Assalamualaikum admin. Terima kasih kerana menyiarkan luahan hati ini untuk berkongsi dengan pembaca.
Hiperhidrosis? Apa tu? Tak pernah dengar pun? Kan. Memang jarang dengar. Peluh berlebihan? Ya, itulah defenisi ringkas hiperhidrosis.
Hiperhidrosis atau peluh berlebihan adalah keadaan di mana terdapat peluh di luar keperluan fisiologi badan.
Tempat yang paling biasa terjejas adalah tapak tangan (hiperhidrosis palmar), kaki (hiperhidrosis plantar) dan ketiak (hiperhidrosis axillary).
Hiperhidrosis merupakan satu keadaan yang agak biasa dialami oleh semua kaum.
Ia mungkin disebabkan faktor keturunan, yang bermula di zaman kanak-kanak atau remaja dan mungkin berterusan selama beberapa tahun.
Walaupun ia tidak dikaitkan dengan kematian, ia boleh memberi kesan yang ketara ke atas kualiti hidup pesakit yang mengalaminya.
Ya, memang masalah ini akan menghatui si tuan badan. Aku adalah salah seorang yg telah ditakdirkan untuk hidup dengan hiperhidrosis selama 30tahun. Hanya tuhan saja yang tahu perasaan yang aku lalui.
Aku tidak mempunyai ramai kawan disebabkan penyakit ini. Sebabnya, bila tapak tangan aku berpeluh dgn jayanya, tahap keyakinan aku memang kosong. Kosong ya!
Aku terpaksa bergantung harap dengan SAPU TANGAN yang senantiasa setia berada di tangan aku.
Bila aku nak bersalam dengan orang lain, pasti aku akan mengelak. Disebabkan situasi ini, sudah tentu aktiviti sosial aku menjadi terhad. Apa-apa aktiviti, aku akan berseorngan.
Apabila tahap keyakinan aku kosong, dengan automatiknya, hidup aku menjadi suram, kusam dan pudar.
Aku nak kongsi sikit tanda-tanda hiperhidrosis antaranya Kerap mengelap tangan, Tangan yang kerap menggigil, Sukar untuk memegang atau mengambil barang, menulis dan bermain alat muzik.
Selain itu, Sukar untuk beriadah atau bersosial, tertekan dan pucat, malu untuk bersosial kerana keadaan badan dan ketiak yang berpeluh dan berbau.
Dan yang paling menakutkan adalah bau kurang enak dihasilkan oleh bahagian ketiak dan kaki!
Aku selalu menghabiskan masa untuk membaca cara-cara rawatan untuk hiperhidrosis.
Terdapat pelbagai cara rawatan yang boleh dan pernah digunakan untuk merawat penyakit ini. Ia termasuklah penggunaan Ubat Sapu antiperspirant, pil antikolinergik dan iontophoresis.
Namun kesannya tidaklah menyeluruh dan hanya berkesan pada sebilangan kecil pesakit sahaja.
Begitu juga dengan penggunaan suntikan botulinum (Botox), walaupun berjaya untuk merawat pesakit tetapi biasanya ia adalah sementara. Pesakit memerlukan rawatan yang berulang-ulang kali setiap 3-6 bulan.
Rawatan pembedahan simpatektomi merupakan rawatan yang terbukti keberkesanannya.
Terdapat pelbagai cara di dalam melakukan pembedahan tersebut dan cara yang terkini ialah melalui pembedahan lubang kunci (key-hole surgery) iaitu Endoscopic TransThoracoscopic Sympathectomy (ETS).
Penggunaan ETS ini telah merubah cara rawatan penyakit hyperhydrosis daripada rawatan menggunakan ubat-ubatan kepada pembedahan.
Aku buntu, apa yang harus aku lakukan. Kaedah rawatan mana satu yang harus aku ambil. Semoga semua insan-insan istimewa seperti aku akan senantiasa positif untuk meneruskan kehidupan.
Kepada pembaca budiman, tolong doakan kami ini hidup dalam keadaan yang lebih baik.
Teringin sangat untuk menjalani kehidupan normal seperti kalian.
Oh ya, jangan lupa tau komen nanti siapa yang sama nasib dengan aku. Mana tahu kalau bernasib baik terjunpa jodoh. Sebab hanya hiperhidrosis memahami hiperhidrosis!
HambaMu yang redho,
– Abg Sam (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit