Hubungan Toksik

Asalamualaikum semua pembaca IIUM confession, namaku A berusia 30 tahun dan masih bujang. Aku ingin menceritakan kisah aku ketika pernah bergelar isteri kepada seseorang pada 1 masa dahulu dan bagaimana aku keluar dari hubungan toksik itu walaupun aku mengambil masa yang lama. Syukur alhamdulilah aku kini lebih bahagia.

Hari ini aku terpanggil untuk menceritakan apa yang telah terjadi. Segala watak dan jalan cerita dalam penceritaan ini aku ubah sedikit demi untuk menjaga ‘sensitiviti’ dan ‘privacy’ pihak-pihak terbabit. Untuk makluman, cerita ini agak panjang dan mungkin membosankan sesetengah pihak. Maafkan aku!

Diusia aku 22 tahun, aku telah diijabkabulkan bersama B setelah 5 bulan kami saling mengenali (diperkenalkan kawan aku kerana padanya B ini orang yang sopan dan baik), pada ketika itu B berusia 23 tahun.

Silap aku kerana terus bersetuju untuk melangsungkan perkhawinan akibat kecewa ditinggalkan sang kekasih lama dan aku sebenarnya terpesona dengan wajah tampan B dengan badan persis model (B berkulit putih, berwajah kacukan cina, berbadan sasa dan tinggi 185cm). Pada awalnya segala nya nampak indah , B amat bersopan santun dalam menuturkan kata dan perlakuan.

Aku meninggalkan keluarga di kota untuk tinggal bersama ex suami dan mertua di bandar K. Aku dan suami mencari kerja disekitar bandar K dan bekerja dibawah satu bumbung yang sama, aku di bahagian office dan ex suami di bahagian production.

Ex Suami anak sulung tetapi tidak diajar erti tanggungjawab, segalanya baru aku tahu setelah tinggal bersama dia, setiap pagi ayah mertua aku yang menghantar kami ke tempat kerja dan kami pulang dari kerja dengan menumpang rakan sekerja dan rakan-rakan B yang lain (B membesar di bandar K dan punyai ramai kawan), pada waktu itu kami tidak ada kenderaan.

Pada awalnya, aku seperti culture shock kerana baru merasakan erti kebebasan (hidup aku dikawal oleh ibubapa sebelum berkahwin). Setiap hari seusai habis waktu kerja, kami tidak terus pulang ke rumah mertua sebaliknya akan melepak sehingga ketengah malam kadangkala terbawa sehingga ke pagi. Setiap hari kami akan melakukan rutin yang sama sehingga pekerjaan kami terabai dan tidak berkualiti, yelah pulang pada pukul 4 pagi dan mula bekerja pada pukul 8 pagi, pasti kami akan keletihan.

Ada masanya B akan mengajak aku keluar makan ke tempat-tempat baru, B ini seorang food lover dan taste dia juga boleh tahan. Gaji kami waktu itu tidak cukup banyak untuk menampung perbelanjaan kami yang super boros, kadangkala dipertengahan bulan pun aku dan B terpaksa ‘ advance’ dengan bos kami.

Aku ini orang yang tidak pandai bergaul, ketika lepak bersama rakan-rakan B, aku terus menerus mendiamkan diri, hanya akan membalas sekiranya ditanya. Lama kelamaan mereka menganggap aku tidak wujud disitu dan tanpa segan silu telah pun bercerita perihal mereka yang mengamalkan s*ks bebas, ke pesta liar dan sebagainya.

Kadangkala mereka langsung tidak menghormati aku malahan mengajak suami aku B untuk turut serta ke setiap “private party” dan “event club” yang ada. Mendengarkan perihal mereka yang pada hemat aku tidak sesuai dijadikan kawan, aku telah mula melarang B untuk bergaul dengan mereka.

Aku tahu B yang dulu selalu ke kelab malam dan berparti, tetapi B selalu meyakin kan aku bahawa dia dah pun berubah. Diawal perkhawinan, memang B langsung tidak ke kelab malam, dia sentiasa menemani aku dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Namun aku silap menilai, B masih lagi berparti dan minum arak kerana dia dikelilingi kawan yang sama sepertinya, gemar bersosial, “open minded” dan masih bujang malahan ada yang berkerjaya bagus seperti juruterbang dan pramugara pada usia yang muda.

Aku semakin merasakan bahawa aku perlu berbuat sesuatu agar B tidak terpengaruh dengan rakan-rakannya tetapi pada B, aku hanya ingin mengongkong dia dan mula merasakan aku ni “annoying”.

B mula marah-marah dan meninggikan suara pada aku apabila diminta untuk tidak lagi bergaul dengan rakan-rakannya. Padanya, aku hanya lah penghalang dan aku sengaja ingin memisahkan dia dari rakan-rakannya. Katanya aku baru bersama dia tidak lama tetapi rakan-rakannya telah mengenali dia semenjak di bangku sekolah rendah (B bersekolah di “all boys” schoo ) Tengkingan dan makian menjadi makanan aku pada usia 1 tahun perkahwinan.

Lama kelamaan, B mula mengabaikan aku dan tidak lagi mengajak aku untuk turut serta melepak bersama rakan-rakannya, segalanya telah menjadi rahsia dan perubahan B telah mengganggu hidupku. B akan menghantarku pulang kerumah mertua dan keluar semula untuk melepak bersama rakan-rakan. B langsung tidak memberitahu aku kemana dia keluar melepak.

Aku mula “depression”dan sunyi, mertua ku juga tidak selalu ada dirumah. Hanya airmata peneman aku dikala itu, waktu itu zaman “android” masih baru, aku mati kutu ditinggalkan keseorangan. Aku tidak tahu apa yang B lakukan dibelakang aku, kadangkala B pulang dalam keadaan berbau arak dan mengajak aku untuk bersama. Aku hanyalah alat pemuas nafsu B!

Adakalanya B langsung tidak pulang kerumah dan memberi alasan tidur dirumah rakan-rakannya. Ibu mertua ku ada membebel pada B, tetapi seperti biasa B hanya akan ignore ibunya dan mengulangi perkara yang sama. Ibu B langsung tidak mengetahui bahawa B selalu ke kelab malam, aku risau sekiranya aku membuka mulut, B akan marah padaku dan ibunya tidak mempercayai kataku (ibunya bersifat protective pada anak).

Pernah berlaku sebelum ini ada orang ternampak B dikelab malam dan menceritakan kepada ibu B, Ibu B langsung tidak mempercayainya dan mengatakan orang itu tersilap tengok, anak dia “innocent” dan baik katanya. Silap aku juga, sebelum itu aku selalu mengadu perihal perangai B (sebab aku tahu apa yang terjadi dan aku risau), ibu B mula tidak suka pada aku dan mula mencari kesalahan aku.

Oh ya sebelum aku terlupa, B akan meminta duit dari aku apabila duit gajinya telah pun habis berfoya-foya, sampaikan aku langsung tidak dapat memberi kan ibu B sedikit duit, ibu B menuduh aku menghabiskan beras dirumahnya (aku makan dirumah sejak B tidak lagi membawa aku keluar makan selepas balik kerja), aku tahu semua ini dari mulut adik B yang naif bercerita.

Akhir tahun 2012 merupakan kemuncak segalanya ,kelakuan B semakin sukar dihalang, sekiranya aku mengatakan ingin mengikuti B, B akan memberi kan alasan bahawa dia pun menumpang orang dan tidak manis sekiranya dia mengajak aku (ketika ini masih belum membeli kereta). Aku semakin tidak keruan melihat ex suami berperangai sedemikian.

Pada waktu itu handphone blackberry mampu milik dilancarkan, B tidak melepaskan peluang untuk membelinya, bagi aku kewujudan blackberry ini merupakan 1 malapetaka hebat dalam hidupku. B semakin sukar dikawal, berparti bujang saban hari tanpa mempedulikan isterinya lagi, aku ini ibarat perempuan simpanan yang disimpan dirumah tanpa ada sesiapa pun tahu kewujudan aku.

B mula membuang semua gambar aku di media social facebook. Pada satu pagi, hati aku terdetik untuk mengakses fon B ketika dia sedang nyenyak tidur, Allah nak tunjuk, dia terlelap tanpa sempat lock handphonenya, aku berjaya akses dan mendapati B sedang mula bercinta dengan seseorang yang dia jumpa di kelab malam, malahan status blackberry masengger ketika itu “im fallin love”.

Aku mengamuk dan kalau ikutkan hati, aku ingin membaling fon B keluar tingkap, sungguh hati aku remuk, B tersedar dari tidur dan mula memaki-maki aku, pelbagai kata kesat terhadap aku, B memukul aku dan aku membalas semula pukulan B sehingga lah kami dileraikan oleh ibu B.

Selepas dari kejadian itu, B meminta maaf dan mengambil hati aku semula . Aku menerima nya kembali!

Aku ingin memberikan dia peluang kedua walaupun sakit hati aku masih berbekas. Untuk pengetahuan, aku tidak ada kawan di bandar K, kerana itu aku bergantung kepada B sepenuhnya, perihal B aku tidak pernah cerita kepada ibu bapa ku, aku tidak ingin menyusahkan mereka kerana dimata mereka, B budak yang baik dan bersopan santun, sukakan kanak-kanak dan penyayang.

Aku tidak ingin memburukkan suami sendiri. Aku terlalu sayangkan B dan tidak sanggup kehilangan nya, aku menerima segala tohmahan dan cacian yang B berikan terhadap aku, B pernah mengatakan bahawa dia bosan dengan perangai aku yang suka kongkong kebebasan dia dan sekiranya aku menyayangi nya, berikan dia sedikit ruang untuk dirinya. Aku hanya mampu mengangguk lesu.

B mengatakan yang dia bakal mengeluarkan sebuah kereta untuk kegunaan aku dan dia, dan bagi memudahkan urusan kami sekeluarga. Dengan bantuan bos ditempat kerja, B berjaya mengeluarkan kereta tanpa sebarang deposit, ternyata apabila berkereta B semakin ligat.Tiada siapa tahu bagaimana strugglenya kami mengikat perut bagi mengisi minyak kereta tetapi apabila minyak terisi, B keluar berjalan tanpa membawa aku!

B mengatakan bahawa aku juga menaiki kereta yang sama untuk ke tempat kerja dan aku diminta untuk tidak mengungkit perihal. Apabila aku ingin mengikutinya, B akan mengatakan yang dia keluar dengan lelaki semua dan tidak ada 1 pun perempuan, malahan meminta aku untuk tunggu nya dirumah, aku tidak tahu sampai bila harus aku bertahan.

Aku dapat rasakan hubungan ini semakin tiada hala tuju. B kantoi lagi, aku terjumpa “earring” wanita didalam kereta nya dan bekas lipstick wanita terlekat dibantal dalam keretanya. Patut lah selama ini, B cuba menghapuskan jejak aku, sekiranya getah rambut aku tertinggal di dalam kereta , B akan membuangnya keluar.

Baru lah aku tahu, hati B telah dimiliki orang lain. Bergelut lah kami didalam kereta, kepala ku dihentak di “dash board “ kereta berulang kali, ditampar bertalu-talu sehingga aku menangis teresak-esak, B juga menangis teresak-esak apabila aku membalas pukulannya dan mengoyakkan bajunya. B mengatakan bahawa dia ingin berpisah dan tiada perasaan terhadapku lagi kerana aku mengongkong dan mengungkit, ,malah B juga telah bertindak menceritakan ke semuanya kepada rakan-rakannya.

Patutlah selama ini dia tidak lagi mengajak aku melepak bersama rakan-rakannya dan aku perasan apabila terserempak dengan mereka, mereka akan memberikan reaksi tidak senang dengan kehadiran ku. Rupanya B telah memburukkan aku kepada rakannya, sungguh hina aku dimata mereka. Aku ditinggalkan di tepi jalan oleh B, aku berjalan kaki kerumah dengan hati yang remuk redam, aku sengsara, hati aku penuh dengan kekecewaan, langkah kaki ku longlai.

Rutin harian masih berjalan seperti biasa, tetapi B tidak banyak bercakap begitu juga aku. Aku fikir mungkin kami memerlukan masa untuk memperbaiki hubungan ini. Aku sedaya upaya tidak mahu hubungan ini berakhir disaat aku masih memerlukan tempat bergantung , namun apakan daya jodoh kami tidak lama.

Kemuncaknya berlaku apabila B semakin menjauh , hanyut didalam dunia nya yang tersendiri manakala aku tidak lagi mampu menggapai tangannya, B banyak kali kantoi ada perempuan lain dan perlakuannya benar-benar menyatakan dia tidak mahukan aku lagi dan menganggap aku orang asing.

B benar-benar telah melepaskan aku, dia ingin aku kembalikan semula hidup bujangnya dan belum benar-benar bersedia untuk menggalas tanggungjawab, ditambah pula dengan ibu mertua ku yang masuk campur urusan rumahtangga kami, lagi memburukkan keadaan.

Aku akhirnya melarikan diri ke rumah seorang “officemate” untuk menenangkan fikiran, disitu aku menceritakan segala yang berlaku dan aku meluahkan kesedihan dan kesengsaraan aku yang orang lain tidak tahu. kakak itu benar-benar membantu, terima kasih kak F atas segalanya disaat adik mu ini memerlukan bimbingan,bantuan serta kekuatan moral.

Akhirnya aku ‘tender resignation’ dan kembali ke pangkuan keluarga ku di kota dan menceritakan segalanya.Ibu bapaku begitu kecewa dengan perlakuan B yang dianggap menantu terbaik. Dengan berat hati aku meninggalkan segala-galanya. Biar lah ia menjadi sejarah dalam hidupku selamanya.

Ujian ini menjadikan aku lebih kuat dan matang untuk menempuhi hari mendatang. Urusan perceraian ku berjalan tidak lama kemudian dan diusia yang masih muda, aku telah bergelar seorang Janda!

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *