Salam semua, nama aku Mawar (bukan nama sebenar). Aku datang daripada enam beradik dan aku anak kedua.
Sejak kecil lagi, keluarga memang tidak pernah umpamakan aku. Mak memang bencikan aku. Dia selalu cakap aku ni lembap, kalau buat apa-apa pun slow. Aku memang jenis pendiam. Hari-hari dia maki aku. Semua kerja rumah, aku yang kena buat.
Kalian pernah tengok Bawang Putih, Bawang Merah? Begitulah kisah aku. Cuma yang dera si Bawang Merah itu ibu tiri dia, tapi aku pula ibu kandung. Adik-adik bawah aku pun langsung tak hormatkan aku gara-gara mak. Mak sekalipun tak pernah sentuh aku.
Kalau makan pun, aku selalu dapat nasi dengan telur goreng, kicap. Adik-beradik aku yang lain dapat makan ikan, ayam, daging. Aku makan nasi dengan air garam bila aku buat salah. Aku kesat air mata sambil makan.
Arwah ayah selalu bawa aku keluar senyap-senyap makan dekat luar. Kadang arwah ayah menangis sambil tengok aku makan. Sudah puas dia menasihat. Sehinggalah mereka berperang besar. Sejak tu depan ayah, mak takkan berani marah atau maki aku.
Malah nenek aku turut masuk campur untuk betulkan keadaan. Tapi pada akhirnya aku yang dipukul dengan teruk. Kononnya aku mengadu. Sampai sekarang aku juga tak tahu kenapa mak bencikan aku.
Aku bertahan sebab arwah ayah. Kalau pergi sekolah, mak tak pernah bagi duit belanja atau bekal. Ayah akan selit RM2 dalam beg sekolah aku supaya aku tak berlapar. Kalau raya, adik-beradik lain semua dapat baju baru kecuali aku. Arwah ayah yang akan belikan untuk aku.
Ayah “pergi” waktu tu umur aku 15 tahun, arwah nenek pula yang sambung belikan baju raya aku. Arwah nenek selalu usap belakang aku suruh aku bersabar.
Waktu ayah pergi, aku rasa dunia aku gelap gelita. Aku hilang tempat bergantung. Lepas ayah meninggal, hukuman mak pada aku jadi semakin teruk. Apa lah budak usia 15 tahun boleh buat waktu tu. Sepanjang masa aku berlapar. Kadang-kadang aku curi-curi makan nasi putih dua suap dekat dapur.
Pernah sekali aku terlupa nak goreng ikan, mak baling minyak panas atas bahu kanan mengalir ke belakang badan aku. Sampai sekarang berparut. Aku ingat lagi, aku menggelupur atas lantai dapur sambil menjerit kesakitan.
Tapi apa yang mak aku buat? Dia teruskan makian dia tanpa sekalipun menoleh ke arah aku. Kebetulan nenek aku datang rumah. Mungkin Tuhan nak selamatkan aku. Lepas saja berperang dengan mak, nenek bawa aku balik rumah dia. Sejak tu aku duduk dengan nenek.
Sepanjang aku duduk dengan nenek, tak pernah sekali mak tanya khabar. Apa yang aku harapkan? Kenapa aku masih berharap?
Sebab setiap hari aku berdoa pada Tuhan supaya Dia bukakan mata mak aku untuk nampak aku. Sebab aku cuma nak rasa kasih sayang seorang ibu. Dapat pegang tangan dia dua saat pun cukuplah. Tapi doa aku tak pernah dikabulkan.
Sebelum nenek aku bawa aku keluar daripada rumah, mak cakap yang dia takkan halalkan setitis susu dia yang mengalir dalam tubuh aku. Usia aku baru 15, menahan sakit lecuran minyak panas.
Setiap hari aku menangis dan arwahlah nenek pengubatnya. Dari rasa rindu, lama-kelamaan bertukar menjadi benci. Pada akhirnya, Tuhan tidak akan kabulkan permintaan aku dan mak takkan pernah sayang aku sampai dia mati.
Aku mulakan kehidupan aku dengan trauma masa lampau. Aku masih pendiam dan tamat saja sekolah, aku mula sibuk bekerja. Keadaan aku bertambah teruk apabila nenek dijemput pergi. Aku hilang arah. Semua harus aku belajar sendiri. Hidup aku penuh keperitan.
Aku tidak pernah bertanya khabar atau pergi lalu dekat kawasan rumah mak aku. Aku benci dia. Daripada aku berdoa supaya Tuhan lembutkan hati dia untuk terima aku, doaku bertukar agar Tuhan berikan balasan yang setimpal atas perbuatan dia. Aku takkan maafkan dia!
Sampailah satu ketika, aku terserempak dengan jiran lama aku. Aku terkejut dia masih mengenali aku. Aku bahkan tidak bertanya kepada jiran tu keadaan keluarga aku. Rasa sakit tu terlalu mendalam. Tapi dia yang buka cerita.
Abang sulung aku sudah berkahwin dan pindah ke bandar. Tidak pernah pulang. Adik-adik aku yang lain juga sudah berkahwin dan ikut suami masing-masing. Tinggallah adik bongsu lelaki aku. Jiran tu turut bagitahu aku yang ketika itu sudah dua tahun mak aku kena strok dan lumpuh satu badan.
Aku tak terkejut. Mungkin Tuhan makbulkan doa aku ketika itu. Dia beritahu aku lagi yang adik bongsu aku tu penagih dadah, dah banyak kali kena tangkap. Ketika itu, mak aku harapkan ihsan jiran-jiran untuk melawat dia.
Adik-beradik aku yang lain semua tak dapat dihubungi. Mereka ada mencari aku tapi tak jumpa. Waktu aku dengar, secara jujurnya aku tak rasa apa-apa. Sedetik simpati pun tak ada.
Aku pulang seperti biasa. Malam itu aku tak dapat tidur. Jantung aku berdegup laju. Segala penderaan yang aku lalui waktu kecil bermain seperti tayangan filem. Tiga malam aku dalam keadaan begitu.
Pada akhirnya, aku ambil keputusan untuk pulang. Lama aku berdiri di laman rumah lamaku. Segala memori pahit masih segar berlegar-legar. Aku gagahkan diri untuk masuk ke dalam.
Ketika itu, ada jiran yang datang ziarah untuk tolong bersihkan mak. Aku cakap tak apa, aku dah balik jadi mulai sekarang aku yang akan uruskan dia. Nada mereka seolah-olah bangga kerana akhirnya aku pulang ke pangkuan mak. Tapi… ikhlaskah aku?
Laman penuh dengan debu dan daun kering. Pintu dan tingkap kayu terbuka luas. Aku naik tangga dan keadaan rumah berbau busuk sangat. Aku masuk dan tengok sosok tua terbaring layu atas tilam di tengah rumah.
Itulah dia, manusia yang melahirkan aku tetapi tiada setitis kasih sayang yang pernah dicurahkan. Aku berjalan dekat dan tengok keadaan mak bercampur dengan najis dan air kencing. Aku berdiri di hadapan. Matanya melirik ke arah aku.
Aku tahu dia tak kenal aku. Sudah lebih sedekad aku tidak berjumpa dia. Aku perkenalkan diri aku secara formal. Aku tipu dia. Aku cakap anak dia yang lain upah aku untuk jaga dia. Sebab aku takut dia tak nak disentuh oleh aku. Yalah, selama aku lahir, dia begitu jijik dengan aku.
Tak tahu dari mana datangnya kekuatan aku. Rasa amarah lenyap. Sekuat mana aku paksa diri aku untuk benci, tetap saja rasa sayang mengatasi segalanya. Dia tak pernah sayang aku, tapi kenapa aku sayang dia?
Akulah yang menguruskan dia, bersihkan dia, semuanya. Mulakan rutin baru dengan dia. Kekok sebab itulah kali pertama aku sentuh dia. Aku tahan air mata aku. Adakah Tuhan pada akhirnya makbulkan doa aku untuk pegang ibuku sendiri?
Dia dah berbeza. Kalau dulu seorang yang tengil, sekarang dia terkulai layu. Segenap rumah itu, tiada satu sudut manis pun untuk aku. Setiap malam aku urut dia satu badan. Dalam herot mulutnya, dia senyum pada aku. Itu kali pertama. Sesuatu yang aku tak pernah jangka.
Dia genggam tangan aku. Dalam hati aku menjerit, lihatlah ini anak yang kau benci dan buang. Sebenci apa pun, dia tetap kembali pada kau. Sejahat mana pun kau, dia tetap takkan buang kau macam mana kau buang dia dulu.
Orang selalu cakap buruk mana pun ibu, dia tetap ibu. Darjatnya tetap tinggi. Maafkan dan lupakanlah segalanya. Kita ni sebagai anak tak boleh nak terasa hati dengan ibu — berdosa, katanya.
Lalu bagaimana dengan aku yang juga manusia biasa? Yang punya hati dan perasaan. Berdosa ke aku sebab marahkan dia? Dibenci tanpa sebab?
Aku sempat jaga dia selama lima tahun sebelum dia pergi pada tahun 2020. Dia pun tak adalah syak apa-apa tentang aku. Kalau dia syak pun, macam mana dia nak bertanya; mulut dah herot.
Tipulah kalau sepanjang aku jaga, aku tak ada marah dia. Kadang-kadang kalau terlalu penat pun kita tak sengaja termarah. Ada masa dia buat perangai, tak nak makan, tak nak mandi, tak nak tukar lampin.
Kudrat aku sebagai perempuan tak segagah lelaki untuk mengangkat. Orang sakit kan, memang macam tu, lebih-lebih lagi orang tua. Egonya lebih tinggi. Tapi sebelum tidur, tetap juga aku minta maaf.
Seminggu sebelum tu, dah mula nampak tanda-tanda dia akan pergi. Malam sebelum dia pergi, dia genggam tangan aku dan tengok tepat ke mata aku.
Sampai detik itu, aku tak pernah jujur siapa aku. Mungkin saat itu dia dapat rasa aku anaknya. Sesuatu yang aku sendiri tak dapat huraikan. Mungkin hanya mereka yang bergelar ibu dapat rasakan.
Aku genggam semula tangan dia. Aku rapatkan muka aku ke telinga dia sambil berbisik, “Mak… ni Mawar, anak mak. Mawar maafkan setiap satu perbuatan mak, tiada lagi dosa antara kita. Tiada apa yang Mawar akan tuntut dari mak di sana.
Selagi Mawar hidup, Mawar akan doa pada Tuhan supaya Dia terima taubat mak, ampunkan setiap satu dosa-dosa mak dan tempatkan mak dalam syurga paling tinggi. Mak boleh pergi dengan tenang. Mawar sayang mak.”
Aku lihat air mata dia mengalir. Aku kesat air matanya dan bisikkan kalimah syahadah. Dua kali kalimah, mak pergi selamanya. Lama aku cium pipi mak. Ketika itu, aku lepaskan segala penderitaan masa kecilku. Aku ikhlaskan segalanya. Tamat sudah tanggungjawab aku.
Aku bersyukur Tuhan berikan peluang untuk aku jaga ibuku. Mungkin Tuhan juga mahu aku berdamai dengan takdir. Dan mungkin ini caranya untuk mak dapatkan kemaafan daripada aku. Tuhan tu Maha Baik.
Aku tak pernah dengar khabar adik-beradikku yang lain kecuali yang bongsu. Dua tahun lepas mak pergi, dia pun meninggal dunia akibat overdose dadah. Pengebumiannya pun aku yang uruskan. Yang lain, aku harap keadaan mereka baik-baik saja. Dosa mereka sebagai anak bukan urusanku.
Tahun 2023, aku mula ubah suai rumah mak sedikit demi sedikit dan pada bulan Ogos 2024, semuanya telah siap. Aku jadikan rumah tu sebagai madrasah kecil untuk pengajian agama. Sesiapa sahaja boleh datang untuk buat aktiviti keagamaan.
Alhamdulillah, setiap hari ada kumpulan makcik-makcik, pakcik, anak muda yang buat aktiviti. Aku wakafkan atas nama mak, ayah, nenek dan adik bongsuku. Semoga pahalanya mengalir terus untuk mereka. Hanya ini yang mampu aku lakukan.
Aku berkongsi di sini agar tiada lagi ibu bapa yang memilih kasih antara anak-anak. Aku juga ingin menyampaikan bahawa anak-anak pun mempunyai perasaan dan tak mahu dibeza-bezakan. Semoga kita semua boleh jadi manusia yang lebih baik. Terima kasih sebab sudi membaca.
– Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Sebaknya baca kisah awk ni…sekurang2 awk ada bakti pd arwah mak sebelum dia pergi.
Dia mgkn ada penyesalan bahawa anak2 lain yg dia tatang semua tak guna jadi insan sampah masyarakat.
Hidup ni selalu begitu.Anak yg paling dibencilah akan balik bakti jaga org tua…
Semua itu kifarah kpd org tua yg tlh menyakitkan hati anak.
Awk dah maafkan dia tkpelah
TP HUKUM TUHAN MASIH BERJALAN kpd dia di alam kubur dan akhirat.
1 zarah pun akan dibalas.
Skrg awk teruskanlah amal bakti cari pahala berterusan itu.Tahniah.Kdg kepahitan kisah silam menjadikan kita manusia yg lebih baik berperikemanusiaan.Ujian hidup itu kdg tnda kasih syg Allah kpd hambaNya cuma kita sj yg tak faham bahasa kasih Allah