Hospital Kerajaan Yang Terlalu Sesak

Confession ni sesuai dibaca untuk semua lapisan masyarakat. Terima kasih admin kerana menyiarkan confession ini. Terasa untuk aku terangkan sikit tentang masalah dan dilema yang dilalui oleh kami petugas kesihatan selepas berlakunya isu sensasi iaitu isu tukar cadar di wad hospital kerajaan. Itu antara masalah dan cabaran yang terpaksa kami tempuh semasa bertugas. Bukan isu yang baru sebenarnya, isu lama dan pernah pun berlaku kepada ramai staf dan pesakit. Cuma ianya tak sensasi disebabkan tidak viral. Isu ni amat remeh disebabkan tiada kerjasama dari pesakit untuk bersama-sama membantu dalam penjagaan pesakit. Menjadi isu mahkamah setelah gambar seorang jururawat yang tidak terlibat dalam kes itu dimalukan/diviralkan oleh artis tersebut. Itu antara cabaran kami dengan pesakit kami.

Wad hospital kerajaan adalah wad yang paling sibuk, terutama wad perubatan. Puncanya adalah dari pesakit juga. Terutamanya pesakit yang tidak beri kerjasama untuk makan ubat, untuk temu janji hospital. Kalau ikut dengan betul, pesakit tak perlu pun dimasukkan ke ward tetapi hanyalah perlu dirawat sebagai pesakit luar. Contoh penyakit yang biasanya masuk ke dalam wad adalah darah tinggi. Darah tinggi yang tidak terkawal menyebabkan pesakit mendapat pendarahan dalam otak dan terpaksa masuk ke wad. Pesakit dialisis yang tak mengikut rawatan dialisis dengan betul, dimasukkan ke wad disebabkan sesak nafas. Pesakit kencing manis atau diebetes dimasukkan ke wad kerana gula yang tinggi sehingga mengakibatkan asidosis (perubahan ph darah normal).

Pesakit yang sama, regular customer, pesakit yang susah nak ikut apa yang doktor telah “plan” untuk pesakit. sepatutnya dengan rawatan yang betul, kemasukan ke wad dapat dikurangkan seterusnya dapat mengurangkan jumlah pesakit. Isunya adalah isu beban kerja yang terlalu banyak dan kadangkala petugas kesihatan tidak menang tangan untuk selesaikan semua benda. Kalau tak percaya, boleh tengok sendiri di hospital. Sampai ada wad yang terpaksa menambah bilangan katil, berhimpit-himpit. Contohnya di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Tengok sendiri betapa sesaknya wad di sana. Masih musykil apakah yang KKM lakukan bila berlaku perkara seperti ini. Banyak kesan negatif nya bila pesakit diletakkan sesak sebegitu antaranya adalah memudahkan “cross infection (jangkitan silang)” antara pesakit, waris dan kakitangan itu sendiri. Oleh itu, pesakit perlu faham, untuk lawatan tak perlulah masuk, bawa terlalu ramai ke dalam wad. Kami petugas kesihatan perlu menguruskan pesakit jadi anda sebagai waris berikan kerjasama dengan tidak menyebabkan anda menjadi bebanan tugas kami. Sepatutnya anda sama-sama saling membantu dalam penjagaan keluarga anda. Ringankan bertanya sekiranya tidak tahu bagaimana untuk membantu keluarga anda supaya mereka cepat sihat.

Itu adalah isu di ward. Di unit lain pula contohnya adalah jabatan kecemasan. Antara cabaran di sini adalah berkenaan tentang penggunaan ambulan. Salahguna ambulan juga banyak berlaku. Bukan di Malaysia sahaja. Di luar negara juga mengalami isu yang sama. Sekiranya tuan puan mempunyai masalah kecemasan yang tuan puan sendiri tidak tahu untuk uruskan, Silalah menghubungi 999 dengan segera. Isu cepat atau lambat itu biarlah kami petugas kesihatan yang uruskan. Dengan menghubungi 999 lebih cepat berbanding menghubungi hospital. Yang penting tuan puan perlu ceritakan masalah yang dihadapi, nama, no telefon, alamat dan mercu tanda yang betul supaya memudahkan pencarian kawasan kejadian. Sekiranya kes tersebut bukan kecemasan, sekadar ingin meletakkan pesakit di hospital disebabkan anda ingin bercuti ke luar negara dan sebagainya dan anda malas nak bersihkan atau jaga keluarga anda, saya sarankan anda menghubungi private nurses atau menghantar ke pusat jagaan orang tua-tua bukannya menghantar mereka ke hospital. Lebih baik dari anda membiarkan mereka di rumah berseorangan.

Jabatan Kecemasan & Trauma adalah untuk kes kecemasan dan trauma. Bukan untuk kes-kes cuci luka harian. Kecualilah anda Kemalangan, terdapat banyak luka yang perlu dicuci dan diberi suntikan. Sekiranya mempunyai masalah anda boleh datang kepada Pegawai triager di kaunter triage untuk bertanya sama ada kes anda layak atau tidak untuk dilihat di jabatan kecemasan sebelum anda ke jabatan pesakit luar. Ceritakan masalah anda. Jangan kecewa sekiranya anda disuruh ke jabatan pesakit luar untuk dapatkan rawatan kerana kes anda bukan kes kecemasan kecualilah selepas waktu pejabat. Keutamaan diberikan kepada kes yang betul-betul mengancam nyawa. Demam 1 hari, nak mintak MC, nak mendapatkan pendapat dari doktor adalah bukan kes kecemasan ye. Anda nak cepat anda boleh ke swasta. Terus terang saya katakan, jabatan kecemasan sesak kerana banyak kes bukan kecemasan ditambah bilangan waris pesakit lebih ramai dari jumlah pesakit. Ada juga yang datang ke jabatan kecemasan semata-mata untuk mendapatkan ubat demam dan merungut kerana terpaksa menunggu lama. Ada juga yang menipu untuk mendapatkan rawatan yang cepat. Anda hanya menambah bebanan tugas dan menyusahkan pesakit yang betul-betul memerlukan rawatan.

Antivaksin, penjual produk, dakyah ketum dan ganja juga adalah antara penyumbang kepada kesesakan di hospital kerajaan. Tahukah anda data terbaru menunjukkan penyakit yang sudah berjaya dihapuskan kini kembali kerana dakyah antivaksin yang telah memusnahkan herd immunity? Tahukah anda implikasi sekiranya penyakit ini menjangkiti seorang bayi dan kanak-kanak? Pernahkah anda berfikir mengapa jadual vaksin hanya kepada bayi dan kanak-kanak sahaja? Anda mahu bertanggungjawab sekiranya berlaku kematian kepada mereka insan-insan yang lemah ini sekiranya mereka dijangkiti penyakit-penyakit berjangkit itu? Tepuk dada tanya diri sendiri. KKM mempunyai unit tersendiri yang memantau data-data ini. Jadi anda antivaksin janganlah membuat andaian sendiri tentang jumlah penyakit di hospital. Anda ada masalah sila lah berbincang dengan mereka yang bertauliah bukannya pengguna fake account di facebook seperti Abu hannah dan sebagainya.

Seakan tidak percaya ada ibu-ibu lebih rela mendapatkan nasihat daripada abu hannah berbanding petugas kesihatan di klinik kesihatan ibu dan anak tentang penyusuan susu ibu kepada bayi. Sampaikan ada manusia yang membuat facebook page tentang “himpunan rawatan abu hannah”. Sejenis kebodohan apakah ini sebenarnya?

Kepada penjual produk kurus, produk ajaib untuk 1001 penyakit kononnya, claim boleh beri kesihatan anda tidak tahu rasanya sekiranya anda diberi harapan untuk disembuhkan penyakit kronik yang dihadapi. Perasaan untuk tukarkan segala wang untuk mendapatkan semula nikmat kesihatan yang telah tiada. Sedangkan harapan tu hanyalah palsu semata-mata. Itu sebab la produk anda laku, anda telah tukarkan nyawa dengan produk tak bertauliah anda. Anda antara punca pesakit kronik meninggalkan rawatan hospital. Akhirnya pesakit akan datang juga ke hospital tetapi dalam keadaan yang lebih teruk dari sebelumnya. Tahukah anda di hospital terdapat ramai pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan masalah hati yang berpunca dari produk-produk tak bertauliah ini?

Implikasi penggunaan ganja sebagai bahan rekreasi pula boleh menyebabkan banyak masalah psikiatri. Ketum pula realitinya banyak digunakan oleh bekas-bekas pusat serenti kononnya sebagai alternatif kepada heroin dan sebagainya tetapi akhir sekali mereka tetap mahukan heroin. Pernah anda dengar seorang pesakit jantung meninggal kerana pengambilan ketum? saya tak bersetuju langsung sekiranya bahan-bahan ini digunakan oleh mereka yang langsung tidak tahu tentang sains perubatan. formulanya mudah sahaja tuan puan. Setiap bahan yang masuk ke dalam tubuh kita akan memberi kesan kepada salur darah dan seluruh organ kita.

Di luar negara, ketum atau kratom ni digunakan tradisional sebagai penahan sakit.. Sama seperti ganja yang digunakan dengan dos tertentu untuk mereka yang mempunyai masalah kanser. Tahukah anda ketum telah diumumkan sebagai “atypical opiod” oleh FDA iaitu fungsinya sama seperti dadah jenis morphine, fentanyl, pethidine yang digunakan di hospital dan terdapat bahan yang menyebabkan kesan euforia (high) di dalamnya? Ubat tahan sakit sahaja, bukan menyembuhkan. Untuk kanser telah ada rawatan kemoterapi. Perubatan ganja untuk masalah kanser hanya untuk kurangkan kesan sampingan seperti muntah dan loya semasa pengambilan rawatan kemoterapi, membantu sebagai penahan sakit dan menurut persatuan kanser amerika hanya lah melambatkan pertumbahan “sesetengah” sel kanser. Jadi tak perlulah gunakan hujah tersebut untuk anda bereakreasi. Kalau big pharma nak duit sangat diorang boleh je iktirafkan benda-benda ni lagi banyak untung yang mereka dapat, lebih demand lebih untung. Kalau diorang nak berbisnes sangat baik diorang dah buat, sebaliknya orang kita yang jual ketum, ganja semua ni. Siapa yang nak duit sebenarnya?

Kesimpulannya, kalau kita tak sakit jangan la minta untuk sakit. Kalau sakit jangan menipu tak sakit, kalau tak sakit jangan cakap kita ni sakit. Kalau betul kita rasa sakit dapatkan rawatan dengan orang yang ada tauliah dan diiktiraf. Penat pegawai perubatan dan petugas-petugas kesihatan yang belajar bertahun-tahun. Malaysia ni mewah, jarang kita dengar penyakit yang disebabkan oleh malnutrisi seperti di afrika sana. Rawatan pun semurah as low as RM1 sehingga RM5 (klinik pakar).

– Awiera

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *