang Sangat Cantik

Baru-baru ni aku ada terbaca mengenai satu artikel di mana penulis merasa kecewa orang yang dicintanya mengahwini orang lain. Ada 2 artikel ditulis mengenai perasaannya. Aku tak ingat tajuk apa aku hanya sekadar baca dan terus skroll ke bawah. Baiklah, aku nak share pulak peristiwa 5 tahun yang lepas peristiwa yang aku alami. Sama jugak peristiwa confessor tersebut cuma aku mula nampak hikmahnya selepas aku redha.

5 tahun yang lepas, semasa aku belajar di ipta. aku berkenalan dengan seorang lelaki. Waktu tu aku sem terakhir sebelum aku habis pengajian. Aku terpikat dengan lelaki tersebut kerana suka dengan sikapnya yang melayan ibunya. Dia melayan ibunya sangat baik. Aku ketika itu mula berangan kalau lah aku dapat memilikinya sudah tentu aku juga dilayan sebegitu rupa. Siapa tak nak kan kalau kau dilayan baik oleh suami sendiri. Itulah impian semua wanita termasuk aku lah ketika itu.

Ternyata, cinta aku juga tidak bertepuk sebelah tangan, dimana dia juga menaruh perasaan juga kepada aku. Waktu tu aku rasa hidup ni memang bahagia tiada duka nestapa. Setiap masa dan ketika aku rasa terisi dengan kegembiraan tanpa had bersama si dia. Si dia juga menyuarakan isi hatinya untuk bertemu dengan ibu bapaku di kampung. Lagilah aku melompat kegembiraan, lebih lebih lagi aku dah pun habis pengajian ketika tu. Tinggal nak tunggu konvo je. Kerja pun masih mencari, tapi dah pun dilamar oleh putera impian hati. Ibu bapa ku juga mengharap agar perhubungan ini diakhiri dengan baik memandangkan aku satu-satunya anak perempuan tunggal mereka dan si Dia juga pandai mengambil hati ibu bapaku setelah mereka berjumpa. Aku tidak pernah berjumpa dengan keluarganya lagi, cuma melihat dari gaya dia bercakap dengan ibunya, serta kebanyakan gambar gambar yang dia post dalam fb juga bersama ibunya.

Namun, setelah 2 bulan, aku lihat si Dia mula menjauhkan diri. Aku tidak pasti kenapa. Call dan sms tidak berjawab.. namun aku lihat fb nya sangat aktif. Aku malu nak komen di setiap gambar yang diuploadnya memandangkan aku masih lagi belum mengenali ibu bapanya ( dia pernah ajak berjumpa namun aku masih lagi belum bersedia). Kebanyakan gambar-gambar yang diuploadnya di fb sentiasa di komen oleh adik beradiknya. Aku tak mahu nampak terlalu menonjol, jadi aku biarkan sahaja. Aku hanya like dengan harapan dia masih lagi menyedari kewujudan aku di sini. memandangkan kini aku berada di kampung dan dia berada di KL, aku tetap mengingatinya dan menunggunya tanpa sebarang lelah,

Suatu hari, ada satu post naik di news feed aku. Aku melihat sepupunya upload gambar si Dia bertunang dengan gadis senegeri dengannya. Hancur luluh hati aku melihat gambar bahagia si dengan wanita itu. Gambar tersebut menunjukkan kedua-dua bakal pengantin tersebut gembira dengan hari bahagia mereka. Aku mula call si Dia untuk meminta kepastian tapi setiap panggilan tidak berjawab. Malah diblocknya panggilan aku agar tidak menganggunya.

Aku kecewa sangat ketika itu. Aku rasa down sangat. Aku mulai rasa depression di mana aku tidak ada selera makan langsung. Pola tidur aku juga berubah. Aku tidak boleh tidur selama 3 hari. Fikiranku mula tidak stabil. Mata aku jangan cakap lah memang bengkak sebab menangis seharian. Aku masih lagi teringat aku menceritakan kesedihan aku pada ibu bapaku sambil menangis teresak. Mujur ibu ku faham dan tidak bertanyakan lagi soalan mengenai si Dia.

Aku mula mempertikaikan kerja Tuhan mengapa aku tidak ditakdirkan bersama si Dia ( Ya, ini aku mengaku memang salah. Aku tak sepatutnya berfikir sebegini.) Aku mulai tidak solat dan membaca Al Quran seperti kebiasaan. Namun, segalanya berubah apabila aku melihat satu video di youtube. Kata-kata di dalam video tersebut benar-benar mencuit hati aku. Aku terus solat sunat taubat dan memohon keampunan atas kesilapan aku. Aku tahu Allah benar-benar menyayangi aku, sebab itulah Dia menguji aku dengan ujian seberat ini.

Akhirnya aku move on. Aku mula mendekati Allah. Aku mula memperbaiki amalan-amalan wajib dan menambah amalan-amalan sunat. Aku sentiasa berdoa agar diberikan kebahagiaan di kemudian hari. Aku juga berdoa agar Allah tunjukkan hikmah di sebalik ujian semua ini. Bersungguh-sungguh aku berdoa ketika itu sambil menangis. Aku berharap agar tangisan sayu dan sedih ini akan berubah menjadi tangisan kegembiraan dan kebahagiaan satu hari nanti. Aku yakin segala perancangan Allah sangat cantik,cuma kita je tak tahu dan tidak nampak semua itu.

Dan selepas itu, aku memang cuba melupakan dirinya. Tiga tahun selepas itu, aku mendapat pekerjaan di sebuah badan kerajaan dan di situ aku mula berkenalan dengan suami aku sekarang. Pada mulanya kami berkawan biasa dan akhirnya dia meluahkan perasaan untuk berkahwin dengan aku. Aku pada mulanya trauma dengan kejadian yang lepas, mohon untuk diberikan masa untuk berfikir. Bagi aku perkahwinan ini bukan sekadar mainan, ianya memerlukan komitmen di kedua-dua belah pihak, Aku sebenarnya mengharapkan si dia kembali pada aku semula, namun aku tahu perkara itu sangat mustahil memandangkan si dia sudah pun berkahwin dan ada anak seorang. Jadi, aku setuju untuk berkahwin dengan suami aku sekarang. Aku juga berterus terang dengannya berikan aku masa untuk mencintainya memandangkan hati aku kosong untuk sesiapa sekarang. Nampaknya suami aku faham dan dia berjanji akan cuba untuk mengambil hati aku. Alhamdulillah, akhirnya kami berkahwin.

Suatu hari, aku pergi melawat sahabatku di hospital. Sahabat aku ditempatkan di bilik yang mempunyai 2 katil. Ketika melawatnya, aku terlihat patient di katil sebelah. Aku terlihat seolah-olah ada seseorang yang aku kenal. Aku melihat si dia terlantar di atas katil ditemani oleh isterinya. Si dia kelihatan sedang tidur. Hati aku benar-benar ingin tahu apa yang berlaku. Lalu menegur si isteri. Isterinya juga seorang yang ramah. Aku tahu isterinya tidak mengenali aku dan mungkin juga tidak tahu kewujudan aku dalam hidup suaminya.

Selepas bersembang dengan isterinya, aku mohon untuk pulang. sepanjang perjalanan pulang, aku terfikir sesuatu. Betapa besar dan cantiknya perjalanan yang Allah aturkan dalam kehidupan aku. Rupa-rupanya si Dia mempunyai penyakit jantung. Penyakit tersebut memerlukan penjagaan yang rapi oleh ahli keluarga terutamanya si isteri dan semakin teruk selepas 3 tahun. Allah tahu aku mungkin tidak mampu untuk menjaganya, jadi Dia memberikan orang yang lain yang terbaik untuk menjaga si dia. Ternyata wanita isterinya adalah wanita yang terbaik yang dipilih oleh Allah untuk menjaga dia. Ya, dia adalah wanita yang kuat kerana setiap kali suaminya rebah, dialah yang menemani suaminya di hospital.
Dari perbualan kami tadi, aku dapat lihat rasa cinta yang mendalam terhadap suaminya walaupun diuji dengan ujian sebegitu. Kalau aku berada di tempatnya, aku tidak pasti adakah aku akan menjadi sekuat dirinya.

Aku??? Ya, Allah memberikan aku lelaki dan suami yang terbaik buat aku. Lelaki yang mencintai dan menyayangi aku. lelaki yang boleh menjadikan pelindung buat diri aku. Ternyata setiap perkara yang berlaku sememangnya ada hikmah. Sama ada kita membuka mata atau tidak dengan hikmah tersebut. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana Allah memberikan petunjuk dan hikmah di atas segala yang berlaku.

Oleh itu, kepada mereka di luar sana yang sedang menghadapi ujian. Baliklah kepada fitrah. Minta pertolongan dari Allah yang memberikan pertolongan kepada hambaNya. Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersebunyi. Kita merancang, namun kita jangan lupa Allah Taala juga merancang setiap detik kehidupan kita. Minta pertolongan dariNya dengan menunjukkan yang mana terbaik dalam kehidupan kita.

Bagi mereka yang pernah kecewa atas cinta kesampaian, ingatlah. Tidak semestinya pasangan kamu itu yang terbaik. Move on dan teruskanlah kehidupan kamu. Doalah semoga kamu dipertemukan dengan pasangan yang benar-benar ikhlas dan menerima kamu seadanya. Biarlah pasangan itu pasangan yang terbaik yang bukan sahaja menjadi peneman dalam hidup kamu sehingga ke akhir hayat, malah peneman kamu di syurga.

– Mawar Kasturi

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *