Hukuman Seorang Pembul1

Assalamualaikum semua. Aku nak ucapkan terima kasih pada admin kerana membenarkan confession aku diterbitkan di laman ini. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dulu masa aku berumur 11 tahun, aku suka buli seorang budak perempuan ni. Aku namakan dia sebagai N. Masa ni aku dan adik-adik aku duduk di taska.

Selesai saja sekolah, kami duduk di taska buat sementara waktu sebelum diambil oleh ibu aku pada waktu petang.

Budak yang aku buli itu budak perempuan. Aku juga perempuan. Beza umur kami 5 tahun. Maknanya, semasa aku berumur 11 tahun, dia baru berumur 6 tahun. Buli aku pada dia berlaku secara fizikal dan lisan.

Aku kerap mencubit dan memukul-mukul dia tanpa sebab yang munasabah. Memang saja-saja aku mencubit dan memukul dia. Aku akan cubit dia menggunakan kuku, sebab akan tinggalkan kesan.

Aku tekan lama-lama kuku tajam aku dalam kulit dia sampai berbekas. Selain itu, aku juga suka memaki hamun dia. Aku panggil dia gemuk, bod0h, macam-macam kata carutan aku lemparkan pada dia.

Aku juga menghalang adik perempuan aku yang sebaya dengan dia daripada berkawan dengan dia.

Aku akan burukkan dia depan adik aku dan menghasut adik aku supaya tak berkawan dengan dia. Hal ini berlarutan sampai aku berumur 12 tahun.

Boleh bayangkan betapa jahat dan kejinya aku? Dia baru hidup 6, 7 tahun. Entah apa salah dia pada aku yang aku geram sangat dan pergi buli dia macam tu sekali. (Dan dia memang tak ada buat kesalahan pada aku pun).

Masa aku berumur 13 tahun, aku dapat tawaran untuk bersekolah di sekolah asrama. Bila ada peluang untuk balik bermalam, aku akan balik bersama ibu aku pada hari Jumaat, waktu petang.

Alang-alang, mak aku ambil terus adik aku yang masih di taska. Aku nampak dia juga masih duduk di taska. Namun aku perasan yang dia akan lari ke dapur, mengelak daripada berjumpa dengan aku.

Kini aku berumur 23 tahun. Dia pula 18, sedang menduduki peperiksaan SPM.

Aku rasa bersalah sangat. Aku rasa berdosa sangat sebab buat macam tu pada dia. Aku rasa menyesal sebab membuli dia begitu sekali.

Aku rasa kesian dan sedih sebab salah satu aturan perjalanan hidup dia adalah bertemu dengan aku. Aku tak tahu lah kenapa dengan aku ketika itu.

Tak tahu kenapa begitu keji dan jahat nya aku, sanggup menyakiti anak orang yang baru saja berumur 6, 7 tahun.

Sekarang dia bersekolah di sebuah sekolah menengah yang sama dengan adik aku. Aku rasa macam ini adalah peluang yang Allah berikan dekat aku untuk meminta maaf pada dia.

Aku redha andainya dia tak memaafkan aku. Cuma aku berharap sangat-sangat yang apa yang aku dah buat pada dia tidak meninggalkan kesan yang berlarutan dan membahayakan pada dia.

Sekarang aku kerap menangis lepas solat. Aku rasa tak layak sangat untuk diberi kemaafan dan pengampunan.

Tapi Allah juga yang membentangkan jalan ini kepada aku. Dia seakan-akan ingin membantu dan membimbing aku untuk memohon maaf pada N.

Aku juga tak menyangka bahawa Allah akan hadirkan rasa bersalah ini. Ibarat nak memberi peluang pada aku yang hina ini. Aku masih diberi peluang dan nikmat untuk berdoa dan meminta pada-Nya.

Aku masih diberi hidayah untuk selalu mengadu pada Dia sedangkan banyak salah yang aku dah buat. Bukan sekadar antara aku dan Dia, tapi antara aku dan manusia lain juga.

Aku terfikir-fikir adakah aku jadi begitu kerana kurang mendapat kasih sayang dari segi emosi dari ibu bapa ku. Kerana aku kerap dibanding-bandingkan dengan kakak ku ketika itu.

Ayah ku juga pernah menjerit meninggi suara pada ku bahawa dia ingin melempang aku. Hanya kerana aku tidak beralih daripada kerusi kegemaran aku di meja makan untuk diberikan pada adik lelaki aku yang baru berumur 9 tahun (beza dua tahun dengan ku).

Sedangkan aku yang duduk dulu di kerusi itu dan adik ku juga tidaklah bersungguh-sungguh mahu duduk di kerusi itu. Tapi dia pula yang melebih-lebih sampai menengking dan mengugut hendak melempang aku.

Pada masa kejadian ini berlaku, ibu ku tiada di rumah. Ibuku outstation di sebuah negeri di bahagian utara seingat aku.

Aku simpan kisah ini untuk lain kali saja. Buat masa ini, doakanlah kebaikan untuk aku dan N. Tak mahu doakan untuk aku pun tak mengapa, yang pasti, doakanlah untuk N.

Semoga dia memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM serta sentiasa dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah untuk dia dan keluarganya.

Semoga N juga terhindar daripada bertemu orang seperti aku, atau lebih teruk dari aku. Semoga N sentiasa dibawah lindungan dan jagaan Allah di dunia dan di akhirat.

– Ai (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *