Hujung Minggu Di Bilik Kuliah

Aku masih ingat hari pertama ke kuliah. Jam 5 pagi aku dah keluar rumah, jalan masih gelap.

Aku pandu merentas negeri, sedangkan orang lain masih lena. Dalam hati, aku tanya diri sendiri “Mampu ke aku buat ni setiap minggu?”

Aku dah 6 tahun bekerja di sebuah badan berkanun bila aku nekad sambung degree secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di sebuah universiti kejuruteraan terkenal di Malaysia.

Hidup dah stabil, kerjaya dah kukuh, aku pun dah berkahwin.

Ramai kata, “Kerja dah ok, buat apa susah-susah sambung belajar?” Tapi aku tahu dunia makin berubah. Kalau aku tak tambah ilmu sekarang, aku yang akan ketinggalan.

Setiap hujung minggu, rutin aku sama bangun awal pagi, pandu berjam-jam ke kelas. Kadang-kadang balik lewat malam, penat memandu dengan mata separuh tertutup.

Tiada lagi Sabtu atau Ahad untuk keluarga. Anak tunggu nak bermain, isteri tunggu nak sarapan bersama tapi aku sibuk dengan buku, nota, dan assignment.

Yuran pengajian pula tinggi. Ada masa aku terpaksa berjimat, tangguh beli benda yang aku suka.

Pernah aku berhenti di R&R untuk semak nota sebelum kelas, atau habiskan tugasan dalam kereta sambil tunggu kuliah bermula. Rasa letih memang tak terkata, tapi aku teruskan juga.

Semua pengorbanan tu berbaloi. Aku belajar software kejuruteraan dan teknologi terkini yang terus boleh aku guna dalam kerja.

Ilmu yang aku dapat bukan sekadar teori ia ubah cara aku selesaikan masalah, tingkatkan prestasi kerja, dan buat aku lebih yakin.

Aku juga jumpa ramai kawan baru dari pelbagai bidang. Kami bertukar pengalaman kerja, bina rangkaian profesional yang sangat bernilai.

Ya, susah. Tekanan masa, tenaga, kewangan, dan rasa bersalah tinggalkan keluarga tu bukan main-main. Tapi ia ajar aku disiplin, tabah, dan hargai setiap detik dengan orang tersayang.

Bila aku pulang malam selepas kelas, setiap senyuman keluarga jadi penawar penat.

Sekarang tinggal satu semester terakhir sebelum aku tamat pengajian. Garisan penamat dah nampak, tapi cabarannya tetap ada.

Doakan aku kuat untuk habiskan perjalanan ni semoga ilmu ini bermanfaat, bukan hanya untuk aku, tapi juga untuk kerjaya, keluarga, dan orang di sekeliling.

Kalau kau tengah fikir nak sambung belajar… percayalah, penatnya sementara. Tapi ilmu, keyakinan dan pengalaman yang kau bawa pulang itu kekal seumur hidup.

– Kamaruzaman (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Teruskan perjuangan, Insya Allah awak tidak akan menyesal dengan keputusan yang awak dah buat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *