Hukum Hakam “Dara” II

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga IIUMC, pertama sekali Ustaz nak ucapkan terima kasih kepada admin kerana luluskan confession Ustaz sebelum ini. Terima kasih juga para pembaca sekalian. Pada confession sebelum ini, Ustaz dapati ada beberapa soalan berbangkit yang diajukan oleh netizen. Adakah wanita dara mampu menetapkan syarat untuk memiliki suami teruna? Perkara ini berhubung kait dengan taklik. Mari kita lihat apa itu taklik dan contoh situasi yang berlaku. Ustaz harap moga confession ini akan memberikan manfaat buat netizen.

1. seseorang lelaki bila melafazkan akad nikah dan selepas itu membaca dan mendatangani taklik maka selepas itu dia akan terikat dengan taklik tersebut.

2. Sebagai membuktikan kasih sayang pada isterinya, maka si lelaki itu melafaz taklik tambahan maksud saya dia telah menulis satu taklik diatas kertas yg lafaznya berbunyi ; sekiranya dia mempunyai kekasih lain atau melakukan zina dgn perempuan lain maka jatuhlah talak 1 ke atas isterinya” taklik tersebut dilafaz dihadapan pegawai jabatan agama dan salinan taklik itu juga ada disimpan oleh pegawai agama tersebut.

3.persoalannya apakah taklik yang telah dibuat boleh dibatalkan sewenangnya contohnya untuk taklik tambahan itu.

Jawapan :

Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulamak termasuk imam-imam mazhab empat; Talak secara taklik (yakni secara ikatan) adalah harus dan apabila berlaku perkara atau peristiwa yang ditaklikkan (yakni yang diikat dengan talak), maka akan tertalak lah isteri jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Suami ada kelayakan untuk menjatuhkan talak

2. Wanita itu adalah miliknya (yakni berstatus isterinya)

3. Perkara atau peristiwa yang ditaklikkan kepada talak itu harus berlaku, bukan yang mustahil berlaku atau digantungkan kepada kehendak Allah.

(Mabahis Fiqhiyyah Fi Masail al-Ahwal asy-Syakhsiyyah, Dr. Nasr Farid Wasil, hlm. 264).

Namun ada juga di kalangan ulamak yang berbeza pandangan dengan jumhur ulamak di atas. Di antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm dan Abi ‘Abdurrahman (salah seorang murid Imam Syafi’ie) yang berpandangan; talak atau cerai secara taklik tidak sah dan tidak jatuh talak. Menurut mereka; talak tidak menerima taklik sebagaimana juga nikah. (Ighasah al-Lahfan, Imam Ibnul-Qayyim, jil. 2. hlm. 81).

Sebahagian ulamak (antaranya Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim al-Jauzi dan Syeikh Ahmad as-Syirbasi) membezakan antara dua keadaan;

1. Cerai/Talak secara taklik yang dilafazkan memang dengan niat untuk menceraikan, iaitu seorang lelaki mengikat talaknya terhadap isterinya dengan suatu peristiwa/perkara dan ia berniat dalam dirinya bahawa jika peristiwa/perkara itu terjadi, maka isterinya tertalak. Cerai taklik sebegini akan membawa kepada jatuhnya talak jika terjadi perkara/peristiwa yang ditaklikkan di dalam lafaz talak itu. Contohnya; seseorang berkata kepada isterinya; “Jika kamu menghalalkan baki maskawin yang tertanggung atas ku, maka kamu aku ceraikan” dengan ia berniat menceraikan isterinya jika isterinya menghalalkan maskawin itu. Ataupun, ia berkata kepada isterinya; “Jika kamu keluar dari rumah, kamu aku ceraikan” dan ia sememangnya berniat talak jika benar isterinya keluar rumah.

2. Cerai taklik yang dilafazkan semata-mata untuk memberi dorongan atau ancaman atau penegasan, bukan dengan niat menceraikan. Contohnya; seseorang itu berkata kepada isterinya; “Jika kamu pergi ke tempat itu, maka kamu tertalak” dan tatkala ia melafazkan ucapan ini, ia tidak bermaksud talak tetapi hanya sebagai ancaman terhadap isterinya untuk menegahnya dari pergi ke tempat yang dimaksudkan. Taklik sebegini lebih mirip kepada sumpah. Oleh itu, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak, akan tetapi wajib membayar kaffarah sumpah jika taklik itu dilanggari iaitu dengan memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau membebaskan seorang hamba dan jika ke semua itu tidak mampu dilakukan, hendaklah berpuasa tiga hari. Pandangan ini menjadi amalan dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir hari ini.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 7/447.

2. Yasalunaka Fid-Din Wal-Hayah, Dr. Syirbasi, 1/271.

3. Mukhtasar al-Fiqh al-Islami, at-Tuwaijiri, hlm. 185.

Izinkan ustaz kupas sedikit isu berkenaan pemilihan pasangan juga di sini. Menurut hadith rasulullah SAW.

“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.”

Hadith ini adalah panduan bagi kita memilih pasangan kita samada lelaki mahupun wanita. Oleh itu pemilihan pasangan hendaklah berdasarkan daripada agamanya.Kualiti utama pemilihan pasangan yang beragama dapat dilihat bermula daripada amalan yang fardhu dahulu (seperti solat 5 waktu), diikuti fadhu kifayah (seperti solat berjemaah di masjid bagi kaum lelaki), dan amalan wajib yang lain. Setelah perkara asas ini telah lulus, maka seseorang individu boleh bertekad untuk menjadikannya pasangan hidup setelah beristikharah. Tempoh perkenalan di antara pasangan dipanggil khitbah atau bertunang bagi melihat keserasian pasangan. Nasihat Ustaz buat para netizen sekalian, pilihlah pasangan berdasarkan agamanya dahulu nescaya kamu akan bahagia. Bagi netizen yang ingin mencari lelaki teruna, ketahuilah lelaki yang baik itu ramai. Yakinlah pada Allah. Yang penting, sebarlah kebenaran, elakkan memfitnah. In shaa Allah semua akan dipermudahkan.

– Ustaz

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *