Hinanya Si Pelajar Miskin III

Untuk part I & II ;

https://iiumc.com/hinanya-si-pelajar-miskin/

https://iiumc.com/hinanya-si-pelajar-miskin-ii/

Assalamualaikum kepada semua para pembaca IIUM Confession dan jutaan terima kasih kepada admin kerana masih sudi menyiarkan cerita aku yang sebelumnya dan sehinggalah part ini.

Terima kasih juga aku ucapkan kepada pembaca yang sudi memberi komen kepada perkongsian aku sebelum ini. Aku sangat-sangat hargai setiap satu komen-komen yang diberikan.

Tidak kurang juga yang menitipkan doa buat aku. Aku doakan semoga yang baik-baik juga untuk kalian semua.

Ya… Ia hanyalah suatu kenangan yang pahit dan sepatutnya aku buang jauh dari ingatan ini. Penulisan aku disini bukan untuk meratap nasib, mengimbau kenangan lama, ataupun menyebarkan aib…

Tapi aku sekadar ingin berkongsi nasib dan pengalaman pahit ini kepada semua pembaca. Semoga ianya sedikit sebanyak memberi manfaat, kekuatan bagi yang senasib denganku dan pengajaran yang baik buat semua. Inshaa Allah…

Korang nak tau pensel warna yang hilang itu aku jumpa dimana?! Ada seorang budak lelaki yang memberitahu aku, pensel warna itu telah dicuri oleh adiknya.

Ibunya menjumpai pensel warna itu didalam beg sekolah budak tersebut. Lalu ibunya menyuruh budak itu memulangkan semula pensel warna itu kepadaku.

Tapi apabila sampai disekolah, yang terjadi adalah sebaliknya… Sepatutnya pensel warna itu dipulangkan kembali padaku.

Tetapi budak itu telah mengeluarkan kesemua pensel warna tersebut dan membalingnya satu persatu kedinding belakang, yang berdekatan dengan tong sampah.

Bertaburanlah pensel warnaku dipenjuru kelas. Ada yang dah dipatahkan, ada yang matanya sudah rosak, dan ada juga yang masih elok.

Kotaknya dikoyak dan dibuang ke dalam tong sampah.

Sedih… sungguh sedih dan terhina. Jiwaku sangat tersiksa, tapi lidahku tidak mampu berkata apa… Mataku hanya melihat, jasadku hanya menerima… Itu yang aku dapat gambarkan pada kalian apabila melihat apa yang mereka perlakukan padaku….

“Gila, Selekeh, Terencat, Miskin, Busuk, Cacat, Pelik, Sewel dan macam-macam lagi ejekan dan panggilan yang diberikan kepadaku”

Tapi entah kenapa sedikit pun aku tidak tersinggung dengan kata-kata tersebut. Kata-kata ini kuanggap, bagaikan angin lalu yang menyapa telingaku sahaja…

Budak lelaki yang “agak nakal” itu saban hari terus membuliku. Aku rasa mungkin cara ini mereka ingin “bermain” bersamaku. Permainan yang membuatkan mereka amat gembira dan bergelak besar. Sedangkan aku hanyalah rakan sepermainan di dalam kelas yang “tidak dianggap”.

Permainan demi permainan mereka “bermain” bersamaku. Termasuklah permainan memijak kasut dan menarik kerusi.

“Memijak kasut” tidaklah membuatkan aku sedih dan marah, kerana sememangnya kasut aku sudah kotor dan koyak.

Jadi bila mereka mula memijak-mijak kasutku, aku hanya menunduk pasrah. Tiada beza sebelum kasut dipijak dan selepas kasut dipijak. Berbeza hanyalah kakiku yang merasa sedikit sakit.

Yang membuatkan aku marah, bila mereka menarik kerusiku saat aku mahu duduk dan membuatkan aku terduduk dilantai menahan kesakitan.

Korang ada tak pengalaman yang mana bila korang nak duduk atas kerusi, tiba-tiba kerusi itu ditarik dari belakang. Yang pernah di “dajal” seperti itu, rsnya sakit kan tulang punggung dan belakang.

Tapi mampukah aku marah mereka?! Hak punya kawan pun aku tak mampu miliki, inikan pula hak untuk “marah”. Aku hanya mampu memendam rasa yang perlahan-lahan menyiksa jiwa ini.

Itulah yang mereka acap kali buat pada tubuhku yang kecil ini….

Oh ya korang… Aku tak tahulah, pada zaman persekolahan rendah awal tahun 90-an dulu, ada tak korang alami kekurangan bangku dan meja sekolah?!

Kat sekolah aku dulu, masalah bangku dan meja sekolah ni memang kerap sangat terjadi. Terutama pada budak-budak yang duduk dibarisan belakang.

Initiatif aku untuk dapatkan bangku dan meja “yang elok”, dengan datang awal ke sekolah. Oh ya! Lupa nak bagitahu. Masa aku darjah 5 tu aku dah pergi sekolah sendiri naik basikal. Basikal lama “second hand” yang diberi orang kampung.

Gembira bukan kepalang dapat pergi sekolah naik basikal. Tapi tak lama… basikal aku juga hilang dicuri… Mungkin, mereka yang mencuri itu lebih “memerlukan” basikal itu berbanding aku.

Berbalik kepada cerita bangku & meja sekolah tersebut. Ya… aku dapat bangku & meja yang elok untuk aku belajar pada hari itu. Tapi kegembiraan itu tidak kekal lama.

Bangku dan meja yang aku dapatkan itu, seringkali akan ditukar dengan meja dan kerusi lain oleh budak-budak lelaki yang “agak nakal” itu.

Kebiasaannya kerusi dan meja itu akan ditukar sewaktu aku rehat. kerusi & meja yang ditukar itu sangatlah uzur. Ada kalanya nak duduk pun kerusinya bergoyang-goyang. Ditambah pula dengan keadaan meja yang lebih kurang sama “tidak stabil “.

Sangat-sangatlah tidak selesa. Sedangkan mereka pula seronok menggunakan kerusi & meja elok yang mereka tukar dariku.

Maka duduk lah aku dalam keadaan yang sangat tidak selesa semasa belajar. Yang lagi sadis, kadangkala mereka ambil terus kerusi aku dan tidak menggantikan nya dengan kerusi yang lain. Beg aku diletakkan atas meja yang lain pula.

Terpinga-pinga lah aku keluar mencari kerusi lain untuk di duduki. Cikgu pula tanpa usul periksa memarahi aku kerana baru terhegeh-hegah hendak mencari kerusi, sedangkan sesi pembelajaran sudahpun dimulakan.

Dia tidak tahu yang aku juga punya kerusi sebelum itu, mereka telah mengambilnya dariku. Tapi apakan daya…. aku tak mampu untuk “bersuara” hanya mampu tertunduk kesedihan.

Aku tahu, budak-budak lelaki yang dibelakang itu terus menerus menertawakan aku. “Kawan”…. sungguh hatiku terluka dengan pelbagai “permainan” yang kamu ciptakan ini.

Pernah satu ketika, sewaktu waktu rehat dikantin, aku cuba nak duduk bersebelahan dengan rakan perempuan sekelas denganku. Rakan sekelasku itu merupakan anak “Orang asli” di daerah kami.

Anggapanku mungkin tidak apa jika aku duduk disebelah mereka. Tapi apa yang menyedihkan, mereka mengherdik aku dan melemparkan kata-kata yang memalukan aku dikhalayak ramai. Mereka cakap dengan kuat seolah aku berbuat salah besar dengan mereka…

“Awak… Awak kawan ke dengan Si bunga ni?! Tanya rakan perempuan sekelasku, kepada rakan yang duduk disebelahnya. ” Eh! Tak lah… kita tak kawan pun dengan dia, kenapa dia duduk disebelah kita?! Jomlah kita tukar tempat duduk yang lain ”

Mereka yang seramai 3 orang itu pun menggangkat tray makanan [ RMT ], dan duduk makan ditempat yang lain. Pelajar lain yang mendengar melihat aku dengan pandangan yang pelbagai.

Aku hanya tertunduk malu. Tak mampu aku nak menggangkat muka dan melihat mereka semua. Sedihnya!!! Hatiku bagai disiat-siat… hinanya lah aku ini….

Makan bersebelahan pun aku “tak layak” dengan mereka, getus hatiku. Lalu, aku pun makan berseorangan dihujung meja kantin, hanya bertemankan kesedihan sambil menghabiskan makanan percuma yang disediakan…

Kebiasaanya, waktu pendidikan jasmani akan diletakkan pada akhir waktu sesi pembelajaran di sekolah rendah. Maka setiap murid akan disuruh untuk menukar pakaian sukan dan diarahkan untuk terus ke padang sekolah.

Aku paling tak suka waktu pendidikan jasmani. Nak tahu kenapa?!

1. Kerana aku tak punya kasut sukan. Kasut sekolah aku, aku gunakan untuk bersukan. Kalau musim hujan, padang akan kotor dan basah selepas hujan. Habis kasutku juga akan basah. Esoknya aku terpaksa ke sekolah dengan kasut yang basah.

2. Aku malu nak bukak kasut, sebab tapak kasutku haus dan stokinku juga sangat longgar. Aku terpaksa guna “getah tempe” supaya stokin sekolah aku tidak tertanggal. Maka berbekaslah pegelangan kakiku yang aku ikat ketat dengan getah tempe itu tadi.

3. Seluar sukanku koyak dibahagian atas lutut dan bertampal dengan kain perca… ada juga bahagian koyak kecil yang tidak bertampal. Hanya koyak besar yang ditampal ibuku.

Dengan penampilan aku seperti ini, aku bagaikan umpan yang menarik perhatian para ikan yang lahap. Aku bayangkan kalau mereka boleh bunuh aku dan makan aku, dan lama mereka buat perkara tersebut.

Suatu hari ketika semua pelajar berkumpul dipadang, semua murid lelaki dan perempuan bermain bersama-sama. Aku seperti biasa akan duduk ditepi longkang kecil bersendirian sambil menunggu kedatangan guru pendidikan jasmani.

Ketika itu guru belum sampai ke padang. Jadi budak lelaki yang “agak nakal” itu mengambil kesempatan itu dengan merampas beg sekolahku. Aku bingkas bangun dan cuba untuk mengambil kembali beg sekolah yang mereka rampas dariku, tetapi tidak berhasil.

Mereka membuat bulatan sambil tergelak-gelak ketawa mencampak beg aku dari seorang rakan ke seorang rakan yang lain. Aku merayu untuk dipulangkan semula beg tersebut secara baik, tetapi mereka semua tidak endahkan.

Mungkin mereka terlalu seronak dengan “permainan” ini. Aku tak putus asa cuba menangkap beg yang dibaling itu. Tapi beg sekolah itu hanya dipulangkan selepas loceng tamat persekolahan berbunyi.

Rupanya cikgu pendidikan jasmani tidak hadir pada hari tersebut. Padanlah mereka sakan mencipta permainan yang boleh menghiburkan hati mereka. Targetnya tak lain tak bukan adalah aku…

Untuk makluman pembaca sekalian, aku tak pernah sekalipun menceritakan kisah aku disekolah kepada kedua orang tuaku. Hal ini kerana aku sangat takut jika aku bercerita aku akan dimarahi oleh bapaku.

Entah dimana aku dapat kekuatan, lepas kejadian begku dirampas, aku menceritakan kejadian tersebut kepada ibuku. Aku tidak perasan yang ayahku memasang telinga.

Esoknya sewaktu dia menghantarku ke sekolah, dia tidak terus balik malah menghantarku ketapak perhimpunan.

Aku merasa sangat pelik, “Eh! Tak pernah-pernah ayah menghantarku ke tapak perhimpunan, kenapa hari ini dia menghantarku pula” getus hatiku…

Sampainya ditapak perhimpunan ayahku bersuara, “Mana budak yang amek beg sekolah bunga semalam?! Main campak-campak beg sekolah?! Tunjuk pada ayah?!”

Dadaku berdegup kencang… ketakutan aku pada kawan dah terpadam dek kerana aku lebih takut dengan ayahku. Aku menunjukkan ayah mereka-mereka yang mengambil dan mencampak beg sekolahku.

“Awak ke yang ambil beg sekolah bunga dan campak-campak beg sekolah dia?!” Tanya ayahku kepada mereka. Masing-masing tidak mengaku… dia tuduh dia, manakala dia menuduh rakan yang lain… masing-masing menuduh satu sama lain.

“Pak cik ni dah biasa tau keluar masuk penjara!!! Korang ni semua jangan suka-suka nak kenakan anak pakcik lagi!!!

Lagi sekali pak cik dengar korang buat apa-apa kat anak pakcik, pak cik heret sorang-sorang masuk dalam penjara!!! Masa tu korang tau la azab masuk penjara tu macam mana. Korang merayu la pada pakcik!!!” Tegas ayahku….

Itulah titik pengakhiran aku tidak lagi dibuli di sekolah…. rupanya aku hanya perlukan ayahku untuk “mengertak” mereka. Menghentikan perbuatan mereka selama ini terhadapku….

Mereka hanyalah berlagak seperti “harimau” dengan mereka yang lebih lemah. Tapi mereka seolah-olah seperti “semut” apabila behadapan dengan orang yang lebih “gah”! Dari mereka….

Akhirkata dari aku, jika ada yang ingin aku sambung lagi cerita tentang kehidupanku, akan aku sambung pula tentang guru sekolahku dan kehidupan toxic aku dirumah.

Macam mana “sikap baran” ayahku yang “membunuh” aku dari dalam… dan bertapa sukarnya menjadi “Si Miskin ” di sekolah dan “Si Miskin ” dirumah…. Jika tiada sambutan ini adalah penceritaan yang terakhir dariku….

Salam sayang dari aku untuk semua pembaca yang mengikuti ceritaku ini. Juga terima kasih yang tak terhingga diucapkan kepada semua komen-komen kalian.

Maaf juga kerana lewat menulis dan mereka pelbagai “chapter” . Aku sangat gembira membacanya komen-komen semua pembaca, seolah-olah kamu adalah “rakan mayaku” yang terindah… Maaf jika ada perkataan yang “typo”.

“Virtual hugs “… really tight & comfortable…

Aku yang berdamai dengan takdir;

– Bunga Putih (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *