Terima kasih kepada admin sekiranya penulisan ini tersiar.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca yang sudi membaca luahan ini. Diharapnya sudi meninggalkan komen yang murni supaya dapat membantu aku menangani masalah ini.
Ini merupakan luahan terhadap mentaliti masyarakat terhadap golongan yang menyewa berbanding mempunyai aset (rumah) sendiri dan asbab perkara ni boleh terjadi.
Sebelum itu, aku cerita alasan tidak mempunyai aset sehingga kini.
Sejak dulu, abah aku memang berniat nak membeli rumah yang selesa untuk keluarga. Tapi sayangnya, nama telah disenarai hitam oleh pihak bank atas sebab peribadi. Dengan keadaan itu, sampailah sekarang abah aku tidak berjaya membeli rumah.
Sebagai manusia, pastilah kita akan mencari ikhtiar lain untuk teruskan juga niat yang mulia, lalu abah aku pernah usulkan untuk membeli rumah menggunakan nama adiknya. Hanyalah nama, sebagai penjamin. Dan peruntukan semua telah disediakan oleh abah.
Tapi sayangnya, keluarga juga enggan menolong. Dikhuatiri akan mencemar nama nya untuk jangka masa panjang. Itu juga tak boleh dipersalahkan sebab setiap manusia pasti ada ‘trust issue’ walaupun dengan abang yang dah menolong mereka sejak dulu. Bukanlah niat nak mengungkit tapi dah terlalu banyak pengorbanan dilakukan abah demi adik-adiknya.
Sebagai anak sulung, dia telah korbankan pelajaran dan bekerja di usia yang sangat muda. Bantu keluarga dan adik adik baik dalam pelajaran, wang belanja di universiti termasuklah juga perkahwinan. Ya, abah terpaksa gadai berbagai benda walaupun untuk majlis kahwin adik. Bagi aku sebagai anak yang mendengar luahan abah ni akan rasa marah terhadap sikap makcik pakcik yang tak mengenang budi dan pentingkan diri sendiri.
Tapi percayalah bahawa setiap perkara yang kita buat akan ada kifarahnya. Sebagai contoh, mereka (pakcik makcik) hidup dalam serba kekurangan walaupun gaji besar. Tak perlulah nak dihurai apa kesusahannya tapi cukuplah sekadar seperti tak diredhai.
Jadi abah sentiasa nasihat jangan menyimpan dendam terhadap mereka sebab nasib keluarga kita macam ni.
Jadi dari aku kecil sampai lah dah 20-an ni kami memang menyewa. Tapi abah ni memang jenis susah nak berpindah. Jadi kami dah menetap di rumah yang sama selama hampir 18 tahun. Pernah juga diusul oleh abah untuk jadikan kontrak sewa-beli tapi ditolak mentah oleh tuan rumah. Rumah sewa ni pun dah seperti rumah sendiri, kami jaga elok, baiki dan tambah baik supaya sentiasa selesa.
Sehinggalah tahun ini, tuan rumah kabarkan yang dia ingin tinggal dirumah ini selepas dia bersara. Sejak tu abah selalu tertekan dan dia ada tekanan darah tinggi tapi masih boleh dikawal dengan makan ubat setiap hari.
Memang ada niat untuk membeli rumah, sejak abang aku kerja. Abah mengharapkan dia akan membeli rumah. Tapi dia baru saja ada kerja tetap dan masih belum mampu nak ambil loan dengan harga pasaran rumah sekarang. Tambah pula dengan komitmen lain seperti kereta. Gaji dia pun tidaklah banyak, dan dengan duit itu jugalah tolong keluarga.
Jadi aku sebagai anak, cuba ikhtiar cari rumah sewa lain. Dan setelah 2 bulan dapat rumah selepas tengok beberapa rumah dan contact ramai agent dan owner rumah. Kami akan berpindah 2 bulan awal sebelum deadline tuan rumah minta berpindah.
Jadi bermula pula dengan kisah jiran-jiran yang suka nak sibuk hal keluarga aku. Mak aku jenis yang pendiam dan tak reti melawan. Jadi jiran ni sukanya memperlekehkan status keluarga kami yang hanya menyewa ini. Dan yang paling teruk, seorang makcik bawang ni dah sebarkan berita kami perlu berpindah hampir ke satu taman.
Mak aku merupakan tukang jahit juga. Jadi ramailah yang mengenali mak. Tambahlah pula dengan jiran jiran yang tiba tiba mahu ambil baju mereka walaupun tak siap atas alasan mak aku nak berpindah. Walhal kami berpindah dekat saja, dan mak aku juga akan hantar hasil jahitan jika mereka tak dapat nak datang ambil di rumah baru.
Bagi aku, perkara ni dah mengaibkan nama mak dan abah aku. Gara gara kerana seorang sahaja yang jadi penyebar. Selama berjiran memang banyak dah perkara yang dia buat dah memalukan dan menghina mak. Seolah olah kami ni merempat. Kami cuma masih belum mampu nak beli rumah untuk mak abah.
Makcik bawang ni juga kerap berkunjung ke rumah semata mata nak cakap mengenai kesusahan kami yang kena berpindah ni. Percayalah jika nak cerita setiap apa yang dia kata, luahan ni akan bertambah panjang.
Aku jadi tempat luahan mak pasal apa yang diperkatakan oleh makcik ni. Bukan setakat hal rumah, hal lain lain pun sibuk nak jaga urusan orang. Seolahnya keluarga dia sentiasa sempurna dan takkan ditimpa musibah. Bila aku rasa berdendam, dan setiap kali rasa seperti nak marah pada dia. Tapi aku fikir Tuhan itu ada. Sampai masa dia akan merasa.
Aku dah nekad, sampai waktunya aku akan belikan aset untuk mak abah. Tambah pula abah pun selalu cakap, bila dah mampu beli rumah, jangan jadi abah menyewa sehingga tua. Kalau masih ada umur abah, abah minta ‘tumpang’ dulu rumah aku. Selama ni tak pernah aku rasa kurang pun apa yang abah mak sediakan untuk kami.
– Yang berusaha
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit