Dalam kitaran masa sekarang, perkara sebegini memang tidak asing lagi.
Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW dan merupakan satu ibadah yang dianjurkan dalam Islam.
Namun, dalam proses menuju perkahwinan, terdapat adab dan etika yang perlu dipatuhi, termasuk dalam hal meminang seseorang.
Salah satu perkara yang dilarang dalam Islam adalah meminang atas pinangan orang lain.
Bahasa mudahnya, jika pihak lelaki A masuk meminang Wanita A, dan kedua2 pihak bersetuju dan keluarga wanita A terima pinangan itu, makan lelaki B,C dan lain2 dilarang sama sekali masuk jarum.
Islam menegaskan bahawa seorang lelaki tidak boleh meminang seorang wanita yang sudah dipinang oleh lelaki lain, selagi pinangan tersebut belum ditolak atau dibatalkan. Larangan ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
“Seorang mukmin itu adalah saudara bagi mukmin yang lain, maka tidak halal bagi seseorang menjual atas jualan saudaranya, dan tidak (halal) meminang atas pinangan saudaranya, sehinggalah saudaranya itu meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1412)
Hadis ini menunjukkan bahawa Islam sangat menjaga hak saudara seagama dan mengelakkan sebarang bentuk perselisihan atau perbalahan dalam masyarakat.
Apabila seseorang sudah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dan mendapat persetujuan awal daripada pihak wanita atau walinya, maka orang lain tidak boleh masuk meminang sehingga pinangan itu selesai—sama ada diterima atau ditolak.
Dalam Islam, seiring dengan konsep Hablum Minallah, Hablum Minannas, (Hubungan dengan Allah dan manusia), ada beberapa sebab dan hikmah bagi larangan in, terutamanya:
1) Mengelakkan permusuhan – Jika seseorang meminang atas pinangan orang lain, ia boleh menimbulkan perasaan iri hati dan dendam antara saudara seagama.
2) Menjaga adab dan maruah – Meminang adalah proses awal dalam perkahwinan, dan Islam mengajarkan adab menghormati hak orang lain yang terlebih dahulu menyatakan hasrat.
3) Menghormati keputusan wali dan wanita – Jika wanita atau walinya telah memberi persetujuan kepada peminang pertama, maka tindakan orang lain masuk meminang boleh dianggap tidak menghormati keputusan mereka.
Terdapat beberapa keadaan di mana meminang atas pinangan orang lain tidak dianggap haram, iaitu:
1) Pinangan pertama telah ditolak – Jika pihak wanita atau walinya telah menolak pinangan lelaki pertama, maka orang lain boleh masuk meminang.
2) Pinangan pertama dibatalkan – Jika peminang pertama menarik balik pinangannya, maka lelaki lain boleh meminang tanpa melanggar larangan syarak.
3) Tiada persetujuan rasmi – Jika pinangan pertama hanya sekadar perbincangan atau tidak mendapat persetujuan daripada pihak wanita atau walinya, maka ia tidak dianggap sebagai pinangan yang sah menurut syarak.
Jika seseorang tetap berkahwin dengan wanita yang masih dalam pinangan lelaki lain tanpa alasan yang sah, perkahwinan itu tetap sah tetapi pelakunya (Lelaki dan Wanita) dibayangi dosa kerana melanggar larangan syarak.
Walaupun perkahwinan itu sah dari sudut akad nikah, tindakan tersebut dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak beretika dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Islam mengajarkan adab dan akhlak dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam urusan meminang dan perkahwinan.
Larangan meminang atas pinangan orang lain bertujuan untuk menjaga keharmonian masyarakat dan mengelakkan persengketaan antara sesama Muslim.
Oleh itu, adalah penting bagi setiap individu untuk memahami dan menghormati hukum ini agar tidak terjebak dalam dosa yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia.
Jika seseorang berhasrat untuk meminang seseorang yang telah dipinang, pastikan status pinangan tersebut jelas terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah seterusnya.
– Faiz Fauzi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit