How About Your Sins, Mom?

Nama aku Laila (bukan nama sebenar). Kebanyakan orang yang mengenali aku ramai cakap aku seorang yang bertuah. Bergaji hampir lima angka dan berjawatan agak tinggi di salah satu syarikat perisian komputer.

Mampu membeli rumah dan kereta sendiri, dan pendek kata boleh membeli apa sahaja yang aku inginkan dengan duit sendiri.

Namun disebalik imej kehidupan bertuah dan sempurna yang aku sering paparkan di media sosial, tersimpan rahsia yang sangat pedih.

Rahsia perjalanan hidup yang sangat perit membuatkan aku terjaga di tengah malam dan menangis. Anxiety itu datang lagi dan sejak akhir akhir ini, semakin perit.

Baru baru ini aku dilamar rakanku sendiri. Dan ini adalah kali ke empat dia masih tidak berputus asa mencuba nasib memikatku. Dan jawapanku masih sama, aku belum bersedia.

Sejujurnya, aku tiada perasaan terhadapnya malah aku tiada perasaan terhadap sesiapapun. Tapi jangan risau aku seorang perempuan yang straight i can guarantee that.

Apa yang pasti, aku tak boleh settle down. Childhood trauma aku sangat kuat membelenggu and for sure, ia akan menyusahkan sesiapa sahaja yang bakal menjadi pasangan hidup aku. Larat ke bila malam pukul 3 pagi kau terjaga dengar aku menangis sambil sesak nafas?

Sekali dua mungkin lah boleh concern lagi, tapi kalau almost setiap malam tak ke letih?

…………..

Aku anak tunggal. Ramai rakan rakanku salah ertikan aku seorang anak manja bila aku perkenalkan diri sebagai anak tunggal. Haha tolonglah, anak manja? Jauh sekali

Emak bercerai dan membawa aku pulang ke kampung halaman. Ayah? lost contact sampai lah kami dapat berita dia meninggal dunia setahun kemudian, itu sahaja kenangan yang aku ingat tentang ayah.

Emak pulang ke rumah nenek yang juga merupakan janda. Bermula lah kehidupan aku dikampung yang kufikir seronok, rupanya neraka.

Semakin hari emak semakin panas baran dan perengus. Dia mula gunakan kata kata kesat terhadap aku, anaknya sendiri yang baru berusia 5 tahun masa tu.

Suatu hari aku lapar dan ambil nasi dan lauk gulai telur yang nenek masak. Telurnya cuma ada satu tapi masa tu dah petang jadi aku ingat semua orang dah makan. Tiba tiba aku dengar emak marah marah di dapur “babi mana lah makan tak tinggal langsung lauk kat aku ni?”

Aku hampir tercekik sebab terkejut. Tiba tiba aku tengok emak berjalan laju ke arah aku dan menghempuk kepala aku dari belakang, sampai terkeluar nasi dari mulut aku. “kau melantak tak ingat aku kan? anak celaka!”

Menangis beb aku masa tu, nenek pulak takde mungkin ke rumah jiran. Makan lah aku nasik tu dengan air mata sekali.

Nenek aku ni dia mengajar mengaji. Jadi budak budak kampung selalu datang mengaji lepas maghrib dengan nenek. Aku lah paling gembira sebab ada kawan kawan.

Tapi emak selalu menjegilkan mata bila aku nak berkawan dengan diorang. Jadi aku pun duduk diam je tunggu giliran. Giliran aku pulak paling last, kiranya orang lain dah sarung selipar nak balik baru turn aku mengaji.

Satu hari tu, aku tamat muqaddam jadi nenek tanya nak try baca Al-Quran besar tak? Kalau tak kita try esok. Kami panggil Quran besar (al-Quran) dan Quran kecik (muqaddam).

Aku pun excited, yela pencapaian besar ni lepasni dah mengaji Quran tebal. Nenek pun ajar aku juz pertama tapi biasalah aku agak banyak salah. Ibu aku dengar aku mengaji tak lancar terus dia ambil rotan.

Piaaappp! kena belakang badan aku. Menggeliat beb sakit. Tak cukup physically, verbally pun dia bagi. “baca elok elok lah babi. kau tak reti mengaji ke?” aku terus menangis.

Pada waktu tu aku menangis lebih kepada sedih daripada sakit. Malam tu aku berjaya achieve pencapaian baru kut, sepatutnya dia bangga.

Dalam ramai ramai murid mengaji nenek, aku yang pertama habis muqaddam. Bila aku start menangis dan berhenti mengaji, emak makin galak merotan aku sambil memaki “cepatlah mengaji celaka!”

Nenek cepat cepat tahan rotan tu dari hinggap badan aku walaupun nenek sendiri tak larat dah tua. Last sekali nenek sound emak “kau tu tak payah la kacau dia macam mana dia nak mengaji” “kau pun tak pandai mengaji lagi nak marahkan anak kau”

Emak terus mencuka sambil tengok aku. Malam tu aku mengaji sambil menggigil menahan tangis dan hingus. Sebak rasanya sampai nenek pun menangis sama.

Sungguh aku takut dengan emak, setiap kali dia pandang aku mukanya penuh kebencian. Mencebik dan membuat bunyi ‘hmmphh!’ sepertinya aku terlalu hina untuknya.

Emak, kalau emak tak nak saya kenapa lahirkan saya mak? Saya pun tak nak jadi anak emak. Saya nak jadi anak nenek.

Aku bukanlah budak yang nakal, aku senang dijaga. Kadang kadang aku teman nenek pergi berkebun dan menyiram sayur sayuran yang ditanam.

Ramai juga orang orang kampung yang membeli sayur nenek memuji aku budak yang rajin dan baik. Tapi bila emak mendengar dia terus mencelah “baik apa nya depan orang je padahal perangai macam anak babi”

Terus beristighfar dia dengar emak aku punya percakapan. Nenek pun tunduk sebab malu. Aku? Hati aku pecah seribu, aku budak lagi masa tu.

Emak seolah olah seronok dapat memaki dan berkata kesat kepadaku. Seolah olah memberinya kepuasan hidup. Pelik kan? Tapi itu lah mak aku. Mujur ada nenek. Nenek membalas tenang “kalau Laila anak babi, kau la mak babi ya?”

Emak mengamuk. Mesti korang ingat emak aku hormat nenek kan? Jawapannya tak pun. Nenek juga menjadi mangsa maki hamun dan kata kata kesat emak.

Setiap hari ada sahaja ayat untuk dia sakitkan hati nenek seperti “orang tua bodoh” “celaka” “babi” dan semuanya yang tak sedap didengar.

Pernah sekali anak saudara nenek datang menziarah dan terdengar emak memaki hamun aku dan nenek. Terus dia masuk dan memarahi emak.

Katanya emak sudah jatuh anak derhaka kerana bercakap begitu dengan nenek. Tapi emak ambil pinggan dan baling kepadanya, mujur tak kena.

Nenek hanya ajar aku untuk bersabar. Kata nenek “Laila jangan benci emak ya” namun semua dah terlambat nenek, Laila dah benci emak.

Segala persiapan masuk ke tadika hanya nenek yang uruskan. Aku masih ingat lagi, aku dan nenek sama sama berjalan kaki pergi mendaftar di tabika kemas. Nenek suruh emak menghantarku dengan motor tapi emak enggan.

Kata emak “tak payah la beria suruh dia sekolah bukan pandai pun nanti”

Aku tak sedih pun bila tengok mak ayah orang lain jemput anak anak diorang dengan motor dan kereta, janji bila aku keluar pintu tabika aku nampak nenek sedang menunggu.

Kadang kadang nenek bawa satu plastik kuih yang kami makan sambil berjalan pulang. Itu sudah membuat hidup aku gembira, aku tak perlukan ibu bapa mahupun adik beradik.

Namun kegembiraan aku tidak lama. Nenek meninggal dunia ketika aku baru mendaftar masuk sekolah rendah. Segala kelengkapan sekolah aku yang nenek beria beli dalam kuantiti yang banyak sebenarnya satu petanda yang nenek akan pergi meninggalkan aku.

Seolah olah ‘ini je nenek tinggal ya. Laila jaga diri’. Emak pula berlakon sedih didepan semua orang yang hadir masa nenek meninggal.

Dia bagitahu semua orang yang dia dan nenek dah lama berbaik dan nenek redha dengannya. Padahal aku tahu segalanya, masa nenek tengah sakit terlantar pun dia masih berkata kesat kepada nenek. “orang tua menyusahkan aku” “mampos lah cepat”.

Bila dia bersihkan najis nenek pun dalam keadaan kasar sambil menyakitkan hati nenek. Aku lihat nenek mengalirkan air mata, apa yang redha nya?

Seronok dia mengira duit pemberian orang malam tu. Manakala aku pula duduk dalam bilik nenek sambil menangis. Emak segera mengarah aku untuk mengemas bilik nenek untuk dijadikan biliknya.

Dia suruh aku buang sahaja baju baju dan barang lama nenek yang tak perlu namun aku senyap senyap pindahkan ke bilik aku. Malam malam aku peluk baju nenek sambil tidur.

Hidup aku berubah menjadi seperti Cinderella. Hahaha cuma bezanya yang mendera aku adalah emak kandung, bukannya mak tiri.

Emak aku tak suka dan jarang memasak. Dulu pun dia hanya makan apa yang nenek masak sahaja sehinggalah nenek sakit, aku mengambil alih tugas didapur pada umur 8 tahun.

Setiap kali aku sedang mengulangkaji pelajaran, emak mesti menyuruh aku membuat pelbagai kerja rumah seperti mencuci pakaian menggunakan tangan, menyapu dan mengemop lantai, menyiang dan menggoreng ikan dan memasak nasi.

Kadang kadang aku hanya sempat menyentuh buku bila hari sudah petang menginjak ke malam.

Emak juga sering mengejekku “Belajar lah sangat bukan cerdik pun. Bodoh je aku tengok” “Aku doakan kau tak lulus semua subjek” “Aku doakan masa periksa jawapan matematik kau semua salah”

Minta maaf ye emak. Doa emak supaya saya jadi bodoh Allah tak makbulkan. Saya dapat semua A setiap kali peperiksaan emak.

Markah bahasa inggeris saya 98/100 mak, paling tinggi dalam seluruh darjah 6. Teacher English saya sayang sangat dekat saya mak sampai essay essay saya dia buat contoh untuk semua.

Bila duduk dirumah dengan emak hati aku rasa nak pecah. resah, takut, gelisah. Perasaan yang sangat tak sihat untuk budak yang sedang bersekolah, lebih lebih lagi tahun itu aku akan UPSR.

Walaupun aku pelajar cemerlang aku menjadi down dan tak percaya diri. Last last aku cuba aktifkan diri dalam bidang sukan seperti olahraga dan bola jaring. Alhamdulillah mungkin disebabkan fizikal aku yang kurus dan tinggi aku mudah untuk dilatih.

Jadi selepas itu kebanyakan masa aku dihabiskan di sekolah dan aku sangat gembira. Namun emak semestinya tidak gembira. Hidupnya mana lengkap tanpa sehari dapat memaki atau memanggil aku babi.

Akhirnya dia memanggil aku perempuan sundal dan gatal dengan lelaki walaupun aku langsung tiada kawan lelaki.

Pernah sekali aku tengah mengulangkaji pelajaran dan pencil mekanikal fav aku jatuh ke tanah. Rumah kami rumah papan yang tinggi. Aku pun bergegas turun untuk ambil di bawah rumah.

Tiba tiba aku dapat dengar emak berlari dari atas rumah untuk turun ke bawah melihat aku. “kau buat apa tu sundal? kau jumpa jantan mana kat bawah tu hah pelacur?”

Mungkin aku sudah immune, jadi aku tidak menangis. Namun hati aku hancur sehancurnya. Perasaan aku juga sudah rosak teruk.

Aku just berjalan naik ke rumah namun emak menggila dan merotan aku sepuas hati sambil memanggil aku pelacur. Pukul lah mak. pukul lah puas puas biar aku mati pun takpe

Ada tu masa aku tengah iron baju sekolah, mak duduk di satu sudut sambil tengok aku dengan penuh kebencian.

Aku pun kadang kadang ada juga terpandang dia sekilas tapi tiada angin tiada ribut dia marah aku “kau ingat muka kau tu cantik sangat ke? Mai sini aku tekap dengan iron panas tu biar berparut, biar hodoh padan muka kau”

Klimaks kisah hidupku adalah hal yang aku sangat takdapat lupakan sampai mati. Kerana ini merupakan titik terakhir yang aku noktahkan dalam hidup aku, yang aku sangat bencikan emak. Tiada sayang mahupun kasih untuk emak walaupun sedikit.

Rumah kampung atap zink bila malam memang berbahang. Ruang tamu pula lebih rendah dan berlantai mozek jadi aku putuskan untuk mengulangkaji di ruang tamu.

Malam semakin lewat sehingga aku tertidur. Tiba tiba dalam pukul 3 pagi aku mendengar emak menjerit kuat. Rupanya rumah kami dimasuki pencuri. Aku bangun dan terpinga pinga namun pencuri itu sudah pun keluar ikut tingkap.

Baru sahaja aku mahu tanya emak apa yang berlaku, emak terus menampar aku dengan kuat. “kau yang ajak jantan tu masuk dalam rumah kan?!” “dasar pelacur!” “perempuan sundal!”

Aku tak terkata. Emak memukulku sepenuh hati. Tak cukup dengan penampar dan sepak terajang, batang penyapu juga dia gunakan untuk pukul aku hingga patah dua.

Aku hanya mampu menangis. Bibir aku berdarah. Rambut aku kusut masai ditarik emak. Emak kemudiannya keluar rumah memanggil pakcik makcik dan jiran jiran.

Belum sempat mereka tanya apa yang terjadi? nampak tak siapa pencurinya? Emak aku terus memberitahu mereka aku yang bawa jantan masuk ke dalam rumah.

Aku perempuan sundal dan dah tak ada dara. Tercengang mereka dengar. Bukan ke pencuri yang masuk rumah kau? kenapa anak kau pulak tiba tiba tak ada dara ni?

Aku hanya menangis di sudut sambil mereka menenangkan emak dan berbincang sesuatu. Anak saudara nenek bertanya aku apa terjadi sebenarnya.

Bila aku cerita hal sebenar, emak mengamuk cakap aku pembohong. Emak menuduh aku yang bawa jantan masuk ke dalam rumah dan buat perkara tak elok.

Sejak hari itu, emak asyik panggil aku perempuan tiada dara. “tengok tu cara berjalan macam tu biasanya orang takde dara je berjalan macam tu” “tengok tu siku warna gelap macamtu kau takde dara kan mengaku jelah”

Sampaikan bila aku ke kedai runcit aku dapat rasa orang pandang aku semacam. Ada yang pandang kasihan, ada yang pandang sinis.

Waktu itu aku ada beberapa bulan lagi untuk UPSR. Mental aku betul betul tak stable tapi aku cuba kuatkan diri sendiri. Ianya tersangatlah tidak mudah untuk aku.

Seorang anak perempuan yang tiada figura seorang ayah untuk berlindung, emak yang sangat dysfunctional, abusive dan manipulative. Dan satu satunya kasih dan cinta hati aku, nenek sudah tiada.

Aku diantara dua. Kuatkan semangat untuk terus hidup? atau mati sahaja? Akhirnya aku pilih mati. Aku telan sepapan panadol yang aku beli di kedai dan terus tidur, berharap mati. Aku menangis sepuas hati sambil panadol semakin memberi kesan mengantuk.

Samar samar aku dengar emak memaki hamun aku suruh bangun. Namun kepala dan badan aku rasa seperti lumpuh. Macamni rupanya rasa telan panadol sepapan ya, mata pun aku tak boleh buka.

Aku dapat rasa emak menyimbah sebaldi air ke muka ku tapi masih, aku tak berdaya bangun. Akhirnya aku tak sedarkan diri dan bangun didalam emergency room hospital.

Seingat aku itu pertama kali aku dicucuk jarum untuk masuk air. Doc cakap pada emak aku mungkin ambil masa dua jam then boleh balik.

Namun bila doc beredar emak seperti biasa menghambur kata kesat “kau ni menyusahkan aku eh anak babi?” “kau telan panadol eh, aku jumpa kat katil kau” “lain kali telan dua papan baru senang mati” Aku hanya memandang perempuan itu tanpa perasaan.

……………………

UPSR semakin hampir, sekolah aku ada buat kem selama 2 hari. Hari terakhir ialah pada petang hari dimana ibu bapa perlu hadir untuk menjemput anak masing masing.

Pada masa itu juga adalah slot terakhir dimana para pelajar perlu duduk beramai ramai di court badminton sambil dikelilingi oleh para ibu bapa yang hadir, kira slot ni macam melibatkan ibubapa la. Kami perlu duduk mendengar ceramah facilitator dan dilarang untuk membuka mata.

Facilitator pun mulakan ceramah sedih dengan “adik adik bayangkan nanti adik dah besar, adik balik kampung nampak ramai orang di perkarangan rumah..” ala yang pasal mak ayah mati diiringi lagu dipondok kecil tu.

So seorang demi seorang la rakan rakanku kedengaran menahan tangis. Mula mula tangis kecil, lama lama ada yang menjerit emak.

So korang boleh imagine tak, situasi ni mak ayah boleh saksikan dari tepi court tu. Mana yang tengok anak anak mereka menangis pasti terharu bukan? Dan ofcourse sebagai facilitator bertugas pun KPI kau adalah untuk buat semua budak menangis.

Dalam keriuhan semua orang menangis, akhirnya facilitator suruh kami membuka mata, aku lihat semua rakan rakanku menangis sampai meleleh hingus, merah mata.

Tak kira la yang paling samseng, yang pendiam tak pernah bercakap, yang gediks, yang selama ni nampak tough pendek kata semua menangis. Kecuali aku seorang.

Ya, aku langsung tidak menangis. Tidak mengalirkan walau setitis pun air mata. Aku siap mententeramkan kawan aku yang menangis disebelah “weh relaks la jangan nangis kuat sangat nanti sakit kepala”

Aku nampak facilitator tengok aku. Yelah dalam ramai ramai aku je muka paling bersih. Mata tak basah and langsung tak menangis. Lama faci tu pandang aku, aku just senyum.

Para pelajar pun terus bersurai ke ibubapa masing masing sebab itu adalah majlis penamat. Kami dah boleh balik ke rumah. Aku tengok rakan rakanku semua berpelukan dengan ibubapa masing masing sambil menangis minta maaf.

Manakala aku hanya pergi ambil bag aku untuk digalas dan menuju ke emak. Aku lihat emak merenungku sambil mencebik muka “huh! keras sangat hati kau ya?”

Aku hanya meletak semua barangku ke dalam bonet kereta. Sungguh, walaupun baru berusia 12 tahun pada waktu itu, aku dapat rasakan seluruh jiwa dan raga aku sudah mati. Perasaan? Aku rasa aku dah tiada perasaan lagi. Hati aku sudah mati.

Yang aku tahu, aku nak straight A UPSR, masuk boarding school, straight A PMR dan SPM dan terus melanjutkan pelajaran jauh dari rumah. Cari duit sendiri dan aku tak ingin kembali lagi.

Dan Alhamdulillah, semua impianku semasa kecil sekarang sudah tercapai.

Untuk emak, bersyukur lah saya masih bertanggungjawab transfer RM500 setiap bulan dan extra RM2000 setiap kali saya dapat bonus.

Cukup lah tu kan, jangan demand saya untuk jadi anak yang baik lebih lebih. Saya geli. Saya dah hire orang kemas rumah sebulan sekali.

Nanti kalau emak start sakit sakit saya hire nurse peribadi pula ya. Itu sahaja yang saya mampu lakukan. Lagipun emak masih panggil saya anak celaka.

Saya masih tak mampu nak sayang mak. Haritu mak panggil saya anak derhaka, walaupun saya sekalipun takpernah tinggi suara dengan mak. Mak cakap tempat saya di neraka sebab banyak berdosa dengan mak. Saya? Berdosa dengan mak?

Then how about your sins, Mom?

Sincerely,

– Laila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *