Housemate

Dulu, apabila terbaca artikel atau cerita tentang housemate yang tak cakna dan tak bertanggungjawab soal kebersihan rumah, aku terfikir, “How worse could it be?”

Sekarang, bila aku hidup sendiri (tanpa pantauan ibu bapa), aku dah faham apa perasaan orang yang menulis artikel/cerita tersebut.

Aku tinggal dengan 11 orang housemate (1 rumah, 12 orang). Dah 4 bulan tinggal bersama-sama, aku dah masak dengan perangai setiap orang dalam bab kebersihan.

Untuk makluman, housemate aku semuanya pelajar cemerlang SPM aliran Sains. Result yang paling teruk pun 1 B saja. Rupa pulak, majoritinya senang cerita jaga penampilan lah. Baju bergosok, muka berbedak, bibir bergincu. (Dalam rumah ni, aku dengan lagi 3 orang housemate aje yang sempoi bab penampilan ni. Bukanlah nak kata kami ni selekeh. Tapi senang cerita, kami tak letak piawai tertentu lah untuk muka/baju kami waktu keluar. Asal tak terbakar mata memandang dan sempurna menutup aurat tu kira cun lah. Awning tudung terkelepet kena tiup angin pun takde hal lah)

Apabila berkongsi rumah ni, dah menjadi kebiasaan untuk kita tetapkan agihan tugas dan jadual untuk mencuci tandas dan bilik air (sebab benda ni dikongsi beramai-ramai). Dalam kes aku, kami tetapkan 2 minggu sekali, semua orang perlu cuci tandas ikut jadual tugas masing-masing.

Tapi malangnya, benda simple yang dah dipersetujui oleh semua orang macam ni pun perlu diingatkan setiap kali waktu mencuci tiba (Bukan semua housemate yang macam ni. Tapi dalam 11 orang tu, 3 orang saja yang tahu tanggungjawab tanpa diingatkan). Kalau aku tak bagi reminder, alamatnya sampai bila-bila pun tak bercuci tandas tu. Dinding berlumut pun jangan mimpi mereka nak cuci.

Yang lebih menyakitkan hati, kita bagi reminder pun, tetap juga mereka tak buat. Bertangguh, sampailah 2 minggu berikutnya, tiba giliran orang lain untuk mencuci. Ah, senangnya kerja kalau macam tu. Tak rasa bersalah langsung apabila berlepas tangan. Nak kata sibuk study, orang lain pun study juga. Nak cuci tandas tu 20 minit pun tak sampai. Kalau lepas subuh tak tidur, banyak lagi masa nak study. 20 minit tu, kalau korbankan sikit masa tidur, tak rugi pun.

Bayangkanlah, benda yang berjadual macam tu pun liat betul untuk dipatuhi, apatah lagi benda yang tak berjadual. Contoh; buang sampah dan tukar plastik sampah, buang sisa makanan dalam bakul sampah sebelum basuh pinggan supaya sinki tak tersumbat, bersihkan sinki dapur, susun selipar/kasut, sapu laluan utama untuk ke bilik2.

Bukanlah nak berkira, tapi pedih betul rasa mata apabila bakul sampah yang dah penuh masih menjadi tempat untuk buang sampah sampaikan sampah2 tu terkeluar dari bakul sampah. Apa salahnya kalau waktu kita nak buang sampah tu dan perasan yang bakul sampah dah penuh, kita ikat plastik sampah tu dan gantikan dengan plastik yang baru? Ini tidak, nampak bakul sampah dah penuh, pergi buang sampah di tong sampah besar di luar rumah pula (tiba2 rajin nak buang dekat luar. Selama ni kalau bakul sampah tu tak penuh, elok je buang dalam bakul sampah tu).

Kadang-kadang aku tertanya-tanya, housemate yang tak reti jaga kebersihan ni, memang tunggu mak ayah bersihkan ke macam mana?

Aku tidak membesar di asrama. Senang cerita, aku tidak pernah disuruh cuci tandas, sapu lantai rumah, cuci sinki, basuh baju, lipat baju, kemas rumah. Aku disuruh jaga kebersihan bilik aku saja. Itu pun, ibu bapa aku tak pantau. Kebersihan bilik aku, pandai-pandailah aku jaga sebab aku yang akan tidur dalam tu.

Aku memang tak terlalu cakna soal kerja2 kebersihan di rumah dahulu. Tak pernah ambil inisiatif sendiri untuk bersihkan rumah sebab aku tahu ibu bapa aku akan buat semuanya. Aku hanya akan buat apabila disuruh saja.

Kadang-kadang ada juga ayah aku membebel, “Kalau tak disuruh, tak bergerak. Kalau mak ayah tak ada nanti, tak tahulah apa jadi dengan rumah ni. Kalau korang ada rumah sendiri nanti, entah macam mana rupanya. Ayah pun tak nak pergi rumah korang.” (Waktu aku dengar ni, aku fikir akulah manusia paling pemalas dalam dunia sampaikan kalau aku ada rumah nanti, ayah aku sendiri pun tak nak datang rumah aku)

Tapi sekarang, bila aku dah hidup sendiri, disebabkan kata-kata ayah aku itulah aku sedar tentang tanggungjawab menjaga kebersihan. Di sini aku tak ada mak ayah untuk buat segala-galanya. Kalau aku tak buat, bergelumanglah aku dengan segala bakteria. Ayah aku memang dah selalu pesan, “Masuk universiti nanti pandai-pandailah urus masa dan diri sendiri. Mak ayah dah tak ada nak pantau, nak ingatkan.”

Bila dah hidup sendiri, aku sedarlah bahawa semua sisa yang aku buat, aku kena kemas. Takkanlah kau dah berak, kau harap orang lain flush kan? Ewww! (Pernah jadi okey kat rumah aku ni. Seksa mata aku masa aku tolong jirus.)

Sekarang ni, aku dah penat dah nak ingatkan benda yang sama dekat housemate aku berulang kali. Bagi aku, kalau kau pandai jaga penampilan kau, kau kenalah pandai jaga kebersihan diri dan tempat tinggal kau. Lagipun, masing-masing dah 18 tahun. Dah boleh fikir baik buruk, halal haram. Dah boleh pilih apa benda yang boleh masuk mulut dengan apa benda yang tak. Dah kenal tanggungjawab tu apa.

Takkanlah mentaliti tu masih macam budak-budak yang mengharapkan orang lain tolong kemas semua barang yang disepahkan?

So housemates out there, tolonglah, sedar tanggungjawab masing2 apabila hidup berkongsi rumah ni. Biarlah penampilan korang yang flawless, result korang yang cantik tu, seiring dengan mentaliti dan sikap korang. Kalau korang dah reti nak nampak lawa tu, itu tandanya korang dah cukup matang nak fikir baik buruk sesuatu perkara.

Aku tak kisah kalau korang nak biar bilik korang macam tongkang pecah sekalipun. Tapi limit-kanlah ‘kesepahan’ itu dekat bilik korang je. Benda yang dikongsi beramai-ramai ni, jagalah kebersihannya.

Benda ni praktis basic kut sebelum korang duduk rumah sendiri nanti. Sekarang ni, korang boleh gotong-royong dengan housemate lain buat kerja2 rumah. Nanti dah duduk rumah sendiri, semuanya korang kena buat sendiri. Waktu tu pandai2lah survive.

Lagipun, korang solat kan? Bukan ke solat tu sepatutnya mencegah kemungkaran? Kikis sifat-sifat mazmumah? Kalau rasa macam solat tu tak bagi kesan dalam kehidupan seharian, auditlah solat tu k? Jangan biar je.

Selamat berjuang menjadi housemate yang baik.

K, bye.

Yang benar,
Anak mak ayah yang dah insaf. (Kaitan?)

– Housemate Kamu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit