Hilang Tempat Bercerita

Assalamualaikum, aku Maria seorang surirumah juga freelancer dan ada seorang anak berusia setahun. Aku ada sedikit luahan berkaitan dengan suami.

Kami kenal di tempat kerja dan pangkatnya jauh lebih tinggi dari aku. Kadang-kadang aku berfikir berpuluh kali untuk post sebab berdasarkan post-post yang berada di IIUM Confession ni selalunya mesti akan ada komen “dah itu yang kau pilih so hadap je lah”. Apa pun aku sekadar berkongsi.

Aku tahu manusia boleh berubah ataupun itu memang perilaku sebenar yang belum ditunjukkan. Banyak benda yang mengganggu fikiran dan emosi aku cuma yang satu ni je aku ingin kongsikan.

Dulu sewaktu mengenali suami kami boleh je berkongsi pelbagai cerita. Mungkin waktu tu ceritanya tak terlalu berat ataupun banyak berlapik dan bertapis.

Tapi selepas berkahwin dan semakin banyak berkongsi aku mula sedar suami aku seorang yang berfikiran negatif dalam pelbagai perkara.

Walaupun aku dah cuba untuk bagi suami berfikiran positif dan bersangka baik, suami menganggap aku tidak menyokongnya.

Suami pula jenis yang tak peduli apa orang akan fikir dan kata. Tapi aku peduli. Aku taknak orang nampak suami aku buruk terutamanya keluarga aku.

Suami seorang yang racist. Ada masalah berkaitan dengan berlainan bangsa ataupun negeri lain terutama negeri yang mempunyai dialek yang sangat pekat.

Walaupun aku dah jelaskan kepada suami apa-apa yang terjadi tu atas sikap individu tu sendiri tak kira bangsa atau negeri tapi suami tak terima apa yang aku cakap.

Kadang-kadang aku sekadar nak borak santai je dengan suami. Suami pula suka bercerita tentang politik. Walaupun aku ambil tahu tentang politik tapi aku tak suka berborak dengan suami tentang ni sebab suami terlalu taksub.

Salah satunya pernah sekali kami bersembang dalam kereta tentang beli rumah tapi suami kaitkan dengan politik.

Suami cakap tentang bagaimana Singapura boleh maju dan kaya tapi Malaysia tak boleh. Waktu tu dalam fikiran aku “kau nak uruskan keluarga pun tak betul lagi apatah lagi negara”.

Tapi waktu tu aku cuma mampu jawab Singapura tu kecil senang nak urus. Tapi suami keluarkan pula jawapan lain dengan nada yang makin tinggi dan membuatkan situasi jadi tegang. Akhirnya aku terus diam dan kami tak bercakap sepanjang perjalanan.

Baru-baru ni kan isu aktivis kita pergi ke Gaza untuk misi Sumud Flotilla tu jadinya aku memang mengikuti update setiap masa siang dan malam. Suami tahu yang aku sampai tak cukup tidur demi mengikuti kes ini. Aku yang sampaikan semua info pada suami.

Semalam suami tiba-tiba cakap dekat aku yang dia ada sedikit pandangan tentang misi ni. Katanya sebenarnya dia tak setuju pun dengan misi ni sebab bila semua dah ditahan nanti negara kita terpaksa bagi sesuatu dekat Isnotreal sebagai pertukaran. Maksudnya merugikan negara lah.

Aku pun terus memintas suami cakap dan suami terus membalas yang dia tak perlukan komen dari aku pun. Dia hanya nak aku dengar pandangan dia je.

Aku pun jawab semula dekat suami, kalau dia boleh bagi pandangan, aku pun nak juga bagi pandangan takkan dia sorang je boleh.

Aku pun terus cakap, apa yang dia fikir tu semua mesti menteri pun dah fikir awal-awal. Tapi tu tugas diorang bukan tugas kita. Kita yang orang biasa tugas kita hanyalah memikirkan tentang kemanusian je.

Cuba bayangkan kalau negara kita jadi benda sama tapi negara lain semua taknak hantar bantuan sebab masing-masing fikirkan negara sendiri je. Lepas tu suami terus senyap dan kami terus tak bercakap.

Entahlah. Kalau diikutkan aku dengan suami dah kurang bercerita sebenarnya sebab setiap kali bercerita penghujungnya bukan sesuatu yang baik. Kadang bila suami cerita apa-apa benda aku cuma jawab apa yang perlu je atau aku hanya iakan sahaja supaya tak jadi lebih serius.

Untuk aku yang hanya duduk dekat rumah ni kawan borak yang aku ada hanyalah suami tapi yang menyedihkan terlalu sukar bila setiap cerita akan jadi serius dan situasi menjadi tegang.

Pernah aku suarakan benda ni. Tapi suami pernah cakap dia suka bersembang dengan orang yang berbeza pendapat supaya dia dapat benda baru tapi kalau perbezaan tu dia tak boleh terima dan menjadikan perbalahan buat apa kan.

Mungkin dia lebih sesuai bertukar pandangan dengan kawan-kawan kerja terutamanya hal politik.

Apa yang aku tahu hampir setiap topik yang kami bualkan sukar untuk kami sependapat. Entah siapa sebenarnya yang positif atau negatif. Ataupun siapa yang naif dan siapa yang lebih rasional. Tapi yang pasti aku dah hilang tempat untuk bercerita.

– Maria (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *