Hilang Bahagia

Assalammualaikum para pembaca dan admin IIUM Confession.

Maaf saya menumpang untuk mencoretkan luahan hati saya. Saya masih shocked, dan terkedu. Saya rasa lemah, hilang seluruh rasa dalam hidup.

Saya dan suami dalam proses bercerai. Tapi kami masih sebumbung. Bukan tentang suami yang saya resahkan tetapi sikap keluarga saya.

Bulan yang lalu, ada sedikit perselisihan faham dengan adik beradik yang lain.

Ketika itu baru saya tahu mereka tidak gembira saya bercerai-berai dan menganggap saya akan menyusahkan ibubapa yang sudah tua.

Saya sudah digantung tidak bertali selama empat tahun. Tidak bertegur sapa, tidak diberi nafkah, tidak dilayan sebagai isteri.

Dengan keluarga sayalah saya memohon simpati. Tidak saya sangka mereka menganggap saya bakal bercerai dan menyusahkan ibubapa nanti.

Untuk pengetahuan semua, saya bekerja dan tinggal jauh dari keluarga. Adik beradik lain semua tinggal berdekatan atau masih serumah dengan ibubapa saya.

Saya mulai jauhkan diri daripada berbual di Whatsapp keluarga. Cuma balas bila perlu.

Saya sendiri dalam keadaan tertekan dengan masalah rumahtangga tetapi saya tidak sangka dengan saya berdiam diri, ibu saya mula berprasangka buruk terhadap saya.

Ibu mengatakan saya tidak lagi menghormatinya dan saya tidak diperlukan lagi dalam kehidupan mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan, apakah perasaan anda sekiranya ibu anda menyisihkan anda hanya kerana berpihak kepada adik beradik yang lain?

Di usia 20 tahun saya terpaksa keluar rumah kerana memberi peluang kakak dan suaminya serta anak-anak tinggal bersama ibubapa.

Saya belum berkahwin ketika itu, masih belajar dan terpaksa menggunakan pinjaman PTPTN untuk membayar sewa pada tahun terakhir saya belajar.

Saya berkenalan dengan suami ketika menjalani latihan praktikal dan usai latihan praktikal, saya menikah.

Saya berkorban untuk kakak, malah saya ada bersamanya ketika bekas abang ipar meninggalkannya dan anak-anak.

Saya terkilan mereka memburukkan saya kepada ibu sampai ibu merasakan saya seorang anak yang tidak kenang budi.

Saya cuba hubungi ibu, ibu sekat panggilan dan segala macam media sosialnya daripada saya.

Saya minta tolong adik untuk bantu saya jelaskan tapi adik menyatakan dia tak mahu membantah cakap ibu. Saya terkedu!

Ibu sisihkan saya! Ibu buang saya tanpa mendengar penjelasan saya.

Jika saya bercerai, saya tidak sesekali akan pulang tinggal bersama mereka. Saya cuma memohon mereka beri simpati, beri sokongan tetapi malangnya saya dicemuh.

Kak Ngah yang paling beria mencemuh saya menyusahkan ibubapa sedangkan dia dahulu berkerjaya dengan gaji besar memilih untuk tinggal bersama ibubapa kami supaya tidak perlu mengupah pengasuh atau pembantu rumah.

Saya tertekan. Saya rasa tidak berguna dalam hidup bila ibu memilih untuk menyisihkan saya. Saya tertanya apakah kehidupan saya akan berjalan baik tanpa doa restu seorang ibu?

Apakah Tuhan akan memberikan rezeki yang baik kepada saya walaupun saya digelar anak tidak kenang budi?

Apakah seorang ibu tiada dosa kepada anak? Melalui pembacaan, saya kira sebagai anak saya perlu beralah. Saya mengalah.

Saya mohon maaf pada ibu tetapi ibu malah mempersenda saya dan menjadikan saya bahan dalam status Whatsapp yang dikirim oleh sepupu.

Hampir semua saudara mara tau ibu menyisihkan saya. Saya malu. Saya menangis semahunya sampai anak-anak tertanya kenapa.

Entah apa yang mereka fikir? Mungkinkah mereka fikir saya cuma mahu pulang ke rumah dan mengambil alih tempat Kak Ngah sedangkan saya sendiri mempunyai tempat tinggal dan saya selesa di sini.

Sedikit pun tak pernah saya culas menghulur sebahagian gaji saya untuk keluarga saya walaupun adik beradik lain lebih berkemampuan.

Saya tidak meminta dari mereka kerana gaji saya sudah cukup walaupun tidak banyak. Saya cuma perlukan simpati dan sokongan lebih-lebih lagi saya mengharungi semua masalah di sini seorang diri.

Sedih bila dibuang, bukan setakat adik beradik tapi ibu sendiri. Abah cuma berdiam tanpa kata. Saya sedih kerana saay bukan hanya kehilangan seorang suami, malah saya bakal hilang keluarga saya.

Orang kata jangan duduk serumah dengan keluarga bila dah berkahwin. Malangnya saya yang jauh dari mata pun dibuat musuh. Macam mana saya nak bahagia tanpa ibu?

– Lily (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *