Assalamualaikum. Aku Belacan, bakal menginjak ke 3 series lagi 2 tahun. Hampir 6 tahun aku berkhidmat sebagai penjawat awam dengan gaji tidaklah besar mana di ibu kota.
Telah mempunyai sebiji rumah untuk hari tua di kampung. Tiada komitmen lain selain rumah yang satu ini. Aku nak minta pendapat dan pandangan kalian. Bimbang kiranya salah buat keputusan, merana seumur hidup.
Tahun lepas, aku berkenalan dengan seorang lelaki. Modalnya cuma teka teki. Ya, terus aku terpaut. Masakan tidak. Dia berjaya buat aku ketawa terbahak bahak senak menahan perut. Berjam lamanya aku diasak dengan teka teki. Bangga betul bila jawapannya tidak dapat ku tebak.
Bertuah dia, otakku tertinggal di rumah. Begitulah aku, mudah terhibur. Tall, dark, handsome. Tidak aku tanyakan pekerjaannya. Seawal sebulan perkenalan telah perkenalkan aku kepada keluarga dan kawan kawan rapatnya. Walhal banyak kali aku pesan untuk rahsiakan dulu.
Kalau tak berjodohan, malu yang amat.
Awal perkenalan, dia menyuarakan untuk berkenalan dengan lebih dekat. Aku yang dahagakan hiburan ini mestilah teruja! Sekali lagi, otakku tertinggal di jemuran. Masih lembab. Tanpa pikir 2 3 kali, aku setuju.
Lepas 2 3 hari, dia menyatakan untuk tidak berharap padanya kalau tujuan hubungan ini ke arah perkhawinan. Ah sudah! Apa tujuannya kalau bukan dengan pernikahan? Aku diasak rasa tidak puas hati.
Malam itu, di perkarangan petronas, kami berbincang. Dia menjelaskan. Keadaan kewangannya tidak mengizinkan jika aku ingin menikah dalam masa terdekat. Tika ini, baru aku tahu dia bekerja sebagai engineer.
Dia berterus terang. Komitmennya banyak. Dia telah membuat pinjaman peribadi kononnya untuk membayar hutang kad kredit. Setelah dilangsaikan, kad kreditnya akan dikuburkan. Jangan terpedaya teman teman.
Pengakhirannya, kad kredit masih digunakan, pinjaman peribadi juga perlu dibayar setiap bulan. Pinjaman peribadi Easy Rhb. Tahukan interestnya tinggi? Ini bukan tutup lubang buka lubang. Ini berlubang lubang.
Masa PKP, dia berpindah ke kondo baru. Duduk berdua sahaja dengan kawannya, bulanan RM1200. Berkereta jenama H megah menyusur jalan raya, bulanan hampir RM900. PTPTN, installment Iphone 12promax, internet rumah mak, makanan kucing dan sebagainya.
Bila ditolak semua komitmen, berapa baki untuk belanja? Tiada. Jadi dari mana duit untuk makan sepanjang bulan itu? Alhamdulillah berkat selalu sedekah, sentiasa akan ada duit. Katanya. Saving? Kosong.
Aku yang ketika itu terlalu berharap dia lah jodohku, telah membuat satu kesilapan. Aku syorkan untuk kami buat satu tabung untuk kahwin. Setiap bulan aku akan tolak dari gajiku, letak dalam tabung.
Begitu juga dia. Aku minta guna akaun RHB aku. Dia berkeras untuk guna akaun Bank Rakyat dia. Aku iyakan. Saat ini, otakku bukan tertinggal lagi. Sememangnya aku tiada otak teman teman.
Rupanya KWSP nya juga dikeluarkan ketika kerajaan benarkan ketika PKP tempoh hari. Ke mana duit RM10 000 itu?
Beli gold bar 20g. Selebihnya buat belanja. Baki? Tiada. Jawabnya. Dia bekerja seperti biasa dan masih bergaji ketika PKP lepas. Sedang rancak berbual, aku baru tahu dia aktifkan ShopeePayLater. Installment lebih kurang 700 800 sebulan. Allahu.
Dia dah mula simpan duit khawin dalam Bank Rakyat. Kad bank aku pegang. Aku pesan. Selepas ini no more shoppee. No more credit card.
Tapi lama2 kantoi, dia masih guna kad kreditnya. Aku rampas. Aku pegang. Tika ini dia dah berani pertikaikan aku yang masih belum sesen pun transfer duit dalam tabung kahwin.
Dia masuk kan, dia keluarkan balik. Alasan shoppee hari2 call, belum bayar. Nahhhh. Ingat aku gila masih nak masukkan duit aku?
Memanglah lepas tu dia ganti balik. Tapi entah. Aku tak yakin.
Aku menyewa di rumah flat. Housemate aku beli kondo lain dan akan berpindah keluar. Housemate aku akan jual flat tersebut kalau aku tidak tinggal di sana lepas kahwin.
Jadi aku ajak dia untuk sambung tinggal di flat tersebut lepas kahwin nanti. Senang aku berulang ke tempat kerja. Aku pergi kerja naik motor. Gigil juga kalau rumah jauh dari tempat kerja.
Dia tak setuju. Dia nak kami tinggal di kondo lepas kahwin nanti. Boleh. Kalau kau mampu bayar bulan bulan. ‘Alah, takkan la you tak boleh topup sikit’.
Aku jawab. ‘No. Tu tanggungjawab you’. Keras aku jawab. Berkira ke aku? Tapi kalau basic needs pun kau tak mampu, macamana kau nak khawin?
Aku ajak duduk rumah flat kau taknak. Kau nak duduk condo. Pernah lalu kedai elektrik. Dia cakap nanti dah kahwin dia nak beli peti ais yang ketuk ketuk nampak isi dalam tu. Aku cakap ada duit beli lah dalam nada malas layan.
Dia jawab ‘alah kalau saya tak boleh beli pun awak belikan lah’. Selamber. Aku diam malas layan. Peti ais saja pun weh. Kau nak tidur dalam tu ke? Nak sumbat ikan ayam saja pun. Tu pun kalau masak.
Dia pantang betul kalau aku sentuh bab kereta dia. Aku selalu cakap aku tak mampu beli kereta. Dia tak percaya. Sebab aku ada rumah sewa dan selalu buat ot.
Dulu awal2 kenal dia pesan jangan beli kereta. Tunggu dia habis bayar kereta dia pakai kereta tu saja. Nanti dia beli kereta lain.
Tapi lama2 kenal, dia asyik suruh aku beli SUV. Aku rimas. Bila aku pertikai kereta dia pun dah dekat seribu sebulan, dengan roadtax lagi.
Dia melenting. Bila aku sebut pasal hutang shoppee dia, dia jawab ‘alah bayar kan, bukan tak bayar’. Senak otak aku.
Pernah kami gaduh, dia terkeluar. ‘I tak rugi apa pun kalau you takde’. Dan pernah juga dia cakap ‘bersyukur jela i nak kahwin dengan you’.
Lama lama aku jadi tawar hati. Bersungguh nangis- nangis dia minta maaf. Tapi aku tak boleh nak coop dengan mulut lepas dia. Aku pulak ada masalah hati tisu. Sikit sikit sentap.
Masalah financial dia pun aku tak habis hadam lagi. Belum lagi part dia minta aku belikan apple watch, kasut, baju. Tiap kali, aku cuma diamkan. Mungkin dia bergurau. Tapi kalau dapat, rezeki! Ye tidak?
Sekarang dia buat part time MCD delivery. Keluar pagi, malam baru balik. Aku kesian. Sayang tu sayang juga lah. Katanya jangan lupa pengorbanan dia nak cari duit kahwin dengan aku.
Tapi entah kenapa aku rasa dia lebih kepada cari duit nak bayar komitmen dia sebenarnya. Supaya hujung bulan dia boleh bernafas.
Kalau dulu aku rasa dia boros, tak pandai manage duit, tak ada orang bimbing. Tapi sekarang aku rasa dia sebenarnya memang ada habit berhutang.
Aku beri masa setahun. Untuk dia kumpul saving, untuk dia langsaikan hutang kad kredit dan personal loan. Tapi aku takut nak kahwin dengan dia sebenarnya.
Bukan soal financial backgroundnya. Tapi keinginannya yang terlalu tinggi. Tapi duit yillek. Takut kemudian hari aku yang perlu menanggung semuanya.
Tapi dia nampak betul2 bersungguh untuk kahwin dengan aku. Nampak betul betul sayangkan aku. Tapi sayang saja boleh kenyang ke? Atau ini yang dikatakan susah senang sama sama?
Apa betul rezeki selepas kahwin itu ada? Atau aku mohon pertukaran ke pantai timur dan berbakti pada orang tua saja? Bantu aku.
– Belacan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit