Hujan: Bahagia Atau Derita

Assalamualaikum warga IIUM Confession semua. Sudah agak lama aku tidak menulis secebis dua kata di page ini. Maafkan aku jika ayat agak berterabur kerana sedang sibuk menjaga anak kecil.

Hujan sangat lebat dan hening pada pagi ini. Bau-bauan hujan menimpa tanah mengeluarkan bau yang menenangkan iaitu petrichor (bau tanah).

Deruan bunyi hujan menimpa bumbung membuatkan anakku Afiya tidak betah tidurnya. Aku mendukungnya sambil melihat hujan lebat dari pintu sliding rumah kami.

Afiya terpana melihat keindahan kerpasan semula jadi yang mencurah-curah dari langit. Dalam kesejukan, aku mengelamun seketika terkenangkan kisah keluargaku 20 tahun dahulu.

Aku dilahirkan dalam keluarga miskin. Ayah satu-satunya breadwinner yang bekerja sebagai penoreh getah membesarkan kami seramai 9 beradik. Ibu pula adalah wanita besi yang menjaga kami 9 beradik tanpa jemu.

Aku menjadi saksi peluh keringat dan air mata bahkan darah mengalir menunjukkan betapa besarnya pengorbanan ibu dan ayah dalam membesarkan kami semua.

Hujan. Hujan zaman dahulu dan kini sangat berbeza. Dulu aku sangat benci hujan atas sebab-sebab tertentu yang akan aku ceritakan dalam penulisan ini.

Alhamdulillah, kini aku menikmati hujan sebagai satu rahmat dari Allah tapi jauh dalam sanubari aku ada luka yang tidak sembuh tatkala melihat hujan.

Teringat suatu petang aku bermain bola dengan adik beradikku di halaman rumah usang kami yang hampir roboh menyembah tanah. Semuanya berkaki ayam, berbaju lusuh, berbadan kurus kering tapi semuanya sihat dan jelas terpancar keseronokan di wajah kami.

Tiba-tiba guruh berdentum menandakan hujan akan turun. Ayah berteriak memanggil kami untuk membantunya di kebun getah di sebelah rumah kami.

Kami yang sudah memahami situasi itu berlari mendapatkan sebotol cuka lalu mengambil ranting kecil lantas menuangkan cuka ke dalam pot susu getah serta mengacaunya supaya susu getah cepat beku.

Aku yang masih kecil ketika itu berlari-lari dari satu pokok ke satu pokok demi membekukan susu getah agar susu tidak melimpah keluar dan cair seperti air hujan kerana jika hal itu berlaku maka kami sekeluarga akan berlapar dua ke tiga hari.

Maksud aku, jika susu getah tidak membeku, ayah tidak dapat menjual getah skrap dan kami ketiadaan sumber pendapatan untuk membeli makanan.

Hujan juga menyusahkan ibu aku. Air hujan mengalir laju masuk ke dalam rumah, merosakkan tikar getah yang sedia kala robek, perabot yang sedia kala buruk, tilam dan selimut yang hampir reput dan pakaian lusuh kami. Semuanya rosak.

Kenapa tidak diletakkan di tempat tinggi? Kami tiada kerusi, meja makan, apa lagi katil. Semuanya basah dan perlu dibasuh serta dijemur keesokan harinya.

Aku masih teringat waktu itu hujan lebat. Air menderu-deru masuk ke dalam rumah. Dengan pantas ibu keluar dalam kehujanan dan mencangkul tanah untuk dibuat laluan air ke tepi rumah. Basah lencun ibu.

Usai mandi dan tukar baju, ibu merebus ubi kayu yang dicangkul oleh ayah dalam kehujanan. Sedap ubi kayu jika dicicah isi nyok (kelapa).

Hari-hari makan ubi kayu rebus bosan juga. Kami adik beradik akan menyagat ubi kayu mentah untuk dibuat kerepek. Ibu menggoreng ubi kayu itu dalam minyak yang sudah kehitaman.

Ibu tambah air ke dalam minyak kerana minyak sudah habis. Lembik semua kerepek kami tapi dijamah juga kerana lapar.

Kalau ada megi, ibu masak megi dengan kuah yang banyak dan bercampur nasi supaya nampak banyak dan cukup untuk kami sekeluarga. Itupun kadang-kadang aku nampak ayah dan ibu tak makan. Kenyang katanya sambil minum air banyak-banyak.

Waktu hujan juga menyebabkan kami tidak dapat ke sekolah. Satu sebab tak ada kereta, satu lagi sebab tak ada duit belanja.

Kadang-kadang aku minta ayah hantar juga ke sekolah sebab ada ujian atau peperiksaan. Aku ingat lagi payung yang terbalik ke belakang terkena angin ketika ayah membawa motor. Lucu juga kejadiannya.

Kadang-kadang letak plastik di atas kepala, bahagian lain semua basah kecuali kepala. Ayah tak mampu beli baju hujan waktu itu.

Betapa pantasnya masa berlalu. Kini aku mampu menikmati hujan dalam rumah yang selesa sambil minum secangkir kopi hangat tetapi semua memori lalu masih tersemat di jiwa.

Alhamdulillah kami semua sudah besar. Aku juga sudah menjangkau 30 tahun. Berkerjaya, berkeluarga, dan ada aset-aset sendiri.

Walaupun begitu, aku masih tak mampu membalas jasa-jasa orang tuaku yang tidak akan terbalas semuanya. Ibu sudah kembali ke rumah abadi akibat stroke. Mungkin kerana banyak stres dalam hidup.

Ayah masih sihat, bahagia bersama isteri baharu, dan sudah tentu kami tidak membenarkannya kehujanan dan kelaparan lagi.

Terima kasih semuanya kerana sudi membaca.

– Naura (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *