Terima kasih admin IIUM Confession atas penyiaran sekelumit luahan insan kecil ini.
Aku coretkan kisah ini bukan sekadar kenangan, tetapi juga sebagai penguat semangat buat rakan-rakan senasib yang masih mencari cahaya dalam kelam.
Setiap insan punya liku hidup yang berbeza, namun aku berharap agar kita, insan yang diuji dengan kekurangan penglihatan, tidak terlalu bersandar pada belas ihsan andai tubuh masih teguh, minda masih waras.
Di kala kudrat empat kerat masih mampu berdiri utuh, jangan dipersiakan mengemis simpati melangkah lurus. Aku tidak mahu kita terus dipandang sebagai beban, sebagai makhluk lemah yang sekadar menadah simpati dunia.
Keluarlah daripada ketakutan kerisauan bayangan sendiri kerana hakikatnya kita punya akal, daya, dan jiwa yang mampu membentuk kehidupan lebih bermakna.
Sebagai anak sulung dalam keluarga enam beradik, aku memang terbiasa berdikari. Ayah seorang penoreh getah, ibu suri rumah.
Dari kecil, aku pegang prinsip “buat sendiri selagi boleh, jangan menyusahkan orang lain.” Tidak ada abang atau kakak kandung untuk dijadikan tempat berpaut.
Aku membesar di kampung dan bersekolah rendah di sekolah arus perdana kerana ketika itu belum ada aliran pendidikan khas di tempatku.
Waktu di Tahun 4, rakan-rakan mula membuli—makanan dicuri, ejekan bertubi-tubi, dan hinaan seperti “buta tak guna” menjadi hal biasa. Guru pun ada yang tak ambil peduli, malah ada yang marah-marah bila aku lambat buat kerja.
Hanya dua orang guru yang sudi membacakan soalan peperiksaan untukku, dan hingga kini aku masih doakan kesejahteraan mereka. Guru lain? Biarlah diberi balasan setimpal atas kekejaman mereka terhadapku suatu Ketika dahulu.
Tertutupnya Pintu Sekolah Menengah
Tamat sekolah rendah, seorang guru mencadangkan aku ke sekolah menengah khas di bandar. Hati melonjak gembira, seolah melihat secebis harapan. Namun, harapan itu ranap sekelip mata. Keluargaku menolak.
Jauh katanya, tiada duit katanya, keselamatanku jadi alasan utama. Padahal, seorang guru sudah berusaha mendapatkan tajaan penuh untukku.
Aku terkurung di rumah, menyaksikan adik-beradik lain bersiap ke sekolah setiap pagi, sedang aku hanya mampu duduk di tangga, memandang dengan mata kosong, air mata mengalir tanpa henti.
Rinduku pada dunia pembelajaran membuak-buak. Dalam kekecewaan, aku hanya mampu memeluk baju sekolah menengah yang tidak pernah kugunakan, menjadikannya selimut membungkus penenang jiwa. Itulah caraku melepas rindu pada impian yang kian menjauh.
Aku mahu belajar mengaji, namun tiada siapa yang tahu bagaimana mengajar insan sepertiku. Seorang guru mengaji akhirnya tampil, mengajarku melalui kaedah dengar dan hafal.
Setiap hari, aku membantu kerja rumah meskipun sering disambut dengan keluhan dan sindiran. “Menyusahkan!” “Membebankan!” Kata-kata itu bagai pisau yang menghiris jiwaku, tetapi aku telan dengan redha.
Bangkit Melawan Takdir
Pada umur 19 tahun, sepupuku yang belajar dalam bidang pendidikan khas membuka mataku kepada teknologi.
Dia mengajar aku menggunakan telefon bersuara, radio USB, dan berkongsi info tentang pusat latihan kemahiran untuk OKU penglihatan selain menceritakan kisah pengalamannya bergaul dengan golongan OKU penglihatan yang berdikari di Kuala Lumpur.
Aku beranikan diri untuk mencuba, tapi seperti biasa, keluarga menentang. Mereka gelar aku “anak derhaka”, “tak bersyukur”, malah aku diugut dihalau keluar dari rumah. Hubungan kami dingin selama hampir sebulan, penuh dengan kata-kata hinaan.
Aku tiada pilihan. Aku nekad tinggalkan segalanya untuk berdikari. Dengan bantuan sepupuku, kami hantar borang ke pusat latihan. Kemudian, pihak persatuan orang buta datang ke rumah untuk meyakinkan keluargaku.
Yang menarik, 8 daripada 10 orang yang datang adalah buta sepenuhnya. Tetapi mereka bukan orang biasa—ada yang jadi pensyarah, bos kedai urut, guru, instruktor ICT, atlet sukan, dan pegawai bank. Itu pertama kali aku benar-benar sedar, orang buta boleh berjaya.
Melangkah Tanpa Ragu
Perjalanan baru bermula, dan cabaran makin getir. Di pusat latihan, aku sering dipandang rendah. Aku cuma lulusan sekolah rendah, sedangkan ramai yang ada SPM, diploma, ijazah. Aku dikata tidak tahu apa-apa.
Tetapi aku tidak peduli. Aku belajar tanpa jemu, menelan setiap kepahitan demi sebuah ilmu. Bertahun berlalu, aku berjaya menggenggam sijil kemahiran, membuktikan aku bukan sekadar insan buta yang harus dikasihani.
Kini, keluargaku yang suatu ketika dahulu bangga dengan adik-beradik lain mula menyedari sesuatu. Orang yang mereka harapkan, akhirnya tidak membantu seperti yang diimpikan.
Ironinya, akulah yang kini menghantar wang setiap bulan ke kampung, membantu perbelanjaan mereka. Aku tidak berdendam, tidak juga bangga diri. Aku hanya bersyukur masih dapat berbakti, meskipun luka lama tidak akan pernah pudar.
Kini, aku hidup di Kuala Lumpur satu-satunya tempat yang menerima dan menghargai aku. Aku bersyukur kerana mampu mengurus hidupku sendiri tanpa membebankan orang lain serta hidupku tak meminta-minta.
Dunia sudah berubah, teknologi telah membuka jalan buat insan sepertiku. Kini, semua boleh dilakukan di hujung jari, sekalipun oleh seorang insan yang buta sepertiku.
Perjalanan ini tidak mudah, tetapi aku berdiri di sini sebagai bukti bahawa buta mata bukan bermakna buta masa depan. Selagi ada akal, selagi ada semangat, kita mampu membina kehidupan yang lebih baik.
Kepada rakan-rakan OKU di luar sana, jangan tunduk pada stigma. Kita lebih daripada sekadar bayangan simpati. Kita adalah pejuang, kita adalah cahaya yang tetap dalam gelapnya kepompong keraguan kerisauan hati sendiri.
– Bunga Raya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit