Hiperhidrosis

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan terima kasih kepada admin sekiranya sudi menyiarkan luahan hati aku ini.

Sebelum itu, aku memohon maaf seandainya penggunaan ayat aku agak berterabur atau terlalu panjang untuk dibaca.

Aku Irfan (Bukan nama sebenar) dan berumur lewat 20 tahun. Kisah aku bukanlah kisah yang seronok untuk dibaca kerana lebih kepada luahan perasaan yang sudah lama terbuku dalam hati ini.

Aku merupakan penghidap penyakit yang pada aku agak tidak popular dan jarang kita dengar, iaitu penyakit HIPERHIDROSIS atau peluh yang berlebihan sama ada di keseluruhan anggota badan atau bahagian badan yang tertentu sahaja.

Aku tak pasti adakah normal untuk seseorang berpeluh secara berlebihan hampir keseluruhan anggota badan pada setiap hari dan pada bila-bila masa. Bagi aku yang berpeluh pada bahagian kepala, muka, depan serta belakang badan, ketiak, tangan dan kaki amatlah tidak normal sama sekali.

Hal ini kerana aku berpeluh bukanlah kerana melakukan kerja-kerja yang berat atau pergerakan yang melampau seperti bersenam pun, tetapi peluh aku akan keluar bila-bila masa walau dalam keadaan statik sekalipun. Malah dalam persekitaran sejuk juga aku tetap akan berpeluh.

Mungkin pada pandangan orang yang tidak menghidapi penyakit ini akan beranggapan bahawa semua ini perkara biasa dan bukanlah tergolong dalam penyakit kronik yang lain.

Tetapi bagi orang yang macam aku, penyakit ini sangat mengganggu kehidupan seharian dan boleh menyebabkan tekanan serta menggugat keyakinan diri seseorang.

Banyak benda yang terbatas untuk aku buat disebabkan penyakit hiperhidrosis ini. Paling teruk bila kerap berpeluh tu mesti badan bau busuk dan masam sebab peluh tu melekat pada pakaian walaupun pakai baju dua lapis, pakai deodorant dan minyak wangi.

Kadang-kadang tu aku macam fobia bila berada dekat tempat orang ramai sebab rasa macam hina sangat bila peluh keluar melampau-lampau ni.

Nak pakai baju pun bukannya boleh sebarang pakai, kena pilih yang gelap-gelap dan aku tak boleh nak pakai baju melayu untuk tempoh masa yang lama. Kalau lepas solat raya itu mesti nak kena tukar baju t-shirt sebab baju melayu dah lencun habis.

Bazar, pasar malam dan majlis-majlis formal lain memang tempat yang aku takut nak pergi. Walaupun nak solat jemaah dekat surau atau masjid pun aku takut sangat nak pergi. Senang cerita tempat-tempat yang akan melibatkan orang ramai memang aku cuba elakkan untuk pergi.

Kalau terpaksa pergi pun mesti aku akan duduk bahagian belakang sekali dan kalau boleh memang aku taknak langsung tonjolkan diri aku.

Bayangkan kalau korang pergi bersenam dan pakaian korang basah lencun, selepas itu korang terpaksa menghadiri majlis dalam keadaan baju yang basah dan berbau. Mesti korang rasa geli dan tak selesa kan? Macam tulah perasaan yang sentiasa membelenggu aku selama ini.

Aku cemburu sangat dengan orang yang tak ada penyakit ini sebab diaorang bebas nak buat apa pun, bebas untuk pakai apa pun, bebas untuk pergi mana-manapun.

Kalau orang yang terdekat dengan aku macam keluarga dan kawan-kawan rapat mungkinlah diorang paham situasi aku ini, tapi kalau dapat yang jenis mulut puaka mesti teruk aku kena perli.

Contohnya macam kau mandi hujan ke tadi? Pakai deodorant apa? Padahal aku tahu yang badan aku berbau busuk dan masam sebab berpeluh dan banyak lagilah yang kadang-kadang itu memang menyakitkan hati sangat-sangat.

Semasa aku sekolah menengah dulu, aku memang sangat takut bila perhimpunan pagi. Bukan sebab rambut panjang, kuku panjang atau kasut kotor tetapi disebabkan oleh faktor berpeluh ini.

Paling ketara berpeluh pada bahagian muka, depan serta belakang badan dan ketiak. Masa tu memang aku tak mampu untuk beli deodorant dan macam biasalah bau yang terhasil bila baju kita lencun dek peluh.

Aku tak pastilah sama ada badan korang akan berbau atau tak bila peluh terkena baju, tapi apa yang aku tahu memang badan aku akan bau busuk dan masam bila baju aku basah akibat peluh.

Aku memang sangat terkilan sebab aku memang tak dapat nak duduk dibarisan hadapan sebab aku tahu kalau aku duduk depan bila dalam kelas mesti aku akan rasa sangat rendah diri.

Sebab itu aku pilih untuk duduk dibahagian belakang sekali sebab kalau aku berpeluh pun sudah pasti tidak akan mengganggu pandangan rakan-rakanku yang lain.

Sebelum SPM pun aku teringin sangat untuk jumpa dengan cikgu-cikguku bagi meningkatkan lagi pemahaman aku tentang sesuatu topik atau subjek, tapi disebabkan oleh penyakit ini maka terpaksa aku batalkan hasrat tersebut.

Walaubagaimanapun aku bersyukur sangat sebab aku mampu peroleh keputusan cemerlang SPM 8A dalam keadaan aku yang susah untuk menulis skrip jawapan atas faktor tanganku yang kerap basah semasa peperiksaan.

Sewaktu aku di UITM pula, penyakit aku tidak pernah sembuh malah bertambah teruk. Aku ingatkan penyakit hiperhidrosis ini disebabkan faktor kegemukkan atau obesiti, tapi ternyata sangkaan aku meleset kerana BMI aku berada pada tahap normal semasa di Universiti.

Aku malu dan sangat takut untuk melakukan pembentangan sebab pakaian aku memang akan basah dan yang lebih teruk muka aku akan kerap keluar peluh sebab pencahayaan lampu projektor yang memancar terus ke muka aku.

Bila giliran aku untuk melakukan pembentangan, pasti aku akan lakukan dengan sangat cepat dan tergesa-gesa.

Perasaan rendah diri sentiasa membelenggu aku untuk berjumpa dengan pensyarah bagi sesi perbincangan atau pertanyaan tentang sesuatu topik.

Aku lebih rela menelaah sendiri dari sumber-sumber buku rujukan dan internet daripada berjumpa dengan pensyarah aku kerana aku takut bau badan aku yang busuk dan masam akibat peluh akan menimbulkan rasa tidak senang pada beliau kelak.

Aku bersyukur kerana masih diberi rezeki oleh Allah untuk terus cemerlang pada setiap semester dan berjaya memperoleh Anugerah Naib Canselor (ANC) di UITM walaupun aku seringkali merasakan diri aku ini tidak berguna dan sangat jijik sama sekali.

Semasa majlis konvokesyen, perasaan takut dan rendah diri akan sentiasa menghantui aku kerana terpaksa berdepan dengan orang ramai dan pada masa itu aku hanya mampu mengelap peluh di mukaku dengan sapu tangan.

Sampai sekarang aku akan rasa jijik bila anggota badanku mula mengeluarkan peluh yang sangat banyak dan sangat kerap. Sampai sekarang juga aku takut untuk bersos**l dan melepak dengan kawan-kawanku kerana penyakit ini.

Aku bukanlah nak membangga diri atau riak, aku cuma mahu berkongsi keperitan dan penderitaan yang terpaksa aku alami sejak kecil lagi. Aku sangat berharap agar penyakit aku ini dapat dirawat sepenuhnya dan boleh menjadi normal seperti orang lain.

Tolong doakan aku sembuh daripada penyakit hiperhidrosis ini. Semoga ada doa-doa kalian yang makbul dan asbab doa-doa kalian maka penyakit aku ini boleh pulih sepulih pulihnya.. Aamiin.

– Irfan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *